FAIZAH IZZANI ZAKARIA
| 03 September 2016 5:50 PM
Keris adalah senjata yang menjadi simbol kekuatan orang
Melayu dan sebahagian besar masyarakat di Nusantara.
MATI dihunus keris adalah mati yang menyeksakan.
Hang Jebat mati setelah beberapa hari menahan sakit
kerana tusukan keris milik Hang Tuah. Tubuh badannya menjadi semakin lemah dan
tidak bermaya, sehingga akhirnya dia menghembuskan nafas terakhir kerana luka
tersebut.
Ini kerana tikaman daripada sebilah keris tidak akan
membunuh secara terus, sebaliknya akan mengambil masa berjam-jam, hari malah
sehingga berbulan lamanya sebelum mangsa mengakhiri nyawanya.
Apa yang menjadikan senjata yang lahir dari alam Melayu
Nusantara, keris sebagai sebilah besi yang cukup hebat?
Jawapannya, keris bukan sekadar besi. Ia memiliki jiwa
dan karakter serta falsafah tersendiri. Daripada proses pembuatannya,
sehinggalah kepada pemilikannya, keris lahir dari alam Melayu Nusantara yang
memiliki keunikan dan misteri.
Pada mata masyarakat barat, senjata seperti keris
memiliki nilai hanya apabila memiliki rupa bentuk dan fizikal yang cantik
sahaja.
Namun, bagi dunia Melayu dan Nusantara, keris memiliki
harga yang lebih tinggi. Makna sebilah keris bagi dunia Melayu terletak pada
pemikiran, falsafah dan nilai kepercayaan yang ada pada ‘karya’ itu.
Justeru, memiliki keris bagi masyarakat di Nusantara
bukan hanya memiliki sesuatu yang berfizikal cantik semata-mata. Ia adalah
lambang dan simbol ketinggian masyarakat Melayu.
Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Seni dan Muzik,
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Drs. Izani Mat Il, pembuatan keris
di Nusantara sering dikaitkan dengan kepercayaan, perasaan dan pancaindera
masyarakat penggunanya.
“Masyarakat Nusantara zaman dahulu menggunakan perasaan dalam
menilai keris. Mereka membezakan berbagai-bagai jenis besi dengan cara
mengamati, mendengar bunyinya bila dijentik, dengan merabanya dan menggunakan
perasaan hati. Oleh kerana itulah, ilmu besi tradisional ini sukar dipelajari
dan sukar juga dibuat catatannya,” katanya ketika ditemui S2 baru-baru ini.
Izani berkata, jika dikaji pembuatan keris di Jawa,
terdapat 17 bahan logam yang mempunyai ‘khasiat’ tersendiri terhadap pemakainya
digunakan dalam proses pembuatan sebilah keris.
Sebagai contoh, Pulasani adalah besi yang mempunyai
urat-urat seperti batu, berwarna hijau pekat dan mempunyai bunyi bergema
apabila dijentik. Pemakai besi jenis ini dikatakan membawa rezeki dan darjat
serta amat baik untuk dijadikan bahan pusaka.
Namun, perkara yang paling penting perlu ada pada sebilah
keris adalah sejenis campuran besi yang dipanggil ‘pamor’. Pamor pada keris
terhasil semasa proses pembuatan senjata itu. Ia terbentuk daripada perbezaan
jenis besi yang digunakan dalam teknik pembuatan mata keris.
Beliau berkata, keris pada zaman dahulu kebiasaannya akan
disalut dengan bahan arsenik atau digelar ‘warangan’ dalam bahasa Jawa. Bahan
itulah yang akan menyebabkan lawan menderita bagi tempoh lama setelah terkena
tusukan atau tikaman keris. Mengikut logik, itu apa yang berlaku pada Hang
Jebat.
- Sumber:
http://www.utusan.com.my/rencana/keris-jiwa-melayu-dan-nusantara-1.377802#sthash.Ryj46lvr.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan