Sabtu, 10 September 2016

Mohd. Sharif cipta baja kompos

ARKIB : 25/05/1998
Mohd. Sharif cipta baja kompos
KESIBUKAN menjalankan tugas seharian tidak langsung menghalang Mohd. Sharif Mohamad, 51, daripada turut memberikan tumpuan kepada minatnya yang mendalam bagi menjalankan aktiviti berkebun.

Juruteknik Kanan Jabatan Hal Ehwal Awam dan Rekreasi, Majlis Perbandaran Melaka Bandaraya Bersejarah (MPMBB) itu tidak pernah mengabaikan minatnya untuk berbakti kepada tanah.

Sebaliknya beliau akan tetap meluangkan sedikit masa setiap hari menjalankan kegiatan itu walaupun menetap di tengah-tengah bandar, iaitu di Taman Norbah, Bukit Serindit, Melaka.

Tambahan pula Mohd. Sharif sentiasa didorong oleh isterinya, Noriah Tahir, 46, yang bertugas sebagai Pegawai Pertanian Melaka, dengan memberinya galakan menceburi kegiatan riadah itu.

Kawasan terbiar di persekitaran rumah mereka kini bertukar wajah menjadi kebun yang subur dengan tanaman seperti salad, sawi, bendi, kacang panjang, sawi jepun, cili, tomato, terung bulat dan sebagainya.

Di samping itu, pasangan itu juga menanam pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan herba termasuk pokok kantan, kesum, kunyit, halia dan lengkuas selain ulam-ulaman seperti ulam raja.

Mohd. Sharif juga mencipta sendiri baja kompos yang diperbuat dari bahan-bahan terbuang seperti rumput- rumpai, tahi ayam dan sebagainya.

Baja tersebut ternyata amat berkesan sekali. Tanam-tanamannya menghijau, subur dan membuahkan hasil yang begitu menggalakkan.

Kejayaan pasangan ini dalam bidang tersebut, terutama di tengah-tengah kegawatan ekonomi sekarang, telah membuka mata para penghuni lain di taman perumahan tersebut.

Mereka bukan saja mengagumi dayausaha Mohd. Sharif dan Noriah, malah pasangan itu turut diberi jolokan sebagai 'Pekebun Moden' yang patut dijadikan contoh.

Penghuni taman perumahan itu juga mengambil iktibar daripada kejayaan pasangan tersebut dengan turut memanfaatkan kawasan tanah di sekeliling rumah masing-masing dengan tanaman sayur-sayuran.

Malahan penduduk berkenaan juga sentiasa mendapatkan khidmat nasihat daripada Mohd. Sharif dan isterinya, Noriah.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0525&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_05.htm#ixzz4JqEKkX00 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan