Isnin, 12 September 2016

KLIA kelam-kabut -- PM percaya segala masalah dapat diselesaikan segera

ARKIB : 01/07/1998
 
SEBAHAGIAN daripada penumpang yang terpaksa berbaris panjang ekoran kerosakan Sistem Memproses Pemeriksaan Daftar Masuk (PCPS) di Aras Lima Bangunan Terminal Utama, KLIA, semalam. -_ Gambar HANAFI KHAMIS.

SEPANG 30 Jun - Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang memulakan operasi pertamanya hari ini menjadi kelam- kabut apabila Sistem Memproses Pemeriksaan Daftar Masuk (PCPS) dan Sistem Pengendalian Bagasi Penumpang (BHS) tidak berfungsi.

Kerosakan itu dikesan pukul 7.15 pagi ini menyebabkan semua jadual berlepas dan mendarat terpaksa dilewatkan antara setengah jam hingga sejam.

Beratus-ratus beg atau bagasi penumpang antarabangsa pula terpaksa dipunggah dari Bangunan Terminal Satelit (STB) ke Aras Tiga, Bangunan Terminal Utama (MTB). Ini menyebabkan terdapat penumpang yang terpaksa menunggu sehingga empat jam untuk mendapatkan beg mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad yang berada di Langkawi selepas menjadi penumpang pertama berlepas dari KLIA pada pukul 7.10 pagi ini, menyingkatkan lawatannya petang ini untuk kembali segera melihat sendiri operasi di lapangan terbang baru itu.

Ketika ditemui para pemberita kemudiannya, Dr. Mahathir berkata, masalah sebegitu memang dijangka pada lapangan terbang yang baru dibuka tetapi yakin ia dapat ditangani.

Kata beliau, masalah itu termasuk kerosakan sistem komunikasi sehingga menyebabkan penerbangan terlewat berlepas, sistem daftar masuk terpaksa dijalankan secara manual dan penerbangan yang berlepas tanpa bekalan makanan.

''Bagaimanapun masalah itu tidak menimbulkan komplikasi serius dan semua langkah sedang diambil untuk mengatasinya,'' kata beliau.

Sementara itu, Penerbangan Malaysia (MAS) dan Malaysia Airports Berhad (MAB) pula saling menyalahkan sesama sendiri berhubung kerosakan sistem tersebut.

Pengarah Urusan MAB, Datuk Khairuddin Ibrahim ketika ditanya mengenai keadaan kelam-kabut itu berkata:''Perkara itu sepatutnya ditanya kepada MAS.''

Bagaimanapun apabila dirujuk kepada seorang pegawai MAS pula, dia menjawab:''Memang Mas bertanggung jawab menguruskan segala urusan melibatkan pengguna di KLIA tetapi sistem operasi di sini adalah tanggungjawab MAB.''

Dalam pada itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Ling Liong Sik meminta maaf kepada semua penumpang di atas kesulitan yang mereka alami hari ini.

Sementara itu, tinjauan Utusan mendapati, kebanyakan penumpang antarabangsa terpaksa menunggu antara tiga jam hingga empat jam untuk mendapatkan bagasi mereka kerana kerosakan tersebut.

Beratus-ratus penumpang lain pula terpaksa berbaris panjang di aras Tiga untuk menunggu perkhidmatan limousin KLIA dan teksi untuk ke ibu kota kerana sistem tiket berkomputer kedua-dua perkhidmatan itu turut terjejas.

Sebahagian besar operasi di KLIA pula tidak berjalan lancar, daripada peringkat pengendalian pesawat hingga ke penumpang.

Kerosakan PCPS dan BHS kerana tidak wujud integrasi di bawah Sistem Menyeluruh Pengurusan Lapangan Terbang (TAMS), yang merupakan sistem operasi pertama di dunia digunakan di KLIA.

Program perisian BHS yang digunakan di KLIA ini pernah diaplikasikan di Lapangan Terbang Antarabangsa Denver, dengan perbelanjaan AS$300 juta. Bagaimanapun, selepas tiga tahun digunakan, sistem itu menghadapi masalah mengendalikan bagasi dan sistem ''aerotrain''. KLIA dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Ja'afar pada Sabtu lalu.

Menurut seorang pegawai MAS yang enggan namanya disiarkan berkata, kerosakan sistem canggih itu tidak dijangkakan berlaku di KLIA yang berharga RM9 bilion.

Beliau mendakwa akibat kerosakan itu, MAS terpaksa menanggung kerugian berjuta-juta ringgit, berikutan tuntutan ganti rugi daripada penumpang dan kelewatan penerbangan antarabangsa.

Dalam pada itu, Khairuddin turut 'ditempelak' oleh seorang rakyat asing sebaik sahaja beliau selesai 'melayani' pertanyaan pemberita tentang keadaan kelam-kabut itu.

Penumpang rakyat asing itu (mungkin secara kebetulan, tanpa mengenali Khairuddin berkata: ''KLIA memang cantik dan menarik tetapi mutu perkhidmatan hari ini teruk...amat teruk.''

Operasi MAS yang kucar-kacir hari ini turut diakui oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Mustapa Mohamed yang membuat tinjauan ringkas di lima kaunter limousin KLIA pagi ini.

''Saya menerima banyak aduan daripada penumpang yang kurang jelas dengan maklumat papan tanda di sini. MAS perlu tingkatkan kualiti perkhidmatannya dan letakkan lebih banyak kakitangan di sini kerana pengguna perlu diutamakan dulu. Kaunter limousin juga perlu dibuka lebih banyak lagi berbanding hanya lima,'' katanya.

Utusan juga mendapati penumpang kecewa dengan kelancaran sistem pengendalian penumpang domestik dan antarabangsa. Ini disebabkan mereka terpaksa beratur panjang di kaunter-kaunter 'check-in' di aras Lima MTB.

MAB pula, hanya membuka beberapa kaunter di balai pemeriksaan masuk penerbangan domestik dan antarabangsa tertentu yang menawarkan perkhidmatan MAS, daripada keseluruhan 216 kaunter.

Bagaimanapun, operasi beberapa kaunter dianggap memadai dengan penggunaan TAMS, yang disifatkan paling canggih setakat ini.

Masalah 'check-in' tidak begitu ketara di balai A dan B domestik, walaupun terdapat sedikit kelewatan dan pandangan 'menyakitkan hati' dengan troli-troli bersepah, menyekat laluan penumpang.

Bagaimanapun, di balai 'check-in' penerbangan antarabangsa, kesesakan amat ketara, apabila PCPS mengalami kerosakan, dengan tangga elektrik (eskelator) membawa bagasi terhenti-henti mengakibatkan beberapa pertengkaran kecil di antara penumpang rakyat asing dengan kakitangan bertugas.

Hampir 100 penumpang penerbangan antarabangsa, sebahagian besarnya rakyat asing mahu ke Asia Timur dan Eropah melahirkan rasa kesal dengan sistem operasi di KLIA.

''Kami dengar banyak yang positif mengenai kecanggihan KLIA. Tetapi bila tanya (punca kerosakan), mereka kata masalah komputer dan tiada sistem sokongan,'' kata seorang rakyat asing yang menggunakan pesawat MH738 ke Brunei.

Pesawat berkenaan dijadualkan pada 8.50 pagi tetapi penumpang itu terpaksa menanti sejak 6 pagi, setelah dihubungi oleh operator MAS supaya datang awal untuk mengelakkan kelewatan.

Tiada kakitangan MAS atau MAB yang tampil meredakan keadaan di aras Lima kecuali menerusi pengumuman sekali-sekala mengenai kerosakan teknikal yang sedang dibaiki.

Aliran penumpang juga masih lemah kerana gagal mengikut arahan Papan Tanda Maklumat Penerbangan (FIDS).

Skrin 'Maklumat Daftar Masuk', di aras Lima MTB, yang mempamerkan jadual perjalanan dan balai pendaftaran masuk penerbangan domestik dan antarabangsa gagal menyampaikan mesej kepada penumpang yang tiba pertama kali di KLIA.

MAS yang meletakkan sekurang-kurangnya seorang di tepi skrin itu terpaksa melayani berpuluh-puluh pengguna yang keliru dengan papan tanda arah ke balai domestik dan penerbangan.

Kaunter pengurup wang di sudut kanan aras Lima masih gagal beroperasi sehingga pukul 10 pagi, walaupun penumpang menunggu sejak 7 pagi lagi.

Apabila wakil Utusan menanyakan salah seorang kakitangan yang bertugas punca kelewatan operasinya, dia berkata: ''Pekerja yang bawa wang tidak sampai lagi...tunggulah mungkin 9 atau 10 pagi,'' katanya pada pukul 7.30 pagi.

Amat ketara masalah operasi MAS di KLIA ialah di aras Tiga MTB, apabila penumpang yang tiba, antaranya dari Madras dan Switzerland terpaksa menunggu antara empat hingga lima jam untuk menuntut bagasi masing-masing.

Kira-kira 13 'carousel' iaitu putaran eskelator mengangkut bagasi kadang-kadang terhenti pada sesuatu ketika.

Orang ramai yang tidak puas hati turut menyerbu seorang kakitangan MAB yang memohon maaf mengenai kerosakan sistem berkenaan.

Sementara itu, seorang jurucakap MAS memberitahu, ekoran kerosakan itu, para pegawai MAS dan MAB telah mengadakan mesyuarat tergempar bagi mencari jalan menyelesaikan masalah itu.

Jurucakap itu berkata, pelbagai langkah dan pelan luar jangka dirangka untuk memastikan sistem operasi pulih seperti biasa esok.

Oleh: ZULKIFLI JALIL dan NAZERI NONG SAMAH

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0701&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_01.htm#ixzz4K2E98YfY © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan