Isnin, 5 September 2016

Nilai khazanah silam

ARKIB : 10/05/1998
Namun, perubahan zaman dan era kolonialisme Barat di Nusantara, khususnya, Tanah Melayu sebahagian besar manuskrip yang memuatkan warisan ini telah hilang dan musnah.

Biarpun begitu, sebahagian khazanah ini masih tersimpan di pelbagai muzium dan perpustakaan di Barat serta arkib negara ini. Setidak-tidak dengan berpandukan manuskrip dan naskhah-naskhah ini, kegemilangan silam sastera Melayu dapat dibongkar.

Nilai-nilai intelektualiti dan peradaban Melayu yang terkandung dalam naskhah-naskhah tersebut, dibuktikan oleh salah seorang sarjana tempatan, Prof. Dr. Siti Hawa Salleh dalam karyanya Kesusasteraan Melayu Abad Kesembilan Belas.

Menurut pensyarah Jabatan Antropologi dan Sosiologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Abdul Rahman Embong, karya tersebut berjaya menghimpunkan 148 hasil kesusasteraan yang diketahui tarikh penyalinannya.

"Buku ini memperlihatkan korpus ilmu tidak dapat berlaku tanpa penyelidikan yang teliti serta pembahasan dan kritikan atau polemik mengenai perspektif teori, pendekatan, metodologi dan sebagainya.

''Sekali gus satu sumbangan kepada pembinaan korpus bidang pengajian Melayu dan juga lanjutan perbahasan yang sihat dan berterusan dalam bidang tersebut serta memperkayakan lagi korpus tersebut,'' katanya pada wacana buku Kesusasteraan Melayu Abad Kesembilan Belas di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Di dalam pembahasannya tentang dunia kesusasteraan Melayu, Abdul Rahman melihat Prof. Siti Hawa mengklasifikasikan bidang pengajian ini kepada dua gelombang iaitu pengkajian orientalis dan kajian yang 'antiorientalisme'.

Wakil terpenting dari gelombang pertama ialah R.O Winstedt manakala wakil terpenting daripada gelombang kedua yang berjaya mengubah perspektif pengajian Melayu ialah Ismail Hussein.

Pada pandangan Prof.Siti Hawa dalam karya tersebut, dominasi pengkaji orientalis dalam pengajian Melayu sangat ketara sejak zaman pramerdeka dan zaman awal pasca merdeka.

Kemunculan beberapa intelektual tempatan yang prolifik sesudah era tersebut menyebabkan penulisan menurut perspektif orientalis menurun. Faktor ini disebabkan gejolak untuk mengisi lompang ilmu, yang mengkritik keras faham orientalisme dalam ilmu.

''Perubahan perspektif dan pendirian hasil daripada perdebatan dengan orientalisme dan penolakan perspektif ini amat penting dalam sejarah pembinaan korpus pengajian Melayu.

''Prof. Siti Hawa telah mengemukakan beberapa tokoh yang mengkritik perspektif orientalis terhadap penafsiran dalam kesusasteraan tempatan. Antaranya, Ismail Hussein dan Kassim Ahmad yang menyuntik semangat baru dalam korpus tersebut,'' katanya.

Tokoh 'moderat' lain yang turut dikemukakan oleh Prof. Siti Hawa ialah Syed Hussein Alattas yang menolak faham orientalisme secara teoritis, ideologi dan empirikal serta meletakkan perspektif baru dalam masyarakat era kolonial.

''Persoalan yang rumit dalam karya Prof. Siti Hawa ialah bagaimana kita mengklasifikasikan himpunan 148 manuskrip dalam bukunya untuk tujuan memudahkan pengajian bagi pelajar dan peminat sastera.

''Bagaimanapun, dalam konteks ini bermaksud bukan semata-mata soal metodologi, tetapi juga soal epistemologi, ideologi dan teori sebagai konstruksi ilmiah yang amat penting,'' ujarnya.

Tetapi menurut Prof. Siti Hawa, aspek yang paling penting dalam kajian kesusasteraan Melayu, epistemologi mahupun teori, sarjana tempatan tidak boleh terlalu bergantung kepada perspektif Barat.

Oleh itu, beliau menganjurkan bahawa kajian terhadap manuskrip Melayu harus dilihat dari perspektif tersendiri menurut klasifikasi genre, bentuk, isi dan ciri-ciri karya itu sendiri.

Di sisi lain, Prof. Siti Hawa menyarankan agar sarjana tempatan menerima secara terbuka pandangan penulis Barat yang meremehkan kesusasteraan Melayu tradisional. Ini bertujuan untuk mengukur kelemahan dan kekuatannya dari aspek korpus ilmu.

Bagaimanapun, keterbukaan sedemikian menimbulkan satu cabaran kepada sarjana-sarjana tempatan. Ia kerana kita bukan sahaja menanggapi audiens nasional tetapi juga antarabangsa.

Realiti ini harus diterima agar menjadi pemicu kepada sarjana tempatan untuk mencapai tingkat yang lebih tinggi dalam membina bidang korpus pengajian kesusasteraan Melayu tradisional.

Oleh: AZMAN ISMAIL

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0510&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_02.htm#ixzz4JNOAO3vA © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan