Isnin, 12 September 2016

Jaringan istimewa Bergkamp -- Kehampaan lama Belanda berbalas

ARKIB : 05/07/1998
MARSEILLE, Perancis - Jaringan cantik pada minit terakhir permainan oleh Dennis Bergkamp memberikan kemenangan 2-1 Belanda ke atas Argentina pada perlawanan suku akhir bola sepak Piala Dunia di sini, semalam.

Perlawanan seakan-akan berlarutan ke masa tambahan apabila Bergkamp berjaya mengawal bola dalam satu pergelutan di sebelah kanan pintu gol Argentina selepas hantaran Frank de Boer dan merembat kencang mengatasi penjaga gol Carlos Roa.

Kemenangan itu menebus kekecewaan Belanda sejak 20 tahun atas kekalahan mereka pada perlawanan akhir 1978 di tangan Argentina di Buenos Aires.

Belanda akan menentang Brazil pada separuh akhir di Marseille, Selasa ini.

Patrick Kluivert yang kembali ke dalam pasukan membuka jaringan untuk Belanda pada minit ke-12 selepas menerima bola tandukan Ronald de Boer dalam kotak penalti.

Sebelum itu, Claudio Lopez menyambar hantaran jauh Juan Veron sebelum dengan tenang menolak masuk melepasi celah kelangkang penjaga gol Belanda, Edwin Van Der Sar.

Bagaimanapun, Belanda bermain sepuluh orang apabila Arthur Numan dibuang padang pada minit ke-77 selepas melakukan kekasaran ke atas Diego Simeone. Argentina pula turut bermain sepuluh orang apabila Ariel Ortega dilayangkan kad merah pada minit ke-88 kerana menanduk Van der Sar.

Lopez tenang menyumbat masuk gol penyamaan Argentina selepas Patrick Kluivert meletakkan Belanda di depan untuk mengikat kedudukan 1-1 selepas babak pertama.

De Boer menjadi punca gerakan itu apabila melepasi dua pemain pertahanan dan mengumpan kepada Bergkamp yang berada di sebelah kiri.

Penyerang Arsenal itu bertindak bijak dengan menanduk tepat kepada Kluivert yang kemudian membuat sepakan leret melepasi penjaga gol Argentina, Carlos Roa.

Tetapi dalam tempoh lima minit kemudian, pasukan dari Amerika Selatan itu kembali menghidupkan peluang mereka apabila Lopez berjaya melepasi perangkap offside Belanda untuk mengejar bola yang jauh daripada Juan Veron.

Van Der Sar keluar meninggalkan gawangnya untuk menghalang penyerang Valencia itu tetapi Lopez mengacahnya ke kanan sebelum cepat menolak masuk menewaskan penjaga gol itu untuk gol penyamaan - gol pertamanya di Perancis '98.

Edgar Davids mempunyai dua peluang terbaik untuk memulihkan kembali semangat pasukan yang memperlahankan permainan beserta cuaca panas di Marseille.

Percubaan pertama pemain tengah Juventus itu merembat ke arah penjuru kanan pintu gol tetapi bola tersasar jauh.

Belanda terpaksa membuat rombakan besar ke atas pasukan selepas Overmars tidak pulih daripada kecederaan menjelang perlawanan itu kerana mengalami hamstring ketika latihan.

Kluivert kembali menguatkan barisan serangan Belanda bersama Bergkamp dengan Philip Cocu mengambil posisi Overmars di sebelah kiri.

Jurulatih Belanda, Guus Hiddink turut memasukkan pemain tengah veteran, Wim Jonk dan meletakkan Clarence Seedorf di bangku simpanan.

Argentina hanya melakukan satu pertukaran daripada kesebelasan pasukan yang menyingkir England menerusi sepakan penalti di St. Etienne dengan pemain pertahanan Roberto Sensini kembali selepas pulih daripada kecederaan menggantikan Nelson Vivas.

Jonk memberikan permulaan sensasi bagi Belanda ketika permainan baru bermula lima minit apabila rembatannya kencangnya mengenai tiang gol.

Jonk sekali lagi berpeluang menggegar jaring 10 minit sebelum waktu rehat dengan rembatan jarak 25 meter tetapi Carlos Roa terus cemerlang.

Bagaimanapun, Argentina hampir membuka jaringan beberapa minit kemudian apabila perancang utama Ariel Ortega merembat dari jarak 30 meter dan berjaya mengatasi Van Der Sar tetapi bola sipi dari tiang gol.

BELANDA: Edwin Van der Sar, Michael Reiziger, Jaap Stam, Frank de Boer, Arthur Numan, Wim Jonk, Ronald de Boer (Marc Overmars), Phillip Cocu, Edgar Davids, Dennis Bergkamp, Patrick Kluivert.

ARGENTINA: Carlos Roa, Roberto Ayala, Jose Chamot, Roberto Sensini, Javier Zanetti, Matias Jesus Almeyda (Mauricio Pineda), Diego Simeone, Ariel Ortega, Juan Veron, Claudio Lopez, Gabriel Batistuta. - AFP.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0705&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4K2Uz2pIa © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan