Isnin, 12 September 2016

Pusat Pengajian Dunia Melayu di Moscow

ARKIB : 04/07/1998
PERASMIAN Pusat Pengajian Dunia Melayu di Moscow adalah suatu peristiwa menggembirakan yang memperlihatkan bahawa hubungan Rusia, tidak saja dengan Malaysia tetapi dengan semua negara Asia Tenggara, berkembang dengan cergas di semua jurusan, kata Datuk Yahya Baba, Duta Besar Malaysia di Moscow.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan pusat berkenaan di Institut Negeri-Negeri Asia dan Afrika di Moscow pada 19 Jun lalu.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah delegasi dari Malaysia, iaitu Prof. Dr. Abdullah Hasan, Dekan Fakulti Ilmu Wahyu, Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Lokman Zen dan Prof. Madya Dr. Noriah Mohamad, kedua-duanya dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan Ainon Mohamad, jururunding.

Dalam ucapan aluannya, wakil pengarah institut berkenaan, Dr. Nikolai Scherbakov menyatakan bahawa pembukaan Pusat Pengajian Dunia Melayu sangat besar ertinya kerana ia mendekatkan Rusia kepada negara-negara di Nusantara.

Penubuhan pusat sedemikian sudah menjadi suatu tradisi di institut berkenaan yang sudah memiliki pusat-pusat pengajian India, Jepun dan Korea.

Dr. Scherbakov melahirkan keyakinannya bahawa pusat itu akan menjadi sangat berguna bagi para mahasiswa dan guru yang mempelajari dunia Melayu.

Pusat yang diketuai oleh Dr. Noriah dengan sokongan Persatuan Sains Nusantara itu ditempatkan pada suatu ruangan institut tersebut, yang merupakan sebahagian daripada Universitis Moscow - sebuah gedung bersejarah yang tua usianya - yang terletak di Lapangan Manezhnaya, tidak jauh dari Kremlin.

Mengulas lebih lanjut mengenai kejayaan kerjasama dengan Rusia, Yahya mengatakan bahawa Malaysia menghargai peranan Rusia terutamanya pada masa globalisasi sekarang. Malaysia, kata beliau, memerlukan Rusia dan ternyata Rusia juga memerlukan Asia, dan Malaysia.

Yahya berharap pada suatu masa kelak, Pusat Pengajian Dunia Melayu itu dapat berubah menjadi Pusat Pengajian Negara-Negara ASEAN.

Penubuhan pusat itu, kata Dr. Viktor Pogadayev, Naib Presiden Persatuan Sains Nusantara, adalah hasil usaha Dr. Noriah, yang sudah berkali-kali datang ke Rusia dan membantu para mahasiswa jurusan Melayu Institut Asia-Afrika menambah pengetahuan mereka mengenai bahasa dan sastera Malaysia.

''Hasil dana buku yang diusahakan Dr. Noriah, kita sudah memiliki suatu perpustakaan yang cukup baik dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris mengenai bahasa dan sastera nusantara,'' kata beliau.

Dengan pembukaan pusat itu, mahasiswa dan guru dapat memperoleh buku yang diperlukan, yang banyak daripadanya belum ada di perpustakaan lain di Moscow, tambahnya.

Menurut Dr. Pogadayev, tujuan utama penubuhan pusat itu ialah untuk membantu pengajian Nusantara, mengembangkan hubungan dengan saintis-saintis Nusantara dan menyelaraskan penyelidikan saintifik tentang Malaysia dan Indonesia.

Dilihat dari sudut perkembangan kerjasama antarabangsa, pembukaan Pusat Pengajian Dunia Melayu adalah suatu langkah sederhana, akan tetapi jika dilihat dari segi perkembangan hubungan dua hala, maka langkah ini adalah sangat penting ertinya, kata beliau.

Dengan rasa puas, Dr. Pogadayev memberitahu Utusan setelah upacara perasmian, bahawa Persatuan Sains Nusantara memelihara hubungan dan kerjasama yang baik dengan Dewan Bahasa dan Pustaka yang banyak membantu untuk menerbitkan karya-karya ilmiah, baik di Rusia mahu pun di Malaysia, termasuk antologi puisi Malaysia tradisional dan moden.

Sementara itu, Timbalan Duta Besar Indonesia di Moscow, Faisal Walah turut menyambut baik penubuhan pusat berkenaan. Antara lain, beliau menegaskan pusat itu akan membantu perkenalan lebih baik.

Faisal melahirkan harapan agar penelitian ilmiah mencakup penyelidikan tidak saja dunia Melayu, tetapi seluruh ASEAN.

Timbalan Duta Besar Indonesia itu juga mencatat bahawa meskipun menghadapi keadaan kewangan yang berat, Indonesia bersedia memberikan biasiswa kepada para mahasiswa Rusia.

Sementara itu, Dr. Noriah menyatakan beliau amat gembira bahawa gagasannya untuk membuka Pusat Pengajian Dunia Melayu telah berjaya. Beliau puas kerana usaha kecil penubuhan pusat itu telah didukung banyak pihak. Usaha ini harus dibesarkan katanya, agar lebih berkesan pada masa akan datang. - Utusan.

Daripada: SVET ZHAKAROV

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0704&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_07.htm#ixzz4K2OSsUjJ © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan