Isnin, 12 September 2016

SELAYANG PANDANG

ARKIB : 05/07/1998
BOLA DAN DUNIA
ENGLAND tumbang di tangan Argentina. Tuan rumah, Perancis pasti menarik nafas lega. Penyangak bola England sepatutnya akan menyeberang Selat Inggeris.

Apa yang berlaku setakat ini ialah Iran dan Amerika Syarikat semakin hampir untuk berdialog. Kekalahan AS memang dijangka di tangan Iran. Tetapi Iran tidak melihat AS sebagai Syaitan Besar lagi sebaliknya sebagai pasukan lawan yang tewas di padang bola.

David Beckham akan diingat kerana dua perkara. Pertama, kerana akan mengahwini salah seorang anggota Spice Girl (Victoria Adams) dan kedua kerana dibuang padang. Beliau nampaknya mempunyai penyokong.

Pele, legenda bola sepak Brazil menganggap tindakan pengadil pertandingan Argen-tina - England itu salah.

Cuma lapan pasukan tinggal. Dan di antara lapan inilah kita akan mencari siapa juara. Setelah 56 pertandingan selama 21 hari, manusia planet bumi nampaknya belum jemu dengan bola sepak. Selepas ini pertarungannya pasti lebih hebat. Di tengah gawat politik dan ekonomi ini, apakah yang lebih menghiburkan dari menonton 22 orang lelaki mengejar bola di tengah padang?

MERCU TANDA BERNAMA KLIA
MALAYSIA mencipta banyak sejarah penerbangan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang (KLIA) yang baru dibuka. Bukan masa pembikinannya sahaja (kurang lima tahun), harganya yang relatif murah (AS$3.5 bilion berbanding dengan Chek Lap Kok di Hong Kong, AS$10 bilion dan Kansai di Jepun, AS$50 bilion) tetapi juga kerana kecanggihannya (sistem state-of-the-art yang membuat orang lain hijau oleh cemburu).

KLIA ialah kebanggaan negara ini. Ia menjadi mercu tanda semangat "Malaysia Boleh'' rakyat kita. KLIA bukan sahaja akan menulis semula hukum-hakam tradisi penerbangan negara tetapi menjadi lambang kegemilangan penerbangan rantau ini.

Lapangan terbang itu sekiranya sepenuhnya siap boleh mengendalikan 25 juta penumpang setahun buat masa ini dan menjelang 2020, boleh menampung 60 juta penumpang. Pada satu-satu masa ia boleh menyediakan tempat untuk 106 buah pesawat dan membenarkan laluan untuk 46 get penumpang. Bagi memudahkan penumpang, ia menyediakan enam kawasan check-in yang mempunyai 216 kaunter.

Pada waktu yang sama, terdapat 69 kaunter Imigresen untuk penumpang yang sampai, 61 untuk penumpang berlepas dan 16 kaunter untuk penumpang "transfer.'' KLIA juga mempunyai menara kawalan paling tinggi di dunia serta runaway yang terpanjang. Berbanding dengan lapangan terbang utama dunia, KLIA hanya tewas pada Denver dari segi keluasan (13,727 hektar). Changi, Singapura hanya mempunyai keluasan 1,650 hektar sementara Chek Lap Kok hanya 1,248 hektar.

Lapangan terbang ini tidak sahaja menggantikan Subang yang sudah 33 tahun usianya tetapi menyediakan ruang, dekor dan landskap yang istimewa. Konsep KLIA ialah "hutan dalam lapangan terbang dan lapangan terbang dalam hutan'' yang bertujuan memberikan suasana hijau yang menyenangkan. Dari tiang penongkatnya hingga reka bentuk bangunan KLIA, motif tempatan dan lambang kemajuan semasa dan masa depan digabungkan dengan saksama.

Kawasan KLIA juga menyediakan ruang untuk perlumbaan kereta Formula 1 selain menyediakan kemudahan golf yang berkelas dunia. Pendeknya KLIA lebih daripada sekadar lapangan terbang. Inilah konsep yang direncanakan oleh KLIA apabila ia bermula.

Konsep yang mengambil kira pertumbuhan penumpang, kemudahan masa depan dan persekitaran yang perlu menghidupkannya. Di mana-mana di dunia, lapangan terbang bukan lagi tempat penumpang datang dan pergi tetapi ia menjadi sebuah kompleks sosial, membeli-belah dan istirehat yang penting di zaman moden. Lihat sahaja jumlah wang yang disediakan untuk membuat lapangan terbang baru selain membaik pulih atau menambah kemudahan.

Benua Eropah khabarnya akan membelanjakan AS$66 bilion dalam masa tujuh tahun akan datang. Lapangan terbang di AS memerlukan tidak kurang AS$60 bilion untuk tujuan membaik pulih sahaja. China khabarnya harus meningkatkan kemudahan 40 lapangan terbang yang ada menjelang tahun 2000 dengan belanja yang bukan kecil.

Tentulah KLIA bukan gajah putih seperti yang mahu dibayangkan oleh banyak orang luar. Benar banyak negara Asia sedang dilanda jerebu ekonomi. Malah agensi penerbangan antarabangsa mengandaikan bahawa lapangan-lapangan terbang Asia akan kekurangan 30 juta penumpang setiap tahun sehingga gawat ini selesai. Tetapi sekiranya jerebu hilang, Asia akan menjadi rantau yang paling rancak pertumbuhannya dalam bidang penerbangan. Penganalisis mengakui menjelang pertengahan abad ke-21, KLIA dan Chek Lap Kok dijangka akan mengendalikan 150 juta penumpang setahun.

Kita melihat bagaimana KLIA terbina di tengah ladang kelapa sawit, ladang getah dan kampung Melayu tradisional. Pada waktu paling sibuk, ia memerlukan 30,000 pekerja dari 50 buah negara. KLIA juga menjadi sebahagian daripada Koridor Raya Multimedia (MSC) serta Cyberjaya dan ibu negara baru, Putrajaya. KLIA ialah nadi impian dan masa depan teknologi canggih serta menjadi penggerak pada pertumbuhan ekonomi masa depan. Maka itu KLIA cukup istimewa.

SEPATUTNYA BERKELAS DUNIA

KLIA dilengkapkan dengan sistem pengendalian yang sepenuhnya berkomputer. Apa yang dipanggil Sistem Menyeluruh Pengurusan Lapangan Terbang atau Total Airport Management System (TAMS) mengendalikan pelbagai rangkaian dan operasi yang kompleks. Ia merupakan sistem bersepadu yang menggabungkan semua aspek pengendalian dan operasi lapangan terbang itu - dari bangunan, keselamatan, pengurusan dan perniagaan. Pada waktu yang sama terdapat 19 subsistem lain yang digabungkan pada TAMS. Sistem pengendalian bagasi dan sistem daftar penumpang yang dikatakan menjadi punca kelam-kabut di KLIA pada hari pembukaannya merupakan salah satu subsistem itu.

Tetapi lapangan terbang paling canggih sekalipun belum tentu tidak bermasalah. Denver mendakwa menggunakan sistem pengurusan bagasi yang berharga AS$720 juta. Tetapi setelah tiga tahun pembukaannya, sistem itu masih belum sepenuhnya memuaskan. Teknologi ciptaan manusia memang canggih. Te-tapi manusia yang mengendalikan teknologi canggih itu belum tentu secanggih mesin di hadapannya. Dan kita semua tahu mesin dan alat bukan sempurna.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ling Liong Sik mengakui bahawa walaupun pelbagai ujian telah dibuat ke atas sistem yang ada, ia tidak dijalankan dalam keadaan "cemas" atau "stress." Maka itu banyak sistem yang tidak sepenuhnya teruji. Apa yang berlaku pada hari pertama apabila Sistem Memproses Pemeriksaan Daftar Masuk (PCPS) dan Sistem Pengendalian Bagasi Penumpang (BHS) tidak berfungsi, memang cukup menyedihkan.

Akibatnya penumpang menghadapi masalah kelewatan, proses pengambilan bagasi terjejas teruk, maklumat tidak jelas dan banyak urusan dibuat secara manual.

Ini bukanlah cara yang terbaik untuk memulakan perkhidmatan sebuah lapangan terbang. Apa lagi kalau ia sehebat KLIA. Apa yang jelas, penyelarasan tidak berlaku dengan sebaik-baiknya. Mentaliti "kita akan perbaiki bila ada masalah'' mungkin sesuai untuk sebuah jabatan kecil atau majlis bandaran di mana-mana. KLIA berurusan dengan dunia. Imej dan maruah kita menjadi pertaruhannya di sini. Media luar mempunyai alasan terbaik untuk me- nempelak kita.

Mereka mengatakan memang benar Malaysia boleh membina sebuah KLIA tetapi mengendalikannya satu hal yang lain. Maka itu KLIA harus memperbaiki kelemahannya secepat mungkin. Ini bukan masanya untuk menuding jari mencari salah orang lain. Kita harus memastikan KLIA memberikan perkhidmatan yang terbaik dan berkelas dunia setiap masa. Kita tidak boleh berkompromi dalam soal ini. - Johan Jaaffar E-mail: johan@utusan.com.my

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0705&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_03.htm#ixzz4K2QpRMnL © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan