9 SEPTEMBER 2016
Contohi semangat legenda bola sepak 1980an Menteri
Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak (lima,kiri)
bergambar bersama para pemain lagenda Harimau Malaya pada Majlis Pelancaran
Dokumentari Harimau Malaya 1980 di Astro Bukit Jalil hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk
Seri Dr Salleh Said Keruak berkata rakyat perlu mencontohi semangat patriotik
dan kesefahaman yang dipamerkan pasukan bola sepak Harimau Malaya era
1980-an.
Beliau berkata semangat seumpama itu terbukti menjadi
antara faktor penyumbang kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi.
"Kita kena belajar daripada mereka kerana bukan
mudah untuk membina satu pasukan, setiap individu dalam pasukan ada peranan
masing-masing. Daripada kepelbagaian yang ada, mereka mampu membina kemampuan
masing-masing dan berjaya.
"Sebab itulah kita perlu lupakan perbezaan yang ada.
Apa yang penting adalah matlamat untuk memastikan kejayaan bersama selain
menghormati ketua," katanya semasa melancarkan Dokumentari Harimau Malaya
1980 di sini hari ini.
Turut hadir beberapa legenda bola sepak pasukan Harimau
Malaya era 1980-an iaitu Datuk Soh Chin Aun, Hasan Sani, James Wong dan Santokh
Singh.
Dokumentari keluaran Astro itu yang bakal disiarkan pada
16 Sept ini bersempena Hari Malaysia turut mengiktiraf kejayaan pasukan Harimau
Malaya atau 'Dream Team' yang layak ke Sukan Olimpik Moscow pada 1980.
Harimau Malaya 1980 akan disiarkan menerusi saluran Astro
Arena saluran 801 atau 802 HD, SuperSport 810 (831 HD) dan Astro on the Go pada
pukul 9 malam.
Salleh berkata pasukan itu bukan hanya mempamerkan
persembahan permainan terbaik, malah membuktikan bahawa perbezaan dalam pasukan
bukanlah penghalang bagi mereka menempa kejayaan negara dalam arena sukan bola
sepak di persada antarabangsa.
"Saya bangga dengan pemain yang bermain
bersungguh-sungguh atas nama negara bukan bersifat individu. Itulah semangat
patriotik," katanya.
Mengenai dokumentari itu, Salleh berkata ia merupakan
suatu usaha membanggakan malah bernilai sebagai bahan rujukan dan sumber
inspirasi kepada generasi baharu.
Katanya dokumentari itu berjaya menghimpunkan kisah
ranjau perjalanan negara dalam menempah peluang emas ke Sukan Olimpik Moscow
pada 1980.
"Kisah yang dipaparkan dalam dokumentari ini
mengingatkan kita bahawa tugas memupuk perpaduan masyarakat Malaysia pelbagai
budaya, etnik dan bahasa merupakan tanggungjawab semua," katanya. –
Bernama
Sumber-SINAR HARIAN
9 SEPTEMBER 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan