Sabtu, 10 September 2016

Raja Busu bijih timah membawa padah

ARKIB : 26/05/1998
 
MAKAM Raja Busu di atas puncak bukit makam di Kampung Kuala Lukut.

Hampir dua bulan selepas keluar dari hospital, saya mengajak isteri ke Port Dickson untuk berehat dan mengambil udara laut baru-baru ini. Kebetulan kami bertolak ke Port Dickson melalui jalan Sepang.

Di pertengahan jalan saya lihat ada simpang ke Kuala Lukut, lalu saya menukar rancangan, tidak jadi ke Port Dickson. Lebih baik saya ke Kuala Sungai Lukut, barangkali tempat itu ada bahan-bahan yang saya boleh tulis.

Dari simpang jalan tanah merah, kami pun meneruskan perjalanan ke Kampung Chuah dan kemudian membelok ke kiri meneruskan perjalanan ke Kampung Kuala Sungai Lukut.

Kampung Kuala Lukut betul-betul terletak di tebing kiri mudik Sungai Lukut dan hampir pula dengan laut.

Tidak ramai orang Melayu tinggal di kampung yang terkenal di suatu masa dulu sebagai sebuah pelabuhan yang besar kerana di hulunya banyak mengeluarkan bijih timah.

Kebetulan saya bertemu dengan seorang pemuda yang rumahnya hampir dengan tebing Sungai Lukut, namanya sama dengan nama saya cuma binnya tidak sama, Abdul Kadir nama bapanya. Beliau bertugas sebagai penyelam di sebuah syarikat di Port Dickson.

Abdul Halim memberitahu, di Kampung Kuala Lukut tidak ramai lagi orang Melayu, cuma ada lima buah rumah sahaja. Orang Cina dan India juga ramai tinggal di Kampung Kuala Lukut.

Abdul Halim memberitahu, di atas bukit yang hampir dengan tebing Sungai Lukut itu ada makam yang disebut makam Raja Busu.

Di bawah bukit tersebut terdapat sebuah lagi makam yang dikenali sebagai makam Panglima Syed Kadir.

Kononnya, menurut Abdul Halim, panglima Syed Kadir adalah seorang panglima di zaman pemerintahan Raja Busu di Lukut dan beliau sangat terkenal sebagai seorang pengamal ilmu mistik.

Sewaktu beliau meninggal dunia, kepalanya terpaksa dipisahkan, badannya ditanam di seberang Sungai Lukut dan kepalanya ditanam di Kampung Kuala Lukut. Begitulah penjelasan ringkas yang diberi oleh Abdul Halim.

Abdul Halim mengajak saya menaiki bukit untuk melihat makam Raja Busu. Saya bersetuju menaiki bukit setinggi lebih 10 meter itu. Walaupun saya masih tidak begitu sihat kerana lama berehat di hospital, saya gagahkan juga menaiki bukit tersebut yang dikenali sebagai Bukit Makam Raja Busu. Dengan merangkak perlahan-lahan dan berpaut pada pokok-pokok kecil, saya dan isteri sampai juga ke kemuncak bukit tersebut.

Rupa-rupanya ada empat buah makam di situ. Menurut Abdul Halim, selain makam Raja Busu, terdapat juga makam isteri Raja Busu dan putera Raja Busu yang sama-sama mangkat di dalam istana yang terbakar.

Berhampiran dengan makam Raja Busu itu terdapat sebuah makam yang menurut Abdul Halim disebut makam Pesak Baju. Siapa Pesak Baju itu saya pun tidak dapat maklumat lebih lanjut.

Kata Abdul Halim, datuknya yang bernama Abdul Majid yang kini berusia kira-kira 80 tahun, lebih mengetahui tentang cerita Pesak Baju itu.

Setelah berdoa seketika di makam raja Busu yang terletak di puncak bukit yang hampir dengan Kuala Sungai Lukut itu, saya mengimbas semula sejarah putera Raja Selangor yang datang membuka lombong di Lukut pada awal abad ke-19.

Raja Busu adalah putera Raja Nala dari kerabat diraja Selangor. Ayahanda baginda, Raja Nala, adalah putera Sultan Salehuddin iaitu Sultan Selangor Pertama (1756-1778).

Apabila Sultan Salehuddin mangkat pada tahun 1778, putera baginda, Raja Ibrahim, dilantik menjadi Sultan Selangor ke-3 bergelar Sultan Ibrahim Shah. Baginda kemudian melantik pula adinda baginda yang bernama Raja Nala menjadi Raja Muda Selangor.

Namun malang bagi Raja Muda Selangor ini. Baginda telah dihantar membawa sebuah angkatan perang untuk menolong Aceh yang sedang berperang dengan orang-orang dusun yang memberontak.

Raja Nala yang gagah berani terbunuh dalam peperangan tersebut. Pada awal abad ke-19, Sultan Ibrahim Selangor mengangkat putera Raja Muda Nala iaitu Raja Busu memerintah Lukut, kerana Lukut dianggap sebagai jajahan Selangor. Raja Busu kemudiannya telah membawa orang-orang Cina membuka lombong bijih timah di sepanjang lembangan Sungai Lukut, dan akhirnya baginda menjadi seorang yang kaya raya.

Para pelombong Cina di Lukut akhirnya tidak puas hati dengan cukai yang begitu tinggi terhadap bijih timah yang dikeluarkan dari Lukut. Lalu mereka beramai-ramai datang berjumpa Raja Busu di istananya di atas bukit yang berhampiran dengan tebing kiri mudik sungai tersebut kerana Raja Busu tidak mahu berganjak dengan cukai yang dikenakan.

Maka timbullah perasaan marah pelombong-pelombong Cina tersebut. Mereka kemudian telah membakar istana tersebut dan Raja Busu serta keluarga baginda mati terbakar di dalam istana berkenaan.

Perbuatan para pelombong Cina membakar istana Raja Busu sehingga kemangkatan baginda telah diketahui oleh Sultan Ibrahim, lalu baginda menghantar orang-orang baginda ke Lukut dan menghukum para pelombong Cina yang bertanggungjawab di atas kemangkatan Raja Busu.

Tidak lama kemudian Sultan Ibrahim mengangkat Raja Jumaat, seorang raja dari Riau, menjadi pemerintah di Lukut. Raja Jumaat telah memilih sebuah bukit yang terletak di tebing kanan mudik Sungai Lukut sebagai pusat pemerintahan Lukut. Di atas bukit tersebut yang dikenali sebagai Bukit Gajah Mati telah didirikan istana dan kota batu yang kukuh.

Oleh: N.A. HALIM

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0526&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_01.htm#ixzz4JqFbYWvc © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan