ARKIB : 09/05/1998
KAHERAH 8 Mei - Perdana
Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Datuk Seri Dr. Siti Hasmah
Mohd. Ali tiba di sini lewat petang ini bagi memulakan lawatan rasmi selama
tiga hari dalam usaha mengeratkan hubungan dua hala dengan Mesir.
Selain lawatan rasmi, Perdana
Menteri akan mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Kumpulan 15 Negara
Membangun (G-15) yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 11 Mei ini.
Ketibaan Dr. Mahathir dan Dr.
Siti Hasmah Mohd. Ali disambut oleh Perdana Menteri Mesir, Dr. Kamal Ahmed Al
Ganzoury dalam satu upacara penghormatan di lapangan terbang antarabangsa
Kaherah.
Turut berada di lapangan
terbang ialah Menteri Luar, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Ketua Setiausaha
Kementerian Luar, Datuk Abdul Kadir Mohamed dan Duta Malaysia di Mesir, Azman
Nazir.
Ini merupakan lawatan kedua
Perdana Menteri selepas tahun 1984.
Esok, Perdana Menteri akan
mengetuai delegasi Malaysia mengadakan mesyuarat dua hala dengan Dr. Kamal
Ahmed dan sebahagian barisan kabinetnya.
Dr. Mahathir juga akan
mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Hosni Mubarak dan berucap pada
satu forum perniagaan serta menghadiri jamuan makan malam rasmi yang diraikan
oleh Dr. Kamal Ahmed.
Pada Ahad, beliau akan
mengadakan kunjungan ke atas Sheikh Al Azhar, Dr. Mohamed Syed Tatawi dan
dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat oleh universiti terkemuka itu, selain
menemui pelajar Malaysia.
Sehari selepas itu, Perdana
Menteri akan menyertai pemimpin-pemimpin lain dari 16 negara pada Persidangan
G-15 kelapan yang akan dirasmikan oleh Presiden Hosni Mubarak.
Persidangan itu akan berakhir
pada 13 Mei ini sebelum Perdana Menteri dan Dr. Siti Hasmah berlepas ke Sudan
untuk lawatan rasmi tiga hari ke negara Afrika itu yang berjiran dengan Mesir.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0509&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_08.htm#ixzz4JNMzZDgT
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan