WARTAWAN SINAR HARIAN
8 SEPTEMBER 2016
Tinggalan kubu Jepun belakang rumah Saribanun menunjukkan
tinggalan lokasi dapur kubu milik tentera Jepun yang kini tertimbus di belakang
rumah pusaka di Kampung Ladang.
Tinggalan kubu Jepun belakang rumah
GEMAS – Bukan hanya binaan rumah limas berusia kira-kira
60 tahun yang menarik perhatian pelancong untuk merakamkan kenangan di Kampung
Ladang, di sini, bahkan, sebuah lagi tinggalan sejarah turut tersimpan rapi di
belakang rumah pusaka berkenaan.
Saribanun Yusof, 56, berkata, sejak kecil lagi, arwah
ayahnya, Yusof Md Amin, banyak bercerita kepada mereka 13 beradik, terdapat
binaan tungku dapur menggunakan batu-batu sungai yang disusun cantik berdekatan
perigi dipercayai milik tentera Jepun.
Menurutnya, semasa rumah berkenaan didirikan, kubu
tersebut masih lagi teguh dan dia juga berpeluang melihat sendiri peninggalan
sejarah Perang Dunia Kedua berkenaan memandangkan terdapat dua perigi
berhampiran kubu berkenaan.
“Kini hanya tinggal kesan sahaja memandangkan pada 2011,
saya melakukan kerja tolak tanah untuk bina rumah baru dan binaan dapur kubu
milik tentera Jepun berkenaan dibersihkan sekali. Binaan berkenaan tertimbus ke
dalam perigi.
“Dulu perigi inilah yang menjadi lokasi keluarga kami
mandi serta mendapatkan sumber air dan kawasan kubu berkenaan menjadi tempat
bermain kami adik-beradik,” katanya kepada Sinar Harian, di Kampung Ladang, di
sini, semalam.
Saribanun berkata, selain tinggalan sejarah itu, kediaman
pusaka dibina arwah ayahnya selepas berkahwin dengan arwah emaknya, Timah
Ismail, juga mempunyai nilai nostalgia serta sentimental yang tinggi buat
mereka adik-beradik.
Menurutnya, lebih mengujakan lagi, gambar rumah berkenaan
turut dipamerkan di Muzium Adat Jelebu dan mereka sekeluarga mengetahuinya
apabila anaknya ada mengunjungi muzium tersebut bagi lawatan pusat pengajian.
“Tak sangka gambar rumah ini dikongsi kepada masyarakat
dan pelancong serata pelosok dunia. Kampung ini salah satu homestay di Negeri
Sembilan dan pengunjung yang datang dari Singapura, Thailand dan lain-lain lagi
telah merakamkan kenangan di rumah ini.
“Sebab itu, saya sangat bangga dan berbesar hati
sekiranya rumah ini dapat dibaik pulih dan seterusnya menjadi daya penarik
pengunjung ke sini," katanya.
Sebelum ini, Lembaga Muzium Negeri Sembilan telah
menjalankan kajian ke atas kediaman berkenaan bagi tujuan inventori kediaman
Yusof sebagai rumah warisan bersejarah di negeri ini.
Kajian berkenaan telah dijalankan oleh Penolong Kurator
Unit Monumen dan Tapak Tanah Bersejarah Bahagian Antikuiti Lembaga Muzium
Negeri Sembilan, Mohd Nazim Abd. Gaman; Penolong Kurator Unit Adat Perpatih
Bahagian Antikuiti Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Asrul Effendi Kamaruzzaman,
dan pemandu Mohd Juharizan Azizan.
Asrul berkata, pemilik kediaman berkenaan berketurunan
Minangkabau berasal dari Sumatera Barat, Indonesia dan merantau serta berkahwin
dengan orang Rembau.
Menurutnya, tiang rumah berkenaan berjumlah 10 batang dan
diperbuat daripada kayu serta dilapik dengan konkrit.
“Selain binaan rumah itu, terdapat tinggalan kubu Jepun
di belakang rumah serta barang lama seperti seterika, almari antik, pinggan
mangkuk, lesung menumbuk padi, basikal, serta tempayan yang digunakan untuk
menyimpan air minuman," katanya.
Sumber-SINAR HARIAN
8 SEPTEMBER 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan