ARKIB : 04/08/1998
DESAKAN Singapura supaya Pusat
Pemeriksaan Imigresen Kastam dan Kuarantin (CIQ) Malaysia di Tanjong Pagar
dipindahkan ke Woodlands, seperti yang sedang hangat diperkatakan sekarang
benar-benar menyentap maruah Malaysia sebagai negara berdaulat.
Walaupun pajakan tanah itu
berjalan untuk 999 tahun, tetapi tindakan Singapura itu seolah-olah mahu
menghalau Malaysia dengan menggunakan fasal dalam perjanjian itu sendiri.
Sebuah perjanjian yang mengikat kedua-dua pihak sepatutnya dihormati dan hanya
akan dibubarkan jika kedua-dua pihak bersetuju.
Pihak Malaysia yang membekalkan
Singapura dengan air mentah dan membenarkan tanah-tanah di Johor dibeli oleh
rakyat Singapura, tidak pernah membuat tindakan yang boleh mengganggu
kepentingan Singapura seperti yang telah dipersetujui dalam mana-mana
perjanjian yang dibuat sejak dahulu sehingga sekarang.
Malaysia sentiasa menunjukkan
sikap setia kawan yang cukup tinggi bukan sahaja kepada Singapura tetapi juga
kepada negara jirannya yang lain, terutama dalam menjaga kepentingan ASEAN
sebagai sebuah organisasi ekonomi, budaya dan kerjasama serantau.
Oleh itu, untuk menjaga
kestabilan politik serantau, Singapura patut lebih bertimbang rasa dan menjaga
integritinya sebagai negara bertamadun. Malah, Singapura, sebagai adik kandung
Malaysia yang dilepaskan untuk berdiri sendiri di rantau Kepulauan Melayu ini,
patut sekali menggunakan hubungan sejarah, geografi, budaya, bahasa dan
demografi yang telah dibentuk oleh sejarah, dalam tindakannya kepada Malaysia.
Singapura tidak boleh menghakis kesemua hubungan itu dengan begitu sahaja tanpa
memikirkan implikasinya untuk jangka panjang.
Temasik adalah nama asal
Singapura dibentuk dari perpecahan kerajaan Melayu Sri Wijaya. Ia ditukar nama
Singapura kerana kehebatan sang Singa sebagai raja rimba Singapura, yang kini
terus menjadi lambang Singapura. Setelah dikalahkan oleh Majapahit, kerajaan
itu terus berpindah ke Melaka.
Kemunculan Melaka sebagai
sebuah empayar terus mengekalkan Singapura, Johor, Pahang, Terengganu, Klang
dan Pantai Timur Sumatera sebagai takluknya. Kejatuhan Melaka pada 1511, membangkitkan
Johor Lama sebagai pusat kerajaan Melayu; ia kemudian dipindahkan ke
Riau-Lingga sebagai penempatan terakhir serpihan kerajaan Melaka, Singapura dan
Johor tetap menjadi jajahan taklukannya.
British membeli Singapura
daripada Sultan Hussein Shah, raja bagi Johor dan Singapura, setelah empayar
Melayu Riau-Lingga dipecah dua oleh British dan Belanda melalui Perjanjian
Inggeris-Belanda pada tahun 1874.
Dengan pendudukan British di
Semenanjung Tanah Melayu pada 1874 dan seterusnya, Singapura dijadikan pusat
pentadbiran British bagi Semenanjung Tanah Melayu. Hanya pada tahun 1946,
British memecahkan Singapura sebagai satu unit politik bebas dari Persekutuan
Tanah Melayu. Namun, pada tahun 1963, Singapura sekali lagi menjadi sebahagian
daripada Malaysia.
Singapura sebenarnya terhutang
budi kepada Malaysia di sepanjang usia kewujudan negara itu sebagai sebuah
negara merdeka. Singapura tidak akan muncul sebagai sebuah negara merdeka tanpa
memasuki Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1963, di atas dorongan dan tajaan
British. Persekutuan Tanah Melayu pimpinan Tunku Abdul Rahman telah diminta
oleh British supaya mengambil Singapura sebagai rakannya dalam sebuah gabungan
atau Persekutuan British telah menggunakan alasan keselamatan politik Singapura
dari ancaman komunis sebagai umpan untuk memujuk Tunku Abdul Rahman.
Kata Pesuruhjaya Tinggi United
Kingdom di Kuala Lumpur G.W. Tory: ''I agree entirely with the recommendation
of the Conference that the United Kingdom Government should accept as their
aims the policy of working towards a political association between Malaya,
Singapore, and the North Borneo Terrotories.
In my view, the best hope for
stability and successful resistence to Communist encroachment in South East
Asia in long term lies in Malaya, and in the continuation of strong and
friendly Government in Malaya lies the best prospect of maintaining
Commanwealth influence in the area.
I believe Mr. Lee Kuan Yew
himself puts it no less-that Singapore, if deprived of hope of independence
through merger with the Federation, will gradually move to left and thus become
increasingly a security danger to Malaya.
Unless therefore we prepared to
contemplate maintaining for ever both our position of military strength and our
residual rights over external affairs and external defence in Singapore, as I
know the Tunku in his present mood would wish us to do so, we ought in our own
interest to be actively seeking some means of 'containing' Singapore which
would both satisfy Singapore's constitutional ambition and restrain her from
dangerous political development.
The association of Malaya,
Singapore and the Borneo Territories to which the Inter-Territorial Conference
has, referred offers the only obvious solution to this problem. (CO1030/978,
Proposed State of Greater Malaysia, 54/4/01/Part B, Office of High Comissioner
For The United Kingdom, Kuala Lumpur to Secretary of State for Commonwealth
Relations, 1st. December 1960).
Petikan ini jelas menunjukkan
beberapa perkara penting. Namun yang paling penting ialah ada agenda politik
untuk menyelamatkan Singapura dan parti Parti Tindakan Rakyat (PAP) daripada
pengaruh golongan radikal dan unsur komunisme yang dikatakan sedang berkembang
di Singapura. Unsur-unsur radikal dalam PAP telah mencabar kepimpinan Lee Kuan
Yew.
Tunku telah dapat diyakinkan
oleh Lee Kuan Yew bahawa percantuman Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu
adalah langkah terbaik untuk menyekat pengaruh komunis daripada berkembang dan
menguasai kerajaan Singapura yang merdeka. Lee Kuan Yew bimbang keadaan ini
akan meletakkan Persekutuan Tanah Melayu dalam keadaan bahaya ancaman Komunis.
''If the mighty United States could not deal with a communist Cuba in the
Carribean, it is difficult to see how the small Federation could cope with
independent Communist Singapore on its very doorstep. A batik curtain would be
too flimsy, too permeable, too inflammable... the British could not hold
longer'', kata seorang pengkaji (Mohamamed Nordin Sopiee, From Malayan Union To
Singapore Separation, UMP, Kuala Lumpur, 1974, hlm. 138).
Rancangan untuk menggabungkan
Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu ini telah dibuat sebagai langkah
pertama British sejak awal tahun 1960 lagi apabila perancangan dibuat untuk
British melepaskan tanggungjawab politiknya di rantau ini.
Pujukan kepada Tunku Abdul
Rahman untuk menerima Singapura sebagai adiknya dikemukakan kepada Tunku dalam
mesyuarat Perdana Menteri Commonwealth pada bulan Mac 1961. Ini dilakukan
dengan baik; bagaimanapun Tunku Abdul Rahman menolaknya kerana bimbangkan
jumlah penduduk Cina Singapura akan mengatasi jumlah orang Melayu apabila
kedua-duanya disatukan. Ini akan memberi implikasi yang buruk ke atas kedudukan
politik Tunku Abdul Rahman sendiri, yang sentiasa bergantung kepada undi orang
Melayu.
Kata perisik British:
''The Tunku has now recognised
that Singapore's separation from the Federation is in some ways more dangerous
than merger with it. Nevertheless, the problem of Chinese numerical superiority
remains. The Tunku has found his solution to it by making merger with Singapore
conditional upon merger also with Borneo territories.
''It was essential to solve
this problem because the Tunku reckons that the prospect of losing Malay
predominance would be fatal to his position with the Malay electorate the PIMP,
whose political fortunes are on the wane, would gladly seize any opportunity of
attacking him on the ground of his endangering the Malays' present position in
the Federation.
If they succeeded, not only
would his plan for Malaysia probably fail, but his political position in the
federation might be endangered and with it the chances of achieving a
multi-racial Malaya free from communism.'' (CO1030/987, Proposed State of Greater
Malaysia, 59/4/13, Part M.
Tunku telah menolak percantuman
dengan Singapura; sebaliknya telah meminta Sarawak dan Borneo Utara serta
Brunei dimasukkan ke dalam Persekutuan Malaysia. Bagi Tunku, 6.82 juta penduduk
Persekutuan ketika itu akan bertambah kuat dengan tambahan 1.25 juta penduduk
bumiputera Sarawak dan Borneo Utara. Singapura mempunyai 1.63 juta penduduk 90
peratus adalah keturunan Cina.
Dengan dasar kerakyatan yang
begitu terbuka, Tunku percaya jumlah orang Melayu dan bumiputera akan menjadi sama
rata dengan bukan Melayu.
Dengan dasar diplomatik British
yang begitu hebat dan ketegasan Tunku terhadap gabungan dengan jajahan takluk
British di Borneo sebagai seimbang penduduk Malaysia, Malaysia telah
ditubuhkan.
Walaupun terdapat bantahan
politik, diplomatik dan ketenteraan daripada Revolusi Brunei, Indonesia,
Filipina, Parti Komunis China dan Rusia, tetapi dengan sokongan British dan
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Malaysia diisytiharkan pada 16
September 1963.
Apa yang jelas di sini ialah
bagaimana Singapura telah menggunakan British untuk memujuk Tunku supaya
bersatu dengannya bagi memudahkan kemerdekaan Singapura. British sendiri tidak
bersetuju dengan kemerdekaan secara persendirian oleh Singapura kerana
Pertubuhan Pertahanan Asia Tenggara (SEATO) yang berpangkalan di Singapura
sangat mustahak bagi menjaga keselamatan kepentingan British di rantau ini.
Perjanjian Pertahanan Malaya
dan British 1957 dalam kerangka pertahanan Commonwealth juga akan dipertahankan
bersama-sama kepentingannya dalam SEATO, untuk tempoh 25 tahun lagi.
Kata seorang pegawai kanan
British:
''The United Kingdom Government
have a constitutional responsibility for Singapore and the Borneo Territories
and for guiding their future as far as practicable in the direction of the
agreed aim for all United Kingdom dependent territories of full self government
within Commanwealth.
In the long run the political
stability and prosperity of the area is the best if not the only guarantee
against subersion by Communist movements and outside aggression. We have
political interests and strategic obligations connected with the defence of
Malaya, Australia, New Zealand and Hong Kong, the protection of our
cummunications with these countries and our obligations to SEATO.
The United Kingdom also has
important economic interests in the region.'' (CO1030/980, Proposed State of
Greater Malaysia, 59/4/01, part D, Comissioner General For South East Asia,
Singapore, to Ian Mac-Leod, M.P., 27th June 1961).
Dengan itu pertimbangan British
dan desakan Singapura telah memaksa Tunku Abdul Rahman membentuk Malaysia
walaupun ditentang oleh parti-parti pembangkang dalam negeri dan kuasa-kuasa
luar.
Pihak Singapura telah
menggunakan masalah dalamannya dan ancaman komunis untuk mendapatkan kemerdekaannya
melalui percantuman dengan Persekutuan Tanah Melayu dan pembentukan Malaysia.
Dengan menggunakan kestabilan
politik, keramahan politik dan hubungan sejarahnya dengan negara ini, Singapura
telah cuba mendapatkan kemerdekaan negaranya. Walaupun, Singapura telah
disingkirkan dari Malaysia kerana perbezaan kepentingan dan pandangan politik,
namun ternyata Persekutuan Tanah Melayu telah menjadi batu loncatan untuk
Singapura mendapatkan kemerdekaan.
Inilah sumbangan Persekutuan
Tanah Melayu/Semenanjung Malaysia yang terbesar dalam sejarah Singapura.
Mahu tidak mahu, Singapura
tidak dapat melenyapkan ingatan itu, walaupun sejarahnya hanya dimulakan pada
tahun 1965 dan mengikis segala hubungannya dengan tamadun Melayu sebelum itu.
Memandangkan jasa Semenanjung Malaysia yang begitu besar kepada kemerdekaan
Singapura, ia patut lebih bertimbang rasa dalam tindakannya.
Malaysia tentunya merasa kecewa
dengan sikap Singapura yang tidak menghargai sikap tolak ansur Malaysia dalam
beberapa isu dan tindakan Singapura yang telah menyinggung Malaysia sebagai
jirannya yang paling dekat. Malaysia menerima alasan Singapura terhadap
pencerobohan udara Malaysia beberapa tahun lalu.
Malaysia merundingkan secara
diplomatik soal Pulau Batu Putih, Malaysia meminta dipertimbangkan semula
keputusan Singapura yang membekukan pembayaran balik dari Tabung Simpanan Pusat
(CPF) rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan Malaysia sanggup menerima
malu kerana pendedahan Singapura terhadap penipuan sijil cuti sakit rakyat
Malaysia di Singapura. Semuanya ditelan oleh Malaysia walaupun kadang-kadang ia
memperlihatkan kelemahan kita sebagai sebuah negara merdeka yang berdaulat.
Mungkin kerana itulah agaknya
Malaysia terus dihujani dengan berbagai tindakan Singapura. Singapura terus
mengambil kesempatan daripada kelembutan sikap Malaysia. Akan berakhirkah
penghinaan ini?
Oleh: DR. RAMLAH ADAM
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0804&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_01.htm#ixzz4KCqGRBPz
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan