Isnin, 12 September 2016

Kurikulum baru pusat matrikulasi

ARKIB : 02/07/1998
KUALA LUMPUR 1 Julai - Kementerian Pendidikan akan menggubal kurikulum baru untuk semua pusat matrikulasi di seluruh negara yang akan memberi penekanan ke arah melahirkan pemimpin masa depan yang cemerlang.

Menterinya, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pusat matrikulasi tidak boleh dilihat sebagai pusat akademik semata-mata, sebaliknya ia juga perlu digunakan bagi menjana bakal pemimpin untuk masa depan.

Menurut beliau, tumpuan kurikulum baru itu ialah kepada pembangunan fizikal terutama melalui kegiatan sukan serta pembentukan sahsiah melalui penerapan nilai-nilai murni dan positif.

''Ini kerana kurikulum yang ada sekarang lebih bersifat akademik,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Bagaimanapun katanya, ia akan berasaskan kepada kurikulum matrikulasi yang sedia ada, cuma beberapa komponen baru akan dimasukkan.

Dengan cara itu katanya, apabila pelajar-pelajar terbabit masuk ke universiti, mereka boleh menjadi pemimpin dalam semua lapangan.

''Asas sudah ada, cuma perlu diperluas supaya ia meliputi prinsip dan dimensi yang lebih luas,'' katanya.

Menurut beliau, kurikulum yang ada sekarang walaupun ada menyentuh perkara-perkara tersebut tetapi masih belum mendalam.

''Ia ada dibuat tetapi kita mahu konsep yang lebih mendalam. Sekarang terlalu bersifat akademik,'' katanya.

Lagi pula katanya, pelajar-pelajar yang mengikuti program matrikulasi terdiri daripada golongan yang cemerlang dan terpilih yang merupakan aset utama negara untuk masa depan.

Oleh itu katanya, bakat mereka wajar diasuh supaya dapat memainkan peranan yang lebih besar untuk kepentingan negara pada masa hadapan.

Sehubungan itu katanya, satu nama baru juga akan diberikan kepada semua pusat matrikulasi itu bagi menggambarkan konsep pendidikan yang bersifat holistik.

Menurut Najib, kabinet juga telah bersetuju supaya keempat-empat pusat matrikulasi dibina dengan bahan berasaskan keluli kerana dengan cara itu proses pembinaan akan lebih dan bersifat modular.

Keempat-empat pusat itu yang tiga daripadanya sudah selesai dalam kerja-kerja penyediaan tapak terletak di Alor Gajah, Melaka, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Pongsu Seribu, Seberang Perai dan Arau, Perlis.

Kesemua pusat itu apabila siap nanti mampu menampung kira-kira 9,000 pelajar.

Pada masa yang sama kata Najib, sebuah maktab di Bintulu Sarawak juga sudah dikenal pasti untuk dijadikan pusat matrikulasi.

Kementerian Pendidikan juga kata beliau, sedang mengkaji kapasiti di kolej-kolej Mara bagi menjadikannya sebagai pusat matrikulasi.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0702&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_01.htm#ixzz4K2GzII1D © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan