Isnin, 12 September 2016

Tasik Kenyir pintu masuk Terengganu


 

ARKIB : 01/07/1998
Tasik Kenyir pintu masuk Terengganu
WAN Mokhtar meninjau pembinaan jambatan yang merupakan sebahagian daripada Lebuh Raya Kuala Berang-Tasik Kenyir-Simpang Pulai di Hulu Terengganu, baru-baru ini.

ARUS deras tidak semestinya membawa kita hanyut bersama kerana kita masih boleh melawannya demi kepentingan masa depan yang lebih cemerlang.

Dengan kata lain, kita boleh menentang arus apabila mendapati ia berlawanan dengan kehendak dan keperluan pembangunan.

Mungkin sebelum ini ramai beranggapan jika menentang arus akhirnya kita akan kecundang tetapi bagaimana pula jika arus tadi terus membawa kepada kemusnahan. Apakah perlu kita hanyut bersama.

Begitu juga halnya dengan kegawatan ekonomi. Kita perlu menangani, menentang dan mengatasinya dan dengan itu bukan bermakna semua projek pembangunan harus ditangguhkan.

Dalam hal ini, adalah perlu satu perancangan rapi dibuat dengan meningkatkan tahap pengurusan supaya ia menepati kehendak dan secara langsung tidak membawa pembaziran.

Semua projek pembangunan yang memberi manfaat dan keuntungan kepada rakyat dan negara, harus diteruskan tetapi perlu mengikut kemampuan yang ada.

Begitu juga dengan pandangan kerajaan negeri Terengganu yang merenung lebih jauh ke hadapan bagi menarik kedatangan ramai pelabur terutama melalui pintu masuk Tasik Kenyir.

Menurut Menteri Besar, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, beberapa projek pembangunan di Terengganu akan diteruskan walaupun dalam keadaan agak perlahan termasuk di tasik seluas 32,000 hektar atau seluas negeri Melaka itu.

Sememanganya kerajaan negeri sejak lama dulu mengamalkan konsep iaitu projek-projek pembangunan yang dilaksanakan adalah berasaskan kemampuan.

Oleh itu tidak hairanlah jika kita lihat tiada projek mega dilaksanakan oleh kerajaan negeri pada masa ini. Bagi kerajaan negeri, pembangunan terhadap masa depan Terengganu tidak harus terhenti begitu sahaja, sebaliknya ia perlu diteruskan walaupun dalam keadaan perlahan ekoran kegawatan sekarang.

Kerajaan negeri mahu melihat pelabur luar terus bertapak di Terengganu dan melakukan perubahan terhadap pembangunan, di samping meningkatkan taraf hidup penduduk tempatan termasuk memberi peluang pekerjaan.

Jika dulu, kehadiran pengunjung ke Terengganu melalui Jalan Jerangau - Jabor dan jalan raya persekutuan yang melalui Cukai dan Dungun sebelum ke Kuala Terengganu, tetapi kini sebuah jalan alternatif sedang rancak pembinaannya.

Lebuh Raya Kuala Berang-Tasik Kenyir-Simpang Pulai di Perak ini mampu memendekkan masa perjalanan antara negeri-negeri di pantai barat ke pantai timur.

Apabila siap kelak, jaraknya hanya 200 kilometer dan perjalanan dari Perak ke Terengganu hanya memakan masa empat jam.

Lebuh raya yang dianggap terpenting ini, mampu membawa kemasukan pelabur dan pelancong.

Buat masa ini, projek pembinaannya rancak dilaksanakan iaitu sepanjang 14 kilometer dengan kos RM46 juta, bermula dari Tasik Kenyir. Ini kerana jalan raya dari Kuala Berang ke Tasik Kenyir sudah sedia ada. Di Terengganu, lebuh raya ini hanya sepanjang 75 kilometer dan selebihnya ia meliputi negeri Kelantan dan terus bersambung ke Perak.

Menjadi harapan kerajaan Terengganu bahawa apabila siap kelak, lebuh raya ini akan menjadi pintu masuk utama ke negeri-negeri di pantai timur. Dulu untuk ke Terengganu, perjalanan dari pantai barat mengambil masa antara tujuh hingga sembilan jam tetapi kini tempoh empat jam itu merupakan satu jangka masa yang singkat.

Jika setakat projek lebuh raya sahaja, sudah tentu ia belum mencukupi untuk menarik minat kehadiran pihak luar berkunjung dan melabur ke Terengganu.

Oleh itu, kerajaan negeri ini telah merancang dengan rapi untuk mewujudkan pelbagai pembangunan tambahan di sekitar Tasik Kenyir. Di kiri dan kanan lebuh raya ini kelak akan dijadikan koridor pendidikan tinggi serta pusat latihan dan perkembangan ilmu. Buat masa ini pihak Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersetuju mendirikan kampus cawangan masing-masing di sini.

Turut akan didirikan ialah sebuah pusat latihan bagi jururawat dan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Menurut Pengerusi Infrastruktur Kemudahan Awam dan Pengangkutan Negeri Terengganu, Tengku Putera Tengku Awang, seluas 2,000 hektar tanah disediakan di kiri dan kanan lebuh raya untuk tujuan tersebut.

Pada masa yang sama, kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan kesanggupan para pelabur untuk membuat pelaburan yang merangkumi kawasan dalam tasik termasuk pulau-pulau kecil.

Pelaburan di Tasik Kenyir lebih bermakna apabila terdapat cadangan untuk mendirikan empangan kedua yang menghubungkan Sungai Kuala Terengganu dengan Sungai Besut.

Empangan berharga lebih RM3 bilion ini kelak mampu mengeluarkan tenaga elektrik bukan sahaja untuk Terengganu, malah negeri-negeri lain di semenanjung.

Ia dijangka mula dilaksanakan pembinaannya antara tahun 2000 dan siap empat tahun kemudian.

Pembinaan empangan kedua ini telah dipersetujui oleh kerajaan negeri dan mampu menyediakan ribuan peluang pekerjaan.

Seperkara lagi yang sedang diusahakan oleh kerajaan negeri ini menggabungkan kira-kira 19 buah syarikat pengangkutan awam di Terengganu menjadi sebuah konsortium. Usaha ini dijangka menjadi realiti pada akhir tahun ini atau awal tahun depan kerana semua syarikat terbabit sudah bersetuju untuk bergabung.

Apabila ini dilaksanakan nanti, orang ramai tidak lagi menghadapi masalah untuk ke semua destinasi yang terdapat di negeri Terengganu termasuk kawasan pedalaman.

Malah kerajaan negeri juga bercadang mengeluarkan permit kepada persatuan van bagi membolehkan mereka mengadakan perkhidmatan di jalan-jalan kecil di pedalaman. Tindakan ini dilihat sebagai menangani isu van haram dan jika permit dikeluarkan kerajaan sendiri yang akan mendapat cukai pendapatan.

Semua perancangan yang dinyatakan di atas apabila berjaya dilaksanakan, bukan sahaja mampu menarik kedatangan pelabur, malah juga kehadiran pelancong, cerdik pandai dan para ilmuwan.

Di samping itu, kerajaan negeri baru-baru ini turut mengumumkan bahawa kawasan Sungai Petang dan Pulau Petang di Tasik Kenyir akan dijadikan kawasan memancing. Untuk memasuki kawasan ini seseorang dikenakan bayaran dan kerajaan negeri memberi jaminan bahawa orang ramai tidak akan pulang dengan hampa kerana anak-anak ikan akan dibiakkan di situ.

Namun begitu, mungkin ramai yang tertanya apakah Tasik Kenyir yang hendak dijadikan pintu masuk baru ke Terengganu dan lain-lain negeri di pantai timur itu mampu dijadikan satu kenyataan?

Pertanyaan ini mungkin berdasarkan bahawa secara mata kasar pembangunan di Tasik Kenyir masih tidak jelas dan apabila ke sana, kita hanya melihat kehadiran pengunjung secara bermusim.

Sebenarnya, kata Tengku Putera, memang ramai pihak yang berminat dan telah menyatakan kesanggupan untuk memajukan kawasan dalam dan luar Tasik Kenyir.

''Kita terima banyak pertanyaan dan ramai menyatakan kesanggupan untuk membuat pelaburan di kawasan ini,'' katanya.

Ini kerana kebanyakan mereka mempunyai pandangan 'tunggu dan lihat' sebelum melaksanakan sesuatu projek pembangunan itu.

Antara mereka mahu melihat orang lain dulu mulakan sesuatu pembangunan atau projek sebelum diri sendiri melakukannya. Perkara ini diakui oleh Menteri Besar.

Oleh itu, kata Wan Mokhtar, kerajaan negeri akan terlebih menyediakan infrastruktur awal bagi meyakinkan pelabur bahawa kehadiran mereka di Terengganu mendatangkan keuntungan.

''Kita sedar perkara ini dan kerana itu kerajaan negeri akan terus memainkan peranan sebagai teraju penting untuk menarik minat para pelabur dengan menyediakan pelbagai infrastruktur asas,'' tegas Wan Mokhtar.

Untuk itu, adalah wajar kerajaan negeri mempertingkatkan promosi dan memberi penerangan mengenai keadaan pelaburan serta keuntungannya jika melabur di Terengganu.

Ini boleh dilakukan dengan menghantar wakil-wakil kerajaan negeri mencari pelaburan sama ada di dalam atau luar negara.

Haruslah diakui kerana kurangnya penerangan dan promosi mengenai perancangan kerajaan negeri itu secara langsung menyebabkan timbul salah tanggapan bukan sahaja kepada pelabur, malah rakyat sendiri.

Mungkin usaha meningkatkan promosi ini memerlukan satu peruntukan yang besar namun timbal balasnya kelak adalah lebih besar.

Oleh: AMIR SARIFUDDIN

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0701&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_01.htm#ixzz4K2FWjDxc © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan