Sabtu, 3 September 2016

RANG UNDANG-UNDANG RIDA DILULUSKAN

Pada hari ini 3.9.1953, Rang Undang-Undang RIDA (Rural and Industrial Development Authority) telah diluluskan oleh Dewan Undangan Persekutuan. Rang Undang-undang yang dikenali sebagai Rang Undang-undang RIDA 1953 ini diluluskan dengan sedikit pindaan yang mana telah menjadikan badan ini sebagai sebuah badan berkanun dan mempunyai kuasa memajukan bidang ekonomi dan sosial dalam Persekutuan khususnya di kawasan luar bandar. Rang Undang-undang ini akan mula berkuatkuasa pada 1 Januari 1954, akan membolehkan RIDA bergerak aktif dan berupaya untuk merencanakan program pembangunan dan juga menguruskan masalah kewangannya sendiri. Undang-undang ini juga membolehkan RIDA bergerak memajukan ekonomi dan sosial di bandar dan juga luar bandar. Satu lagi aspek penting rang undang-undang baru ini ialah RIDA dibolehkan untuk membantu usahawan-usahawan bumiputra di bandar bagi memajukan perniagaannya. Dengan lulusnya Rang Undang-undang RIDA pada hari ini dalam tahun 1953 sesungguhnya telah menjadikan RIDA satu agensi yang dapat memainkan peranan penting dalam pembangunan negara baik di bandar atau pun di luar bandar.

SUMBER- http://www2.arkib.gov.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan