Sabtu, 3 September 2016

Wali Sanga makamnya dihormati rakyat


 

ARKIB : 29/04/1998
Wali Sanga makamnya dihormati rakyat
PENULIS meneliti makam Temenggung Posponegoro berdekatan dengan makam Malik Ibrahim (Wali Sanga) di Gresik, Surabaya. Gambar diambil pada 1978.

Saya berpeluang melawat dan mengkaji makam purba, bangunan candi, masjid purba, kota peninggalan Belanda dan Portugis.

Suatu hari, ketua Arkeologi Islam, Dr. Hassan Muarif Ambary, memberitahu, saya akan mengikuti satu pasukan penyelidikan dari pusat tersebut ke Gresik, dekat Kota Madya Surabaya. Di sana pasukan penyelidikan akan menjalankan kajian terhadap satu kompleks sejarah yang dikenali kompleks makam Posponegoro.

Menurut Dr. Hassan, di dalam kompleks itu terdapat sebuah makam yang sangat dihormati oleh orang Islam di Jawa. Di situ terdapat makam Wali, iaitu salah satu makam Wali Sanga atau sebagai Wali Sembilan. Nama makam tersebut menurut Dr. Hassan ialah makam Sunan Malik Ibrahim.

Saya memang pernah membaca beberapa buah buku sejarah mengenai riwayat Wali Sanga Malik Ibrahim, seorang pengembang dan penyiar agama Islam yang terawal di tanah Jawa.

''Terdapat banyak cerita lisan yang kita boleh peroleh daripada penduduk tempatan,'' kata Dr. Hassan.

''Kalau saudara berada di sana nanti, bolehlah saudara membuat rakaman seberapa banyak yang saudara mahu, moga-moga hasil temu bual dan rakaman saudara itu boleh dibukukan. Saya percaya ramai yang suka membacanya,'' kata beliau lagi.

Perjalanan ke Gresik agak jauh. Dari Kota Jakarta memakan masa sehari semalam tanpa berhenti.

Pada hari yang ditetapkan, kami pun berangkat ke Gresik dengan menaiki Land Crusier berwarna hijau tua dengan pemandu berketurunan Sumatera. Umurnya belum sampai empat puluh tahun. Orangnya kurus dan sedikit bengis rupanya, tetapi senang dibawa berbual, lebih-lebih lagi mengenai hal mistik.

Rombongan kami terdiri daripada lima orang semuanya, diketuai oleh Norhadi, keturunan Jawa yang baru memeluk agama Islam.

Orangnya lekas mesra dan sedikit serius bila menyentuh hal agama. Pembantunya saudara Ahmad Kholid Sadrie, yang pernah membuat kajian tentang orang Melayu keturunan Terengganu yang menetap di Pulau Bali.

Beliau juga pernah mengadakan pertemuan dengan ahli sejarah Terengganu yang dipimpin oleh Datuk Haji Salleh atau lebih dikenali Misbaha.

Seorang lagi dalam rombongan kami ialah wanita, namanya Armeini Ariffin. Beliau sering tersenyum dan mudah ketawa, dan pandai pula berlawak dan berjenaka. Kadang-kadang jenakanya menjadikan kami semua ikut ketawa. Ceritanya yang paling lucu ialah kisah kuntilanak di bandar Jakarta. Kerana cerita itu agak menarik dan panjang, ada baiknya saya menulis tentang cerita itu dalam buku lain.

Pada hari pertama kami sampai di Gresik, mengikut rancangan, kami akan bertemu dengan ketua kantor Jabatan Pendidikan dan Kebudayaan daerah Gresik.

Memang menjadi peraturan di Indonesia setiap pegawai kerajaan yang menjalankan kerja lapangan di mana juga hendaklah terlebih dahulu melaporkan diri kepada ketua jabatan di daerah tempat mereka menjalankan tugas. Setelah bertemu dan berkenalan serta mendapat izin, barulah kami boleh menyempurnakan apa juga tugas yang hendak dilakukan.

Setelah bertemu dengan Ketua Jabatan Pendidikan dan Kebudayaan daerah Gresik, kami pun dibawa oleh beberapa orang pegawai melawat ke beberapa buah tapak bersejarah, seperti makam Fatimah Maimun yang mangkat pada 1082 TM.

Makam Fatimah ialah makam orang Islam yang paling tua pernah dijumpai di Nusantara ini. Tetapi sayang, pada batu nisannya tidak ada catatan yang boleh menerangkan siapa sebenarnya Fatimah.

Adakah dia penduduk tempatan atau anak seorang pembesar atau anak seorang ulama dari luar Jawa? Selain melawat makam Fatimah, kami juga dibawa melawat kompleks makam Sunan Giri yang terletak di atas bukit, tidak jauh dari bandar Gresik.

Sunan Giri adalah salah seorang daripada Wali Sanga yang makamnya sangat dihormati oleh orang Islam di tanah Jawa. Setelah itu, kami dibawa pula melawat kompleks makam Posponegoro. Di dalam kompleks makam tersebut, terdapat beberapa buah makam pembesar Gresik yang bergelar Temenggung, iaitu pembesar daerah yang berkuasa pada abad ke enam belas dan abad ketujuh belas.

Bersebelahan kompleks makam Kie Temenggung Pusponegoro, terdapat pula makam Malik Ibrahim, iaitu salah seorang Wali Sanga yang pertama. Di makam itulah nanti kami akan menjalankan penelitian dan penyelidikan, terutama melakukan kerja tekapan kepada batu nisannya yang bertulis. Tujuannya adalah untuk mendapatkan pendua atau replika di samping menjalankan kerja ukur mengukur serta temu bual dengan responden daripada penduduk di sekitar makam tersebut.

Semasa menjalankan penelitian dan penyelidikan terhadap tapak bersejarah di sekitar Gresik, terjadi satu peristiwa yang sukar saya lupai. Saya tidur di sebuah pondok usang yang terletak di dalam kompleks makam Kie Temenggung Posponegoro yang tidak jauh dari makam Malik Ibrahim.

Rupa-rupanya berdekatan dengan tembok kompleks makam bersejarah itu terdapat sebuah lagi kompleks makam, iaitu Kompleks Makam Pahlawan. Di dalam Kompleks Makam Pahlawan itu, bersemadi beratus-ratus pahlawan bangsa Indonesia yang gugur semasa revolusi rakyat Indonesia menentang penjajahan Belanda.

Makam pahlawan itu agak ganjil bagi orang Melayu di Malaysia kerana di dalamnya terdapat juga kubur pahlawan Indonesia yang menganut agama Kristian, Buddha dan agama lain di samping orang Islam. Di situ kita dapat lihat lambang makam orang Islam terletak sebelah-menyebelah lambang kubur Islam seperti lambang salib dan sebagainya. Bagi orang Indonesia itu suatu pemandangan biasa.

Saya memilih untuk tidur di pondok usang yang terletak di dalam kompleks makam Kie Temenggung Posponegoro itu sebenarya bukan sesuatu yang dirancangkan dalam program penyelidikan kami.

Memang di Gresik, saya difahamkan akan menginap di rumah ketua Jabatan Pendidikan dan Kebudayaan. Rumahnya agak jauh sedikit dari kompleks sejarah Kie Temenggung, tetapi agak besar dan ada bilik tamu yang cukup lengkap. Makan dan minum juga ditanggung olehnya. Layanannya memang istimewa sekali, lebih-lebih lagi apabila mereka mengetahui kami dari Malaysia. Menghormati tetamu menjadi amalan penting bagi kebanyakan pegawai di negara jiran yang ramai penduduknya.

Kebetulan sewaktu saya pertama kali melawat kompleks makam Kie Temenggung Posponegoro, saya sempat bertemu dengan beberapa orang penjaga makam di kompleks itu. Salah seorang sudah berumur hampir enam puluh tahun. Beliau sudah tiga puluh tahun menjaga kompleks tersebut. Menurutnya, di kompleks itu banyak terjadi perkara yang ganjil kerana di dalam kompleks makam itu terdapat makam yang dikeramatkan.

Pada suatu senja, ada orang pernah melihat asap keluar daripada salah sebuah kubur yang terletak di penjuru sebelah timur. Ada juga yang pernah melihat lembaga bertubuh besar berpakaian putih menangis di atas makam yang dikeramatkan itu. Dan ada bermacam-macam lagi cerita yang saya catatkan daripada cerita orang tua tersebut.

Kerana tertarik dengan cerita lisannya itulah saya bertekad untuk tidur di pondok usang yang terletak di dalam kompleks makam bersejarah itu. Moga-moga saya mendapat bahan yang menarik. Lalu hasrat itu saya sampaikan kepada ketua rombongan kami, Norhadi. Beliau terperanjat dengan hasrat saya itu.

Katanya, beliau sendiri tidak sanggup tidur di pondok usang tersebut walau diupah sebanyak mana. Katanya, pondok tersebut ada penunggu, dan penjaga makam pun tidak pernah berbuat demikian. Mereka juga menganggap pondok usang tersebut mempunyai latar belakang sejarah yang penuh misteri.

Kerana hati saya begitu tekad untuk bermalam di pondok tersebut, lalu beliau membenarkannya. Saya kira saudara Norhadi memahami sikap saya yang kadangkala sedikit berhati batu dan degil.

Tidak ada sebarang persediaan yang saya buat untuk tidur di makam keramat itu. Saya cuma membawa sebuah lampu suluh kecil. Moga-moga dengan cahaya lampu suluh itu dapatlah saya menyuluh sesuatu.

Manalah tahu kalau saya terasa takut dan seram. Entah ada yang cuba mengusik atau membuat sesuatu sehingga menjadi tidak menentu. Saya juga ada membawa biskut krim dan coklat angin, cukup untuk beberapa orang makan. Saya juga membawa jarum kerana benda tajam itu boleh digunakan untuk mencucuk sebarang lembaga yang menghampiri kita. Sekiranya lembaga yang kita cucuk itu mengadu sakit, maka sudah tentu dia bukan hantu atau kuntilanak.

Menurut penjaga makam tadi, hantu dan kuntilanak tidak akan menunjukkan sakit bila dicucuk dengan jarum. Ada satu benda lagi yang saya bawa, iaitu sebotol bedak wangi. Kata penjaga makam tadi, kadang-kadang lembaga ghaib yang berkeliaran di kompleks makam berkeramat itu suka meminta bedak wangi, terutama jika pada tengah malam yang sunyi dan hujan gerimis.

Pada ketika itu sering lembaga tersebut datang merayau-rayau mencari mangsanya, terutama orang yang pulang jauh malam.

Saya tidur di pondok dalam kompleks makam tersebut pada malam Jumaat. Pada malam itu, kira-kira pukul sebelas, bulan sudah naik kira-kira sesuku dari kaki langit di ufuk timur. Bulan tidak penuh, saya kira mengikut bulan Melayu (takwim Islam), malam itu jatuh pada 11 atau 12 hari bulan. Jadi cahayanya agak terang. Tetapi kerana adanya gumpalan awan, cahaya bulan tersebut tidak selalu menerangi kawasan persekitaran pondok tempat aku tidur.

Kerana tidak terasa mengantuk walaupun sudah pukul 12 malam, saya masih tidak tidur. Sesekali saya keluar dari pondok untuk buang air kecil. Kerana tidak ada tandas dalam kawasan perkuburan, saya terpaksa melepas di mana saja yang saya kira baik dan terhormat.

Maklumlah kalau sudah tidak tertahan, saya kira sesiapa pun berbuat demikian.

Kebanyakan penduduk di kawasan perumahan itu berketurunan Arab dan Jawa. Memang apa yang saya lihat pada siangnya, mereka rata-rata mempunyai paras yang lebih menarik. Saya boleh samakan mereka itu seperti syarifah di Malaysia.

Kira-kira pukul dua pagi, saya terasa mengantuk, dan saya menjangka dalam masa dua puluh minit atau setengah jam lagi pasti tidur dengan nyenyaknya. Kalau sudah tidur, tentu tidak ada apa-apa lagi yang menghantui fikiran saya. Tiba-tiba di luar pondok saya terdengar seperti suara perempuan. Kerana suara itu hampir benar dengan pondok, saya dapat mendengar dengan jelas beberapa patah perkataan antaranya suara itu menyebut 'mas', 'mas' beberapa kali, dan beberapa perkataan lain yang saya kurang faham. Perkataan mas ialah bahasa Jawa, yang ertinya sama dengan abang.

Saya terperanjat sehingga hilang sama sekali rasa mengantuk. Apabila daun pintu pondok yang diperbuat daripada anyaman pelupuh dan tidak berkunci itu terbuka lebar masuklah cahaya bulan menerangi beberapa sudut di tempat saya berbaring, iaitu di atas pangkin kayu. Lembaga yang membuka daun pintu itu tidak terus masuk. Agaknya lembaga itu terperanjat setelah mengetahui ada makhluk lain di dalam pondok usang tersebut.

Kemudian lembaga itu dalam samar-samar memanggil 'mas' beberapa kali kepada saya. Saya mula terasa seram. Terfikir oleh saya inilah gerangannya yang dikatakan kuntilanak atau pontianak yang diceritakan oleh penjaga makam. Sahlah saya melihat kuntilanak perempuan. Lembaga itu melihat saya dan dengan lemah lembutnya meminta bedak wangi serta gincu bibir. Saya teringat benda tersebut ada saya bawa lalu memberikan kepadanya. Lantas kuntilanak itu menyapu bedak wanita yang saya berikan itu di mukanya dan belakang tengkuknya.

Semasa itu saya teringat, kalau benar perempuan itu kuntilanak, tentu boleh dipaku di belakang tengkuknya, dan jadilah dia perempuan yang cantik. Tetapi terfikir pula oleh saya kalau kuntilanak yang dipaku di belakang tengkuknya, dan dia menjadi seorang perempuan biasa, maka kita kenalah berkahwin dengannya.

Kalau tidak, buruk padahnya. Waktu itu, teringat saya akan isteri dan anak-anak saya. Tentulah jadi masalah pula. Oleh itu saya lupakan saja niat untuk memaku kuntilanak tersebut.

Perempuan yang saya anggap kuntilanak itu meminta kebenaran untuk tidur di pangkin. Saya menjadi serba salah. Manalah tahu, entah-entah dicekiknya saya waktu tidur. Semasa itu saya teringat petua yang diajar oleh penjaga makam, lalu saya mengeluarkan jarum dan terus mencucuk bahagian punggung perempuan tersebut. Alangkah terperanjatnya saya apabila perempuan tersebut menjerit sekuat-kuatnya dan terus berlari keluar dari pondok. Dia mengucapkan perkataan yang aku kira memarahi aku. Perempuan tersebut terus berlalu dan keluar dari kawasan makam. Saya terdengar hilai dan ketawanya yang sungguh menggerunkan. Hingga pagi saya tidak dapat melelapkan mata, berjaga kalau-kalau perempuan itu menjelma lagi.

Siang harinya saya pun menemui penjaga makam dan memberitahu akan peristiwa pada malam tadi. Penjaga makam tersebut lalu ketawa dengan kuat. Katanya:

''Perempuan yang bapak sangkakan kuntilanak itu sebenarnya ialah perempuan biasa yang tidak siuman kerana ditinggalkan suaminya. Memang sesekali perempuan tersebut tidur di pondok tempat bapak menginap itu.''

Saya fikir betullah petua yang diberi oleh penjaga makam tersebut. Dengan menikam jarum kita dapat memastikan sesuatu makhluk itu manusia atau kuntilanak yang sebenar. Barangkali penjaga makam itu memang hendak mengenakan saya. Pagi itu saya ajak penjaga makam itu bersarapan di sebuah warung kopi.

Oleh: N.A. HALIM

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0429&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_01.htm#ixzz4JCm4AJhJ © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan