ARKIB : 08/05/1998
Misbun kurang senang sikap
Morten Frost
MISBUN
JURULATIH kelab badminton
profesional Nusa Mahsuri, Misbun Sidek menyelar kelancangan mulut Morten Forst
Hansen yang menganggap adiknya pengecut dan tidak bersemangat patriotik ketika
menyatakan penarikan diri daripada skuad Piala Thomas negara, minggu lalu,
lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.
Misbun juga mempertikaikan hak
Frost untuk bersikap seperti 'diktator' apabila memberikan tekanan berterusan
terhadap adiknya itu supaya mendapatkan satu mata menerusi acara perseorangan
tanpa mengira walau dengan apa cara sekalipun.
''Apa haknya untuk menekan
Rashid sebegitu sekali sedangkan adik saya di bawah naungan sebuah kelab yang
profesional, Nusa Mahsuri dan saya sendiri yang sering membimbingnya.
''Mengapa mesti dia berbuat
begitu? Ini seolah-olah menggambarkan dia sendiri kurang pasti sama ada pemain
di bawah bimbingannya seperti Ong Ewe Hock dan Yong Hock Kin mampu
menyumbangkan mata daripada acara perseorangan,'' kata Misbun lagi.
Ujar bekas jaguh negara itu,
Rashid menjelaskan kepadanya bahawa dia sudah tidak mampu lagi dibebankan
dengan tekanan orang luar walaupun pelbagai cara sudah dicuba untuk
mengatasinya ketika sesi latihan harian.
''Bayangkan jika dalam latihan
pun, Rashid tewas dengan mudah kepada Roslin Hashim (seorang lagi pemain Nusa).
Malah pukulan lawan semakin sukar dijangkau Rashid lagi kerana jiwanya terkongkong
dengan sikap keras Frost itu.
Tambah Misbun, Rashid
menyatakan pengunduran diri daripada skuad ke Hong Kong itu dengan cara
profesional dan ada 'hitam putihnya' (surat rasmi).
''Tetapi bagaimana dengan BAM
(Persatuan Badminton Malaysia)? Hingga hari ini (semalam), saya tidak nampak
satu surat jawapan rasmi pun dihantar ke kelab Nusa yang mengesahkan
pengguguran Rashid terus daripada skuad negara akibat keputusan penarikan dirinya
itu.
''Nusa Mahsuri merupakan
pertubuhan berdaftar. Kami juga ada protokol, penaung dan presiden. Apakah BAM
boleh melayan kami dengan cara begini?'' bidas Misbun.
Misbun menegaskan, yang anehnya
ialah Frost sendiri tidak pernah bersemuka dengannya untuk membincangkan soal
Rashid itu sejak isu penarikan diri adiknya timbul, minggu lalu.
Harapan Nusa kini tergantung
penuh kepada Roslin selaku perseorangan ketiga biarpun anak didik Misbun itu
dijangka menghadapi pemain ternama pasukan lawan yang lebih tinggi kedudukan
dalam Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF).
''Saya sedar lawan Roslin nanti
terdiri daripada Ahn Jae Chang, Joko Suprianto dan Dong Jiong yang memang
diakui mempunyai kelebihan atas kertas (rekod pertemuan lalu).
''Namun Roslin sentiasa
menghargai setiap sen orang ramai yang dipungut ketika mencari wang pampasan
RM60,000 untuk melepaskan diri daripada kontrak BAM lalu.
''Mungkin itulah yang terus
menjadi tunjang dan pembakar semangat perjuangannya apabila menggantikan tempat
Rashid untuk menyumbangkan kejayaan buat skuad negara,'' jelas Misbun.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0508&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4JHmQGcFb
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan