Isnin, 12 September 2016

Perancis ke separuh akhir


 

ARKIB : 04/07/1998
Perancis ke separuh akhir
DISEKAT... Pemain Itali, Dino Baggio (tengah) berusaha melepasi dua pemain Perancis, Marcel Desailly (kiri) dan Emmanuel Petit sewaktu perlawanan suku akhir Piala Dunia di Paris, malam tadi. Perancis menang 4-3 menerusi tendangan penalti. - Gambar REUTERS.

ST DENIS - Perancis menumpaskan Itali 4-3 menerusi penentuan tendangan penalti untuk menempah tempat ke separuh akhir bola sepak Piala Dunia di sini, semalam.

Tuan rumah akan menentang pemenang antara Jerman dan Croatia yang akan berentap dalam satu lagi perlawanan suku akhir pagi esok.

Perancis memenangi penentuan penalti selepas Luigi Di Biagio gagal menyempurnakan tendangan terakhir apabila sepakannya terkena palang gol.

Agak mengecewakan permainan terpaksa ditentukan menerusi tendangan penalti kerana tuan rumah seharusnya boleh menang lebih awal kerana banyak menguasai perlawanan.

Perancis bertindak garang sejurus wisel permainan ditiupkan apabila memperolehi sekurang-kurangnya tiga peluang terbaik di awal lima minit perlawanan.

Kepulangan perancang utama Zinedine Zidane, yang digantung dalam dua perlawanan terdahulu banyak membantu jentera serangan Perancis.

Peluang terbaik Zidane diperoleh pada minit kedua, tetapi tendangannya hasil sepakan sudut Emmanuel Petit melepasi palang gol.

Bintang Juventus itu sekali lagi memperoleh peluang terbaik dua minit kemudian, tetapi percubaan jarak dekatnya terlalu rendah dan diselamatkan penjaga gol Itali Gianluca Pagliuca.

Perancis yang mendapat sokongan kira-kira 80,000 penonton di Stade de France, terus mengancam kubu lawan pada minit kelima, bagaimanapun rembatan Petit tersasar.

Itali cuba membalas dan beroleh peluang terbaik pada minit kelapan, tetapi tandukan Alessandro del Piero hasil hantaran Francesco Moriero melepasi palang gol.

Perancis yang berusaha mara ke separuh akhir Piala Dunia buat kali keempat selepas 1958, 1982 dan 1986, nyaris membuka jaringan pada minit ke-23 apabila Christian Karembeu yang tidak dikawal melepaskan rembatan, tetapi terlalu lemah dan mudah diselamatkan oleh Pagliuca.

Beberapa minit kemudian penjaring terbanyak Itali Christian Vieri meluru ke kotak penalti, tetapi tindakannya gagal mengejutkan penjaga gol Perancis Fabien Barthez yang sudah dapat menghidu gerakan itu.

Tuan rumah sekali lagi beroleh peluang terbaik beberapa saat sebelum babak pertama berakhir, hasil kombinasi menarik di antara penyerang tengah Youri Djorkaeff dan Deschamps.

Djorkaeff yang tidak dikawal menanti hantaran Deschamps betul-betul di depan pintu gol, tetapi tendangan yang dilepaskan bintang Inter Milan itu meliar.

Naib juara Piala Dunia 1994, Itali dipaksa berkampung di kawasan sendiri dan Perancis kembali dengan percubaan berbahaya pada minit ke-51, bernasib baik tandukan Stephane Guivarc'h tendangan sudut Djorkaeff terkeluar.

Itali yang bermain secara counter-attack mengejutkan pertahanan tuan rumah pada minit ke-58a, apabila Luigi Di Biagio melakukan hantaran jauh kepada Vieri, tetapi Barthez keluar dari posisinya untuk menyelamatkan keadaan.

Dalam usaha menguatkan serangan, jurulatih Perancis Aime Jacquet memasukkan penyerang muda Thierry Henry menggantikan Karembeu dan Guivarc'h dikeluarkan untuk memberi laluan kepada Trezeguet.

Jurulatih Itali Cesar Maldini turut membuat tindakan serupa, apabila mengeluarkan Del Piero dan membawa masuk penyerang veteran Roberto Baggio dua minit kemudian.

Usaha kedua-dua pasukan untuk mencari gol pada 90 permainan tidak kesampaian, apabila perlawanan terpaksa diheret ke masa tambahan sudden-death selepas tiada sebarang jaringan dicipta.

Perancis berusaha mengulangi kejayaan ketika menundukkan Paraguay 1-0 di pusingan kedua, apabila Blanc menyumbat ''gol emas'' pertama Piala Dunia pada minit ke-114.

Dua minit sebelum babak pertama masa tambahan berakhir, Baggio beroleh peluang terbaik untuk menyumbat gol emas Itali. Malangnya tendangan Baggio sekadar menyinggahi palang gol walaupun hanya berdepan Barthez.

Perlawanan akhirnya terpaksa ditentukan menerusi tendangan penalti selepas kedua-dua pasukan memanfaatkan 30 minit masa tambahan. - Reuters.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0704&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_02.htm#ixzz4K2PHReej © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan