Sabtu, 10 September 2016

P. Ramlee, filem dan isu kelas

ARKIB : 28/05/1998
P. Ramlee, filem dan isu kelas
ESOK genap 25 tahun pemergian P. Ramlee. Sudah 25 tahun kita melabelkan dia sebagai seniman serba boleh. Tetapi sebenarnya, sebahagian daripada kita telah memberikan beberapa fakta yang tidak benar tentang P. Ramlee.

P. Ramlee telah menjadi bahan sejarah yang cukup penting dalam budaya popular negara ini. Kerana itu fakta tentang seniman ini perlu diperbetulkan. Jangan permurahkan seorang manusia bernama P. Ramlee yang begitu bernilai ini dengan label itu.

P. Ramlee sebenarnya bukan serba boleh tetapi peka tentang milieu sosial di sekitarnya. Dia tahu apa yang harus diperjuangkannya. Tidak hairanlah kalau dia berani mengkritik sistem sosial yang condong kepada kapitalis dan sinis serta memperbudakkan kebongkakan golongan bangsawan.

Sama seperti seniman besar lain, P. Ramlee mempunyai perjuangan dalam filem-filemnya. Dia memilih isu kelas untuk perjuangannya dalam filem.

Pengarah Oliver Stone misalnya menjadikan permasalahan dekad 60-an sebagai tema filem-filemnya. Lihat sahaja filem-filem Oliver Stone seperti trilogi Vietnam, Born of the Fourth of July, Platoon dan Heaven and Earth, The Doors, JFK dan Nixon yang semuanya mengambil latar sosial dekad 60-an. Ini bukan suatu yang luar biasa.

Seseorang seniman akan konsisten dengan sesuatu tema pilihannya. Ia menjadi teras dalam setiap karyanya dan pengulangan bukanbermakna dia kehabisan idea tetapi satu kelangsungan.

Sempena genap 25 tahun kematiannya, P. Ramlee wajar ditelaah sebagai seniman filem. Ini untuk lebih adil supaya P. Ramlee dilihat secara berasingan antara pengarah filem, pencipta lagu dan penyanyi.

Sebagai pengarah filem, P. Ramlee telah meletakkan isu kelas sebagai asas perjuangannya. Dia konsisten dalam memanjangkan perjuangan ini kepada rakyat. P. Ramlee menjadi penentang kuat terhadap sistem kapitalis yang mewajarkan kelas dalam masyarakat.

Dia lantang melontarkan kritik sosial dan pada masa yang sama cukup memahami milieu sosial masyarakatnya. Filem-filemnya tidak kira bercorak drama atau komedi pasti bertolak daripada pergulatan sosial di sekelilingnya.

Yang jelas P. Ramlee cuba membebaskan masyarakat daripada pemikiran kapitalis, merobohkan jurang kelas dan membela masyarakat yang ditindas sama ada terhormat atau sebaliknya. Ini memperlihatkan P. Ramlee tahu apa yang dilakukan dan mempunyai sebab kenapa dia melakukannya.

Filem-filem seperti Penarik Beca, Antara Dua Darjat, Ibu Mertuaku secara jelas mengemukakan persoalan kelas yang berlaku dalam masyarakat.

Kelas antara golongan kaya dan miskin serta golongan bangsawan dan rakyat cuba dipecahkan oleh P. Ramlee. Lalu tidak hairanlah kalau P. Ramlee dianggap seniman rakyat dan wira bagi golongan marhaen.

Sepanjang kariernya sebagai pengarah filem, P. Ramlee sentiasa berada di pihak marhaen. Dalam hampir semua filem-filem arahannya, P. Ramlee sekian banyak memberi perangsang kepada golongan marhaen untuk memecah jurang sosial itu.

Siapa sangka penarik beca yang daif diterima menjadi menantu orang kaya dalam Penarik Beca. Atau menantu yang dibenci mertua kerana miskin boleh berjaya dalam hidupnya dalam Tiga Abdul.

Barangkali ahli sosiologi boleh memberi pandangan mereka terhadap karya-karya filem P. Ramlee. Filem-filem P. Ramlee tidak mungkin wujud kalau tanpa dipengaruhi oleh faktor sosialnya.

Dia melihat suatu yang tidak betul tetapi diwajarkan dalam masyarakat. Kerana itu Penarik Beca harus dilihat di luar daripada kisah cinta P. Ramlee dengan wanita bernama Azizah. Dengan siapa P. Ramlee bercinta tidak penting. Dan siapa Azizah juga tidak penting.

Yang penting kenapa penarik beca itu memilih Azizah, anak orang kaya yang bongkak dalam Penarik Beca? Dan kita tidak perlu membuang masa untuk mencari Azizah setelah P. Ramlee meninggal dunia sekalipun banyak yang mengakui sebagai Azizah.

Ini penting kerana selain melihat karya filem P. Ramlee daripada sudut artistik, filem itu sendiri adalah manifestasi milieu sosial yang mencorakkan karya P. Ramlee.

P. Ramlee tidak dibenci dalam filem-filem arahannya kerana dia sentiasa berada di sebelah orang yang baik. Dan yang baik selalunya sinonim dengan kedaifan, kemiskinan dan macam-macam lagi yang boleh meraih simpati.

Itu cara P. Ramlee meraih sokongan rakyat. Esok genap 25 tahun kita kehilangan wira rakyat yang begitu konsisten dalam perjuangannya.

E-mel kuseman@pc.jaring.my

Oleh: KU SEMAN KU HUSSIEN

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0528&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_05.htm#ixzz4JrnYwRAC © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan