Isnin, 12 September 2016

PERMULAAN PENTADBIRAN TENTERA BRITISH DI TANAH MELAYU 12.9.1945

Pada hari ini dalam tahun 1945, elemen pertama Pentadbiran Tentera British mula sampai di Tanah Melayu untuk memulakan pentadbiran tentera bagi menggantikan pemerintahan pendudukan Jepun. Dengan adanya Pentadbiran Tentera British ini, kekuasaan penjajahan Inggeris seperti sebelum pendudukan Jepun telah dapat diperkenalkan di Tanah Melayu.

Mengikut sumber Inggeris, objektif utama Pentadbiran Tentera British di antaranya ialah untuk:

Mengembalikan keamanan dan undang-undang serta memupuk semangat dan kecekalan rakyat jelata.
Membentuk Mahkamah Jenayah secepat mungkin bagi membicarakan kes-kes jenayah.
Menyediakan bantuan bekalan hidup harian kepada orang-orang awam.
Memulihkan semula Tanah Melayu dengan secepat mungkin supaya sebuah kerajaan awam dapat diwujudkan.
Pentadbiran Tentera British diselenggarakan dibawah pemerintahan Pegawai Pemerintah Angkatan Tentera di Tanah Melayu dengan arahan langsung dari Pemerintah Tertinggi Bersekutu, South East Asia Command. Di bawah Pentadbiran Tentera British ini juga Perkhidmatan Hal-ehwal Awam atau Civil Affairs Service diwujudkan untuk menguruskan kebajikan orang-orang awam. Perkhidmatan Hal-ehwal Awam ini di ketuai oleh Major General H.R.Hone dan dibantu oleh Brigadier H.C.William, Brigadier Newboult dan Brigadier Mc.Kerron. Dalam menjalankan dasar-dasar pentadbirannya, British telah menghadapi pelbagai tentangan dan rintangan dari berbagai arah termasuk dari golongan Menengah Melayu dan aristokrat dan juga golongan 'Colonial Old Guard'. Dengan itu pentadbiran Tentera British terpaksa memberi kompromi dalam usahanya untuk mengekalkan sokongan golongan-golongan tersebut di satu pihak dengan keperluan untuk memodenkan ekonomi kolonial di pihak yang lain. Akhirnya kompromi ini terjalin dalam bentuknya yang formal dengan terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu 1948.

SUMBER- http://www2.arkib.gov.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan