MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI
| 10 September 2016 12:11 AM
PEMAIN-PEMAIN JDT menyerbu Jorge Pereyra Diaz (kanan)
selepas dia menjaringkan gol pertama pasukannya dalam perlawanan Liga Super
menentang Terengganu di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Johor Bahru malam tadi.
JDT menang 3-0 sekali gus muncul juara. UTUSAN/NUR AMIRA HUSNA
JOHOR BAHRU 9 Sept. - Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya
melakar sejarah baharu dalam arena bola sepak tanah air apabila muncul pasukan
pertama yang menjuarai Liga Super buat kali ketiga berturut-turut.
Melaka United mengiringi kejayaan JDT apabila muncul
juara Liga Perdana selepas seri dengan JDT II.
Kejayaan itu dilakar JDT setelah menundukkan Terengganu
3-0 dalam perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Tan Sri Hassan
Yunos, Larkin, di sini malam tadi.
Gol pertama JDT dijaringkan pemain import, Pereyra Diaz
sebelum kapten Harimau Selatan, Safiq Rahim menyumbat gol kedua, kedua-duanya
menerusi sepakan penalti.
Ayam tambatan JDT, Diaz sekali lagi menjaringkan gol pada
minit-minit akhir permainan menjadikan keputusan 3-0.
Kemenangan itu membolehkan JDT mengesahkan kejuaraan
lebih awal setelah mengumpul 52 mata dengan berbaki dua perlawanan menentang
T-Team dan Selangor.
Penghuni anak tangga kedua Felda United yang mengumpul 42
mata manakala Selangor (28 mata) di tempat ketiga tidak dapat memintas Harimau
Selatan walaupun masing-masing masih berbaki tiga perlawanan.
Pencapaian itu sekali gus mengetepikan kejayaan yang
dilakar tiga pasukan yang mencatat kemenangan liga berganda berturut-turut
sebelum ini iaitu Kedah pada tahun 2007 dan 2008, Selangor (2009 dan 2010)
serta Kelantan (2011 dan 2012).
Perlawanan bermula seimbang dengan kedua-dua pasukan
memulakan asakan awal sebelum JDT dilihat lebih mendominasi bahagian serangan.
Gol pertama tuan rumah diperoleh pada minit ke-28 apabila
Diaz menewaskan penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee menerusi sepakan
penalti.
Sharbinee sekali lagi tewas melalui penalti pada minit
ke-82 apabila gagal menepis jaringan Safiq selepas Diaz dijatuhkan oleh penjaga
gol itu.
Derita pasukan pelawat berterusan apabila Diaz menyumbat
gol peribadi kedua dan gol ketiga JDT pada minit ke-85 selepas menerima
hantaran daripada Azammuddin Akil.
Sementara itu, pendatang baharu Liga Perdana, Melaka
United turut mengesahkan kejuaraan mereka lebih awal biarpun terikat 1-1
ketika menentang JDT II di Stadium Hang Jebat, Melaka.
Skuad bimbingan Mat Zan Mat Aris terlebih dahulu berada
di depan menerusi jaringan penyerang dari Palestin, Yashir Pinto pada minit
ke-71 dan ketika kemenangan seakan-akan berpihak kepada Melaka United,
pertahanan JDT II, Rafael Bonfim menyamakan kedudukan pada minit ke-91.
Dalam pada itu, Kuala Lumpur tewas 1-2 kepada Negeri
Sembilan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang manakala PKNS FC menang tipis
1-0 ke atas ATM di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh.
Perlis menang 2-1 ke atas Sime Darby di Stadium Tuanku
Syed Putra Kangar manakala DRB-Hicom terikat 2-2 dengan Sabah di Stadium Proton
manakala Kuantan FA seri 1-1 dengan UiTM.
- Sumber
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/jdt-cipta-sejarah-juara-hatrik-1.380850#sthash.1UKUjZuF.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan