ZAZALI JAMIAN | 31
Ogos 2016 12:10 AM
KUALA LUMPUR 30 Ogos - Petinju
muaythai negara Nur Amisha Azril Rizal
mengharumkan nama Malaysia di
bumi Thailand apabila memenangi pingat emas Kejohanan Muaythai Remaja Dunia di
Bangkok dan lebih manis kejayaan itu diraih sehari sebelum sambutan Hari
Kebangsaan Ke-59.
NUR AMISHA AZRIL RIZAL (kiri)
meraikan kejayaan muncul juara muaythai remaja dunia di Bangkok, semalam.
Nur Amisha yang menyertai
kejohanan tersebut dengan status underdog mengejutkan petinju tuan rumah Phin
Pong Ratchada menerusi keputusan knock-out (KO) pada pusingan kedua kategori 54
hingga 57 kilogram.
Nur Amisha, 14, berkata
kemenangan itu adalah hadiah paling bermakna buat dirinya dan mahu dikongsi
bersama seluruh rakyat Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan.
“Terima kasih kepada Persatuan
Muaythai Malaysia dan Persatuan Muaythai Amatur Perak terutama kepada ketua
jurulatih Perak, Bernard Radin yang telah melatih saya sejak berusia tujuh
tahun.
“Saya memang meletakkan harapan
untuk memenangi kejohanan ini tambahan pula esok adalah sambutan Hari Kebangsaan,
terima kasih kepada semua yang telah membantu saya,” kata pelajar Sekolah
Menengah Kebangsaan Gunung Rapat itu ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini
hari ini.
Muaythai Malaysia dalam
Facebook rasminya hari ini turut mengumumkan Azrizal Azizul Azman berjaya
membawa pulang pingat emas dalam saingan wai khru lelaki, malah perak acara
tersebut juga milik Malaysia menerusi Aiman Nazmin.
Kejayaan cemerlang atlet muda
negara di Bangkok pasti memberi petanda positif buat sukan muaythai tanah air,
apatah lagi acara itu bakal dipertandingkan dalam Sukan SEA yang akan diadakan
di Kuala Lumpur tahun depan.
Malaysia menghantar 10 petinju
ke kejohanan tersebut yang berlangsung sejak 24 Ogos dan akan berakhir 1
September ini.
Sementara itu, bapa Nur Amisha,
Azril Rizal Abd. Aziz berkata, beliau seakan dapat menjangkakan kemenangan
anaknya itu, namun tidak menjangka diraih menerusi keputusan KO.
“Kejayaan Nur Amisha ini amat
membanggakan kami semua tambahan pula ini adalah pingat emas pertama kontinjen
Malaysia dalam kejohanan ini.
“Saya berharap pingat emas yang
diraih Nur Amisha ini dapat menjadi pendorong kepada rakan sepasukannya untuk
mencapai kejayaan sama kerana selepas ini masih ada beberapa atlet kita yang
akan beraksi dalam kategori masing-masing,” kata Azril Rizal.
- Sumber:
http://www.utusan.com.my/sukan/amisha-juara-remaja-dunia-1.376677#sthash.4pJKxjJ5.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan