ARKIB : 05/05/1998
Sharon Wee cipta sejarah
PEMAIN skuasy negara, Sharon
Wee mencipta sejarah apabila dia muncul juara Kejohanan Skuasy Terbuka Wanita
Nigeria di Lagos kelmarin.
Sharon kini merupakan pemain
Malaysia yang pertama menjuarai satu kejohanan di benua Afrika.
Dia yang pernah membantu skuad
negara mencatat kejayaan meraih pingat emas wanita berpasukan pada Sukan SEA di
Jakarta, Oktober tahun lalu, mengalahkan pemain Zambia, Victoria Chrishimba
pada perlawanan akhir kejohanan itu.
Kejohanan yang bermula 30 April
lalu itu menyaksikan Sharon yang menggunakan wang sendiri ke kejohanan
tersebut, memulakan siri kemenangan dengan menumpaskan pemain tuan rumah, Bili
Mogaji dengan straight set 9-3, 9-0, 9-2 pada pusingan pertama.
Dia terus beraksi cemerlang
dengan menewaskan seorang lagi pemain Nigeria, S. Moneka pada pusingan kedua
dengan kemenangan 9-3, 9-9, 9-2 sebelum melangkah ke separuh akhir.
Begitupun, dia diberikan
saingan hebat oleh E. Jyamu, juga dari Nigeria pada separuh akhir apabila
tumpas set pertama 6-9 dan meneruskan usaha untuk menang tiga set berikutnya
dengan 6-9, 9-6, 9-1, 10-8.
Pada pertemuan akhir kelmarin,
Sharon sekali lagi terpaksa bekerja untuk mengesahkan kemenangan ke atas
Victoria dalam permainan yang berlanjutan sehingga set kelima.
Dia menang dua set awal dengan
9-5, 9-5, tetapi tumpas pada dua set berikutnya dengan 5-9, 7-9. Bagaimanapun,
semangat juang yang tinggi menyaksikan Sharon ditabalkan juara dengan
kemenangan 9-4 pada set penentuan ke atas pemain nombor 105 dunia itu.
Ini merupakan gelaran pertama
yang diraih oleh Sharon di peringkat antarabangsa, yang sekali gus menyaksikan
dia mencipta sejarah baru arena skuasy negara.
Kejayaan ini juga mempamerkan
komitmen yang tinggi dalam diri pemain itu apabila membiayai sendiri semua
perbelanjaan untuk menyertai kejohanan di Negeria itu.
Persatuan Reket Skuasy Malaysia
(SRAM) turut melahirkan rasa bangga terhadap komitmen itu dan menyifatkan ia
wajar dicontohi oleh semua atlet negara tanpa terlalu mengharapkan bantuan
mana-mana pihak.
Semnentara itu, lima pemain
Malaysia yang diketuai oleh pemain nombor satu negara, Kuan Choy Lin
menampakkan peningkatan dalam ranking terbaru yang dikeluarkan oleh Persatuan
Skuasy Wanita Antarabangsa (WISPA) kelmarin.
Choy Lin, pemenang pingat perak
individu pada Sukan SEA mengumpul purata 121 mata daripada sembilan
pertandingan untuk memperbaiki kedudukan di tangga ke-35.
Juara Sukan SEA, Leong Siu Lynn
memperbaiki kedudukan dari tangga ke-45 dengan menduduki tempat ke-42.
Pemain terbaik ketiga Malaysia
dalam ranking yang menyaksikan juara dunia, Sarah Fitz-Gerald dari Australia
mengekalkan kedudukan teratas ialah Sharon Wee yang menduduki tempat ke-55
berbanding 65 ranking pada Mac lalu.
Chow Chooi Yeen turut berganjak
satu anak tangga dari tangga ke-64 sementara bekas pemain nombor satu negara di
tangga ke-89.
Seorang lagi pemain Malaysia
yang berada dalam senarai itu ialah Carrie Yeo yang gagal memperbaiki
kedudukannya dalam ranking terbaru.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0505&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4JH7VdCtc
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan