Sabtu, 3 September 2016

Jibon mengembalikan Mat Sentul ke filem

ARKIB : 04/05/1998
Setelah lebih 30 tahun tidak muncul di layar perak, pelakon veteran Mat Sentul akan kembali menemui penonton melalui filem komidi, Jibon terbitan Grand Brilliance.

Filem arahan Nahar Akhbar Khan ini akan ditayangkan pada 7 Mei ini merupakan filem terbaru lakonan Mat Sentul selepas filem Mat Tenggek pada tahun 1970-an.

Menurut Nahar, pelakon veteran itu menyatakan persetujuan untuk menangani watak sebagai Mail di dalam filem komidi bercorak adventure ini setelah meneliti cerita yang agak berbeza daripada filem-filem tempatan sebelum ini.

Jibon merupakan sebuah filem yang memaparkan seorang gergasi atau Big Foot yang kononnya tinggal di dalam hutan di negara ini.

Menurutnya, kemunculan Mat Sentul di dalam filem ini dijangka turut membantu menarik perhatian penonton terutamanya di kalangan kanak-kanak.

''Mat Sentul memang terkenal dengan filem-filem komidinya. Walaupun sudah lama tidak muncul di dalam filem, anak-anak kecil masih mengenalinya melalui filem lakonannya yang lalu.

''Saya berharap kemunculannya kali ini dapat menjadi daya penarik untuk pelajar-pelajar ke pawagam bersama keluarga mereka bagi menonton filem ini,'' jelas Nahar.

Katanya juga, sekalipun usia Mat Sentul sudah melewati 60 tahun, pelakon ini masih berkeupayaan untuk berlakon dan memberikan hasil yang amat membanggakannya.

Bekerja dibawah tunjuk ajar pengarah yang lebih muda seperti dirinya juga tidak memberi sebarang masalah kepada Mat Sentul.

Lebih menarik juga, jelas Nahar, aksi spontan Mat Sentul banyak membantu krew dan pengarah di lokasi.

''Sebagai pelakon berpengalaman dia tahu apa yang diinginkan oleh pengarah. Tanpa disuruh, dia pasti akan membuat pelbagai kejutan di lokasi yang banyak mencantikkan lagi jalan cerita filem ini,'' katanya.

Selain itu juga, filem ini mencipta kelainan apabila menampilkan kanak-kanak berusia 10 tahun, Zafri Abdul Rahman sebagai pelakon utamanya.

Keadaan ini juga amat bersesuaian dengan tayangan filem ini pada musim cuti sekolah.

Cerita Jibon ini diilhamkan daripada sebuah laporan di dalam akhbar tempatan beberapa tahun lalu mengenai penemuan bekas tapak kaki sejenis makhluk gergasi.

Makhluk yang dipercayai tinggal di dalam Hutan Simpan Endau Rompin ini juga dikenali sebagai 'Hantu Sejarang Gigi' oleh kaum asli yang tinggal di sekitar Hutan Endau Rompin.

Filem yang menelan belanja sebanyak RM500,000 ini telah memulakan penggambaran pada Disember 1996 dan siap pada Febuari 1997. Bagaimanapun atas masalah-masalah tertentu, filem ini terperap sekian lama dan banyak yang tidak tahu kemunculannya.

Jibon mengisahkan Sani yang menyertai satu ekspedisi anjuran persatuan pengakap sekolahnya yang mengembara sambil belajar ke dalam hutan.

Dalam perjalanan, berlaku satu kemalangan yang mengakibatkan Sani terjatuh dari sebuah jambatan lama ke dalam sungai. Akibat arus daras, Sani gagal diselamatkan oleh gurunya.

Dalam kegawatan itu, Sani telah diselamatkan oleh makhluk 'Big Foot' yang membawanya ke dalam hutan di sebuah gua. Di sini hubungan Sani dan makhluk 'Big Foot' ini semakin rapat dan Sani memanggilnya Jibon.

Jibon berada dalam bahaya apabila Bomoh Semaun dan kuncu-kuncunya berazam untuk menangkapnya kerana Jibon pernah menyerangkan sehingga meninggal parut di muka suatu ketika.

Selain Mat Sentul, filem ini turut dilakoni oleh Rozaidi Abdul Rahman (Sani), Halim Rahim (Jibon), Mat Sentul (Din Glamour), Aziz Sattar (Tok Batin), Nora Ramli (Anakali), Along Kamaruddin (Cikgu Safuan) dan Melissa Saila (Cikgu Faridah)

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0504&pub=Utusan_Malaysia&sec=Hiburan&pg=et_02.htm#ixzz4JG4ucCpg © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan