Isnin, 12 September 2016

Bank Rakyat lancar skim pinjaman kereta

ARKIB : 02/07/1998
KUANTAN 1 Julai - Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) hari ini melancarkan skim pembiayaan kenderaan Annaqlu yang memberi kemudahan pinjaman untuk membeli kereta baru dan terpakai.

Pengerusinya, Datuk Dr. Yusof Yacob berkata, skim itu yang dibuka mulai hari ini diperkenalkan bagi memenuhi permintaan tinggi orang ramai yang kini menghadapi kesukaran membuat pinjaman kenderaan dari bank komersial yang lain.

Kata beliau, langkah itu juga adalah sebagai menyahut seruan kerajaan yang meminta bank-bank tempatan menyediakan skim pinjaman mudah untuk menggerakkan industri automobil.

''Skim ini terbuka selagi kita mempunyai dana yang cukup, tetapi kita tidak menetapkan jumlah dana tertentu,'' katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan zakat berjumlah RM27,035 kepada Majlis Agama Islam Pahang (MAIP) di Masjid Sultan Ahmad Shah di sini, hari ini.

Bayaran zakat perniagaan itu adalah sebahagian peruntukan RM2.56 juta yang diagihkan oleh Bank Rakyat kepada majlis-majlis agama Islam di negara ini.

Timbalan Yang Dipertua MAIP, Datuk Abdul Mutalib Mohd. Ali Al-Fakwie menerima zakat berkenaan.

Dr. Yusof menjelaskan, skim Annaqlu yang bermaksud kenderaan, menyediakan kemudahan tempoh bayaran balik pembiayaan yang lebih panjang kepada pelanggan berbanding bank-bank lain, iaitu sehingga tujuh tahun.

Katanya, pelanggan yang berkelayakan boleh menikmati pembiayaan sehingga 15 kali gaji kasar atau 90 peratus daripada nilai kenderaan berkenaan, tertakluk kepada mana yang lebih rendah.

Menurut beliau, sasaran skim itu adalah mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah.

''Selain skim baru ini, kita juga akan terus perkenalkan produk-produk baru, tetapi ini semua tertakluk kepada kelulusan panel syariah kita,'' ujar beliau.

Mengenai cadangan menjadikan Bank Rakyat sebagai bank komersial, Dr. Yusof berkata, ia masih di peringkat kajian di mana semua perubahan akan mengutamakan kepentingan ahli- ahli bank koperasi itu.

Jelasnya, Bank Rakyat yang kini mempunyai 130,000 ahli individu dan 820 ahli pertubuhan koperasi tidak akan tergesa- gesa membuat keputusan walaupun menyedari pelbagai peluang boleh direbut apabila ia ditukar menjadi bank komersial.

Oleh: ZULKEFLI HAMZAH




Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0702&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_03.htm#ixzz4K2HdqO2n © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan