Isnin, 5 September 2016

Tenggelamnya kapal bernama Titanic

ARKIB : 18/05/1998
Tenggelamnya kapal bernama Titanic
PADA tahun 1898 seorang novelis yang baru mencipta nama menghasilkan cerita tentang sebuah kapal mewah yang membelah angkuh Lautan Atlantik. Penulis itu, Morgan Robertson memuatkan kapal rekaannya dengan penumpang-penumpang yang kaya serta mereka yang paling miskin. Kapal itu merempuh air batu terapung pada satu malam bulan April.

Empat belas tahun kemudian, sebuah syarikat perkapalan British bernama White Star Line membina sebuah kapal yang sama hebatnya dengan kapal rekaan Robertson itu.

Kapal sebenar itu panjangnya 882.5 kaki sedangkan kapal di dalam novel itu 800 kaki. Kedua-dua kapal itu boleh mencatatkan kelajuan 24 hingga 25 knot. Kedua-duanya boleh membawa 3,000 penumpang tetapi hanya membawa perahu penyelamat untuk separuh dari jumlah itu.

Pada 10 April 1912 kapal yang sebenar belayar pertama kali dari Southampton, England menuju New York. Di antara penumpangnya ialah manusia-manusia paling mewah pada zaman itu. Kekayaan terkumpul mereka dianggarkan melebihi AS$250 juta ketika itu.

Kapal Robertson itu diberi nama Titan. Kapal sebenar itu namanya Titanic.

Demikian Walter Lord memulakan kisah benar tenggelamnya kapal Titanic di dalam bukunya A Night To Remember. Buku itu pertama kali muncul pada tahun 1955, 43 tahun setelah kapal Titanic berkubur di Lautan Atlantik. Dengan kejayaan filem terbaru berjudul Titanic arahan James Cameron, buku itu kembali menarik perhatian.

Nampaknya Titanic akan menjadi filem yang paling berjaya dalam sejarah perfileman dunia. Sehingga ini ia telah memecahkan rekod sebagai filem pertama yang pungutan tiketnya melebihi AS$1 bilion (RM3.6 bilion).

Dalam filem ini James Cameron mencerekakan dua watak utamanya - Jack Dawson (lakonan Leonardo DiCaprio) dan Rose DeWitt (Kate Wislet). Tetapi latar belakang manusia dan kejadian di dalamnya diambil dari kisah benar. Di antara manusia yang real dan kejadian yang sebenar inilah James Cameron merencanakan kisah cinta fesyen lama di antara gelandangan bernama Jack dengan penumpang kelas pertama bernama Rose.

Apa yang kita lihat dalam filem itu (kecuali interaksi Jack dan Rose) ialah manusia-manusia sebenar yang pernah dirakamkan oleh Walter Lord. Walter Lord mengambil masa yang panjang mengumpulkan cerita mereka yang terselamat dari Titanic pada malam ngeri itu. Daripada sejumlah 2,200 orang yang dipercayai berada di dalam Titanic, hanya 1,500 terselamat.

Buku Walter Lord itu menggalurkan peristiwa minit demi minit dari saat sebuah kapal lain, Caronia menghantar amaran kepada Titanic bahawa terdapat air batu terapung di laluannya. Waktu itu jam 9 malam 14 April. Tiada siapa yang mengambil serius amaran itu seperti juga amaran yang dihantar oleh kapal Californian tidak lama kemudian.

Pada malam sedingin itu, di kapal yang paling mewah di dunia, lima hari selepas meninggalkan pantai, tiada siapa yang peduli pada air batu terapung. Lagi pula Titanic dikatakan tidak mungkin tenggelam.

Walter Lord mewawancara 63 orang yang terselamat dari Titanic. Kita semua tahu apa yang terjadi malam itu. Seperti apa yang digambarkan oleh James Cameron dalam filemnya, kita melihat bagaimana manusia ditentukan oleh kelas. Banyak penumpang kelas ketiga mati di dalam air kerana mereka terperangkap di bawah dek yang berkunci pintunya. Beberapa orang atasan pula lebih rela mati dengan paip di bibir dan brandy di tangan dari berebut-rebut mencari perahu penyelamat.

Lebih menyayat ialah kumpulan pemuzik yang memainkan lagu ''Nearer My God To Thee'' sampai ke saat akhir. Kesemua anggota kumpulan itu tenggelam bersama Titanic.

Walter Lord seperti juga James Cameron mungkin tidak sepenuhnya berjaya menggambarkan apa yang sebenarnya berlaku malam itu. Tetapi di tengah Lautan Atlantik lebih 86 tahun yang lalu, kita boleh membayangkan tragedi, pengorbanan dan survival.

Selepas tenggelamnya Titanic, manusia abad ke-20 yang selalu angkuh dengan teknologi ciptaan mereka mulai sedar siapa yang lebih berkuasa. Keyakinan hilang bersama Titanic. Demikian juga kesombongan zaman. Titanic rupanya membuka tirai dekad 20-an dengan tragedi. Pada penghujung dekad itu, pasaran saham menjunam di New York. Sekali lagi manusia tunduk dan dimalukan. - JOHAN JAAFFAR.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0518&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_04.htm#ixzz4JOB1uRLK © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan