WARTAWAN SINAR HARIAN
8 SEPTEMBER 2016
Sarjan Hassan bukan rekaan Tongkat kuasa Sarjan Hassan
sepanjang lebih kurang 0.8 meter. Gambar kecil: Sarjan Hassan
PORT DICKSON - Watak Sarjan Hassan lakonan seniman agung
P Ramlee dalam filem Sarjan Hassan yang ditayangkan pada 28 Ogos 1958, bukan
rekaan semata-mata malah ia adalah kisah benar seorang pahlawan negara yang
telah banyak berjasa kepada tanah air.
Anak Sarjan Hassan, Mohamad Muhsin, 56, berkata, dia
tidak tidak berkecil hati jika dahulu ada yang menganggap kisah Sarjan Hassan
adalah hanya dongeng, namun tinggi harapannya agar masyarakat hari ini lebih
memahami dan celik sejarah.
“Kita semua pun tahu, filem Sarjan Hassan semasa
penggambarannya terpaksa melalui beberapa kekangan atas faktor keselamatan
negara ketika itu.
“Jadi banyak dipaparkan itu tidak seperti kejadian sebenar,
tetapi semangat ditonjolkan Sarjan Hassan dalam filem lakonan P Ramlee itu
memang betul-betul real.
“Arwah ayah saya memang seorang yang mempunyai semangat
perjuangan yang tinggi demi mempertahankan tanah air.
“Semangat itu jugalah yang diharapkan ada pada barisan
anggota keselamatan negara dan juga seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum
ini untuk bersama-sama mempertahankan kemerdekaan negara,” katanya kepada
pemberita semasa Seminar Jejak Perwira 2016 di Auditorium Muzium Tentera Darat
semalam.
Anak ketujuh daripada 12 orang adik beradik itu berkata,
dia sangat mengalu-alukan jika ada pihak yang sudi memaparkan kisah sebenar
Sarjan Hassan.
“Usaha P Ramlee sudah pasti sangat dihargai, dan jika
sekarang ada yang ingin buat filem Sarjan Hassan berdasarkan kisah sebenar dan
mengikut sejarah, itu sangat dialu-alukan untuk pemahaman generasi muda hari
ini dan yang akan datang,” katanya.
Tidak boleh dilihat komunis
Mohamad Muhsin berkata, Sarjan Hassan memang selalu
bercerita tentang dunia ketenteraan, tentang pertempuran dan ketika beliau
melakukan risikan ke atas pergerakan komunis kepada anak-anaknya.
“Masa saya kecil, memang dia selalu cerita tentang
pertempuran dan sebagainya.
“Selain ilmu ketenteraan, Sarjan Hassan mempunyai
kelebihan ilmu antaranya membolehkan dia tidak dilihat oleh komunis.
“Itu kelebihannya dan dia memang seorang yang rajin
menuntut ilmu agama dengan agamawan, malah dia juga dulu merupakan pelajar
sekolah pondok,” katanya.
Mohamad Muhsin berkata, dalam semua peperangan atau
pertempuran yang disertai Sarjan Hassan, pertempuran dengan diri sendiri adalah
pertempuran yang paling mencabar buat dirinya.
“Sarjan Hassan pernah berkata, pertempuran dengan diri
sendiri, bertempur dengan sikap jahat dalam diri dan kita hanya akan menang
jika dalam diri ada sikap amanah dan bertanggungjawab.
“Jika dah sampai tahap itu, letakkan kita ke pertempuran
apa pun, kita akan berjaya hadapinya,” katanya.
Menurutnya, dalam 12 beradik tidak ada seorang pun yang
mengikut jejak langkah arwah ayahnya menyertai tentera.
“Saya pernah beberapa kali dihantar arwah ayah untuk sesi
pemilihan tentera, tetapi semuanya gagal. Lagi pun memang jiwa saya tidak ke
arah ketenteraan,” katanya.
Katanya, dia juga berharap agar perjuangan dan
pengorbanan arwah ayahnya dapat terus dihargai sebaris dengan pejuang
kemerdekaan negara yang lainnya.
Sementara itu, cucu Sarjan Hassan, Mohd Syahrul Nizam
Ishak, 34, berkata, dia antara cucu Sarjan Hassan yang menyimpan beberapa
barang peninggalan pahlawan negara itu.
“Antara yang ada dalam simpanan saya adalah tongkat kuasa
dan mesin taip. Saya berhasrat untuk menyerahkan barangan berkenaan kepada
Muzium Tentera Darat bagi menambah koleksi sedia ada berkaitan Sarjan Hassan,”
katanya.
Sumber-SINAR HARIAN
8 SEPTEMBER 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan