Isnin, 12 September 2016

Nazri letak jawatan Pengarang Berita Harian

ARKIB : 19/07/1998
KUALA LUMPUR 18 Julai - Datuk Ahmad Nazri Abdullah meletakkan jawatan sebagai Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn. Bhd., dan digantikan oleh Ketua Pengarang Sun Media Group Sdn. Bhd., Ahmad Rejal Arbee.

Pengarang Kumpulan New Straits Times Bhd., (NSTP), Datuk Abdul Kadir Jasin pula dilantik sebagai Ketua Pengarang Kumpulan yang bertanggungjawab terhadap penerbitan kumpulan itu meliputi akhbar Berita Harian.

Dengan pelantikan Kadir, Timbalan Pengarang Kumpulan NSTP, Ahmad Abdul Talib dilantik sebagai Pengarang Kumpulan New Straits Times.

Pelantikan itu berkuatkuasa serta merta.

Pelantikan tersebut dimaklumkan oleh Pengerusi Eksekutif Malaysian Resources Corporation Bhd., (MRCB), Datuk Khalid Ahmad kepada Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) hari ini.

Menurut Khalid, Ahmad Nazri, 44, telah dilantik sebagai Pengarah Eksekutif MRCB berkuat kuasa serta-merta.

''Dalam menerima pelantikan barunya, Ahmad Nazri secara sewajarnya telah mengemukakan surat peletakan jawatannya sebagai Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn. Bhd., juga berkuat kuasa serta-merta,'' kata beliau dalam kenyataan itu.

Menurutnya, Ahmad Nazri yang telah menjadi Pengarah syarikat itu sejak Januari 1993, bagaimanapun akan terus kekal sebagai Pengarah NSTP.

Ahmad Nazri bekas tutor di Universiti Malaya pada 1976, menyertai Berita Harian pada tahun 1982 dan dilantik sebagai pengarang kumpulan enam tahun kemudian.

Beliau adalah antara empat eksekutif kanan NSTP yang mengambil pengurusan NSTP dan Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) bersama Abdul Kadir.

Abdul Kadir, 50, yang dilantik menjadi Pengarang Kumpulan NSTP April 1987, kini menyandang jawatan Pengarah MRCB dan NSTP.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0719&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_02.htm#ixzz4K6fwl6gp © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan