ARKIB : 07/05/1998
KUALA LUMPUR 6 Mei - Sebanyak
dua juta unit saham Amanah Saham Wanita (Asnita) bernilai RM1 juta berjaya
dijual di hari pertama penjualannya semalam.
Jumlah ini adalah hanya bagi
unit-unit yang dijual di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sehingga petang
selepas pelancarannya yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr.
Mahathir Mohamad.
Asnita adalah unit amanah saham
hasil gabungan usaha Wanita UMNO dan Barisan Nasional yang diuruskan oleh
Hijrah Unit Trust Management Berhad yang menawarkan 400 juta unit saham dengan
harga 50 sen seunit.
Penolong Pengurus Pemasaran
Hijrah Unit Trust Management Berhad (Hijrah), Nor Balkish Maenoh bagaimanapun
tidak memberitahu jumlah pelabur yang terlibat.
''Setakat ini kita belum boleh
memberitahu jumlah keseluruhan langganan pada hari pertama kerana kita belum
mendapat talian secara terus dengan Bank Simpanan Nasional (BSN),'' katanya
kepada Utusan hari ini.
Beliau bagaimanapun berkata,
sambutan yang diberikan oleh rakyat Malaysia terhadap skim ini amat
menggalakkan kerana terdapat banyak cawangan BSN telah kehabisan borang
langganan.
BSN menyediakan 464 cawangan
untuk membolehkan orang ramai membuat pelaburan tersebut di samping di ibu
pejabat Hijrah di Jalan Ampang di sini.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0507&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_05.htm#ixzz4JHHZJsyg
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan