ARKIB : 24/05/1998
Asal-usul suku kaum Semelai
SEMELAI bunyinya seperti
sejenis tumbuhan atau mungkin salah satu seni budaya sukuan etnik tempatan.
Tetapi ia sebenarnya tidak ada kaitan dengan kedua-dua perkara tersebut.
Sebaliknya Semelai adalah nama salah satu suku kaum dalam pecahan kumpulan
masyarakat Orang Asli Melayu - Proto.
Asal-usul kaum Semelai ini pula
dikatakan wujud hasil gabungan dua pasangan bersaudara dari kelompok suku Temoq
dan Semaq Beri yang terselamat daripada serangan buas seekor harimau yang
digelar Petaling Juntai.
Dua saudara lelaki Temoq (Sitam
dan Siler) serta dua adik-beradik wanita Semaq Beri (Itang dan Iler)
ditakdirkan bertemu ketika kedua-dua bersaudara itu bersembunyi daripada
serangan Petaling Juntai di pondok sebuah kampung pinggir Sungai Serting.
Namun, kedua pasangan
adik-beradik berkenaan kemudian mengahwini satu sama lain dan hidup berkeluarga
setelah mereka berjaya memerangkap dan membunuh Petaling Juntai.
Dari situ, wujudlah kelompok
suku kaum Semelai yang hidup mereka kini tinggal bertaburan di sekitar kawasan
Tasik Bera dalam daerah Temerloh di Pahang, yang jauh tersisih dari pembangunan
dan kemajuan moden.
Mengikut perangkaan Jabatan Hal
Ehwal Orang Asli (JHEOA) pula, kaum Semelai kini berjumlah sekitar 1,260 orang
yang melibatkan 238 keluarga. Program Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) yang
dikendalikan oleh JHEOA bagaimanapun telah menghimpunkan mereka dalam satu
kawasan khas dalam zon penempatan dan perlindungan Orang Asli di bawah projek
Pengurusan Bersepadu Tasik Bera kelolaan kerajaan negeri Pahang melalui
perunding profesional dari Wetlands International.
Jika anda menghilir atau
menyusuri Sungai Bera dari jeti Bera ke kawasan tasik, pasti akan terjumpa
pondok bertiang tinggi di tengah-tengah atau di tebing sungai yang berserabut
dengan tali dan jaring yang dinamakan tapuk dan jermai.
Tapuk merupakan pondok kecil
yang dibina di tengah-tengah sungai manakala jermai pondok yang dibina di
tebing sungai bagi tujuan menangkap ikan.
Pondok-pondok berkenaan
bertindak sebagai tempat menyokong jaring atau pukat yang dipasang di permukaan
sungai. Kedua-dua peralatan menangkap ikan itu antara pengenalan mengenai corak
hidup suku kaum Semelai untuk menampung anggota keluarga.
Ikan-ikan yang menjadi habuan
suku Semelai melalui pemasangan tapuk dan jermai termasuklah lampam, toman,
tapah, kelah, sebarau, tenggalan dan jelawat.
Tetapi operasi penangkapan ikan
menggunakan peralatan tradisi Semelai ini hanya dihadkan kepada mereka yang
mendapat lesen daripada Jabatan Perikanan sahaja. Ini bertujuan untuk mengelak
kepupusan sumber ikan di sungai dan Tasik Bera.
Meskipun tersisih dari
kemodenan, pembangunan moral dan pendidikan kaum Semelai tidak pernah terabai.
Sekolah Kebangsaan Iskandar yang mempunyai lapan kelas dari tahun satu hingga
lima beroperasi sejak tahun 1996 dengan 14 tenaga pengajar adalah bukti
keprihatinan kerajaan untuk masyarakat itu.
Sesetengah daripada anak-anak
Semelai ini pula dihantar ke sekolah Sungai Dua di Bentong, Karak atau di
Bahau, Negeri Sembilan. Malah, sehingga kini tiga anak kaum Semelai telah
berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi .
Manakala kelaziman menjadikan
sumber hutan dan hidupan air sebagai sumber kehidupan juga sudah berkurangan.
Sebaliknya mereka telah memiliki sumber pencarian tetap yang lebih terjamin
sama ada menoreh getah mahupun kerja-kerja di ladang kelapa sawit.
Sementara pemilihan Tasik Bera
sebagai kawasan tanah lembap berkepentingan antarabangsa di bawah Konvensyen
Ramsar yang dikendalikan oleh Wetlands International melalui Projek Pengurusan
Bersepadu Tasik Bera sejak tahun 1994 pula membuka satu lagi sumber pendapatan
untuk kaum Semelai.
Melalui projek bersepadu ke
arah mengekalkan kepentingan alam semula jadi dan tanah lembap, Tasik Bera
turut menjadi destinasi dalam perkembangan ekonomi pelancongan asli kepada
pengunjung dan pencinta alam.
Ini menjadikan kepentingan
Tasik Bera dan kekayaan sumbernya dapat dieksploitasi sama untuk keperluan kaum
Semelai sebagai daya tarikan pelancong.
Sekali gus membentuk dan
menghidupkan semula kerja kraftangan wanita Semelai seperti anyaman bakul dan
tikar di samping peralatan memburu oleh kaum lelaki sebagai sumber pendapatan
bagi penghasilan tambahan yang mampu menampung kehidupan.
Sementara itu kemahiran kaum
Semelai terhadap selok-belok laluan Tasik Bera pula memberi tugas penting sebagai
jurupandu melalui penyediaan perkhidmatan bot berkuasa rendah untuk membawa
pelancong menikmati kesegaran tasik.
Selain itu, kekayaan budaya
tradisi Semelai juga turut menjadi agenda untuk mencorakkan kehidupan baru
selaras dengan perkembangan Tasik Bera sebagai salah satu pusat kegiatan
ekopelancongan setempat.
Amalan adat pepatih dengan
melakukan tradisi berkhatan ke atas kaum lelaki sebagaimana masyarakat Melayu
antara salah satu keunikan Semelai selain pelbagai seni budaya lain termasuk
tarian burung buai, jambul cip-cip dan jindrai yang kini dijadikan sebagai
salah satu 'menu' untuk pengunjung ke Tasik Bera.
Kini terdapat lima buah
perkampungan Semelai di Tasik Bera iaitu Kampung Putat, Baapak, Gau, Jelawat
dan Lengut atau Kuin yang mula menerima kemasukan arus kemajuan pembangunan. -
Oleh WAN RAHIMAH WAN DRAMAN
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0524&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_04.htm#ixzz4JTR7fl5g
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan