Isnin, 12 September 2016

Latif jaguh dunia

Oleh MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH
 
ATLET paralimpik negara, Abdul Latif Romly kini bergelar juara dunia.

Penat lelahnya selama ini berbaloi apabila meraih pingat emas acara lompat jauh kategori T20 (masalah pembelajaran) pada Sukan Paralimpik 2016 di Rio de Janeiro lewat malam kelmarin.

Kejayaan itu bakal menyaksikan atlet yang berasal dari Arau, Perlis itu menerima imbuhan RM1 juta di bawah skim Hadiah Kemenangan Sukan Majlis Sukan Negara, selain menerima pencen RM5,000 sebulan.

Latif, 19, yang meraih pingat emas acara tersebut dengan lompatan sejauh 7.60 meter (m), kini muncul pemegang baharu rekod dunia acara berkenaan.

Walaupun belum menerima imbuhan RM1 juta itu, namun Latif sudah mempunyai perancangan tersendiri iaitu untuk menggunakan sumbangan ganjaran tersebut membina rumah baharu serta menghantar ibu bapanya, Romly Mat, 63, dan Salmah Yatim, 58, menunaikan ibadah umrah kelak.

“Saya akan menggunakan RM1 juta Itu untuk bina rumah dekat kampung (Kampung Paya Kelubi, Bukit Keteri) dan hantar emak ayah pergi umrah,” kata Latif ketika dihubungi di Rio semalam.

Pada penampilannya di Rio, Latif berjaya mengatasi rekod dunia sebanyak tiga kali menerusi enam percubaannya pada aksi final acara lompat jauh di Stadium Olimpik itu kelmarin.

Pemenang pingat emas Kejohanan Dunia IPC 2015 di Doha, Qatar itu memecahkan rekod dunia, 7.35m milik atlet Sepanyol, Jose Exposito pada percubaan kedua dengan lompatan sejauh 7.47m.

Latif yang turut memenangi pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma) 2016 di Kuching, Sarawak, sekali lagi meleburkan rekod itu pada lompatan ketiga dengan jarak 7.54m.

Tidak terhenti di situ, dia yang menerima laungan semangat ‘Terbang Latif Terbang’ berjaya memecahkan rekod dunia buat kali ketiga dengan catatan 7.60m pada lompatan kelima.

“Saya sangat berpuas hati kerana dapat memperbaharui rekod dunia. Saya ingin menghadiahkan pingat emas ini kepada seluruh ahli keluarga, para jurulatih saya dan semua rakyat Malaysia yang mendoakan kejayaan ini,” jelas Latif.

Catatan itu ternyata sukar dicabar pemenang pingat perak, Zoran Talic dari Croatia (7.12m) dan atlet Ukraine, Dmytro Prudnikov yang memenangi tempat ketiga dengan jarak 6.99m.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0913&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4K5eVdmbA Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan