Isnin, 12 September 2016

SELAYANG PANDANG

ARKIB : 12/07/1998
Majlis Tertinggi UMNO yang bermesyuarat pada malam Jumaat baru lalu khabarnya turut membincangkan soal kekalahan di Arau. Antara faktor yang dikenalpasti sebagai punca kekalahan ialah sikap ''terlalu yakin.''

Kekalahan calon BN kali ini, Ismail Kassim dengan 1,323 undi, sudah pasti akan menimbulkan banyak tanda tanya. Hakikat bahawa Ismail ialah adik Menteri Besar Perlis, Datuk Shahidan Kassim sejak awal lagi sudah menimbulkan banyak kontroversi. Pas mendakwa bahawa pemilihan itu satu lagi bukti amalan nepotisme dalam UMNO. Jadi soal sama ada Ismail mungkin satu-satunya calon yang ''paling sesuai'' di antara sekian nama yang dikemukakan kepada Perdana Menteri tentulah tidak akan diambil kira.

Sebenarnya Arau tidaklah begitu penting dalam konteks pilihan raya kecil negara ini. Arau tidak boleh disamakan dengan Johor Bahru pada tahun 1988 misalnya, yang dijadikan titik tolak penting penerimaan rakyat Johor terhadap pimpinan Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad ekoran krisis UMNO tahun 1987. Atau beberapa pilihan raya kecil di Kelantan dan Terengganu yang boleh menguji penerimaan rakyat terhadap BN.

Malah BN bukan tidak pernah kalah dalam pilihan raya kecil. Selepas Johor Bahru, dari 22 pilihan raya kecil, BN kalah dalam sekurang-kurangnya empat pilihan raya kecil sehingga tahun 1994, dua kepada S46, satu kepada PBS dan satu kepada Pas. Pada tahun 1996, BN kalah di Pulai Chondong tetapi selepas itu berjaya merampas kedudukan DAP di Kidurong, selain menang di Semarak (Kelantan), Melekek (Melaka), Kemena (Sarawak), Permatang dan Kuala Selangor (Selangor) serta Repah (Negeri Sembilan). Paling baru ialah Teluk Intan yang juga menyaksikan kekalahan calon BN.

Tetapi mengapakah Arau begitu penting kelihatannya dan kekalahan BN di situ menjadi isu yang hangat?

Arau menjadi fokus kerana ia merupakan pilihan raya kecil pertama selepas Perhimpunan Agung UMNO tahun ini. Perhimpunan kali ini bergema dengan isu nepotisme dan kronisme yang dibawakan oleh Pergerakan Pemuda UMNO. Isu itu menjadi lebih hangat apabila ia menjadi bahan perdebatan terbuka oleh pelbagai kalangan dalam politik, juga sekian banyak pecacai dan penganalisis di luar sana.

Perbahasan itu membabitkan sekian macam spekulasi, andaian, siap dengan segala macam teori konspirasinya. Malah bagi sesetengah pihak ia menjadi alasan terbaik untuk menanyakan kesetiaan, untuk mengukur kepatuhan dan untuk menguji keyakinan.

Tiba-tiba sahaja UMNO dibayangi krisis baru - atau begitulah yang cuba digambarkan oleh pihak-pihak tertentu. Dan sekali lagi perhatian diberikan pada masalah di antara Nombor Satu dan Nombor Dua. Kita semua tahu hal ini akan timbul setiap kali berlaku perhimpunan, atau pemilihan parti atau apabila media luar ghairah membuat spekulasi. Lagi pula gegaran isu nepotisme dan kronisme masih belum reda. Di tengah senario itulah, penduduk Arau keluar mengundi.

Ada pendapat yang mengatakan Ismail ialah ujian terbaik untuk melihat bagaimana ''nepotisme'' ditanggap pada peringkat bawahan. Nampaknya penolakannya jelas. Ada pendapat lain yang mengatakan bahawa isu yang dibawakan oleh Pemuda itu bertanggungjawab ke atas kekalahan Arau. Malah Ketua Pergerakan Pemuda, Datuk Zahid Hamidi seharusnya menerima tanggungjawab penuh kekalahan di Arau. Beliau yang dikatakan secara tidak bertanggungjawab sekali menggunakan saluran yang tidak betul telah membuka pekung di dada apabila membangkitkan isu nepotisme dan kronisme. Atau lebih buruk lagi menggunakan ungkapan Inggeris, membuka tin berisi ulat. Padahnya terlihat di Arau.

Ada pandangan lain yang mengatakan bahawa pimpinan negerilah yang sebenarnya bertanggungjawab ke atas kekalahan itu. Ini termasuklah personaliti Menteri Besarnya yang dikatakan combative serta lemahnya jentera pilihan raya di Arau. Shahidan mempunyai latar belakang sebagai Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan. Maka itu ada yang berpendapat Shahidan masih tidak boleh membezakan tugas menjadi juara pemerintah dengan memegang teraju negeri.

Nasi sebenarnya belum menjadi bubur. Arau memang patut dijadikan pengajaran malah amaran bagi UMNO dan BN. Terlalu banyak pengajaran yang boleh diambil dari Arau. Paling penting tentunya ialah dalam konteks Arau, sekalipun biduk lalu, kiambang gagal bertaut. UMNO yang dilihat, ditafsir dan dipersepsikan sebagai bermasalah akan mudah ditundukkan, walaupun oleh parti yang sebenarnya lemah dan tidak ada isu yang jelas.


BERAKHIRNYA ISU NEPOTISME PRESIDEN UMNO memaklumkan dalam sidang akhbar selepas mesyuarat MT itu juga bahawa isu nepotisme sudah selesai. Katanya, Zahid sendiri telah faham dan Ketua Pemuda itu tidak lagi percaya bahawa amalan itu wujud di Malaysia.

Menurut beliau lagi ekoran penjelasan menyeluruh isu tersebut serta beberapa senarai yang dikeluarkan selepas itu, maka segala salah faham mengenai hal itu telah berakhir.

Semua pihak sepatutnya menarik nafas lega. Isu tersebut telah menimbulkan ketegangan luar biasa dalam UMNO. Bahangnya terasa benar sampai ke akar umbi.

Tentulah amat malang isu tersebut mendapat reaksi, over-reaction, salah faham dan penyalahtafsiran yang boleh menyulitkan UMNO. Sejak sekian lama UMNO tidak digoncangkan oleh isu seserius dan seemotif itu. Tetapi sekali lagi kewarasan menguasai dan UMNO berjaya menangani masalah itu secara waras dari dalam. Semua orang, Zahid terutamanya, harus belajar dari isu ini.

Inilah UMNO. Personaliti dan isu akhirnya akan dikesampingkan apabila perpaduan menjadi pertimbangannya.

Presiden UMNO menganggap hal itu selesai. Pemuda UMNO mengakui isu itu berakhir setakat itu. Ahli-ahli UMNO juga seharusnya menganggap bahawa isu itu , meminjam ungkapan Inggeris lagi, hanya kocakan kecil di dalam cawan. Nokhtah.


DAP DAN DEMOKRASI Siapakah pejuang sebenar ''demokrasi, kebebasan, keadilan dan pengurusan yang baik'' selama ini? Tentulah DAP. DAP sentiasa mendesak pada ketelusan, keterbukaan dan menolak sekeras-kerasnya amalan pilih kasih.

Hari ini DAP berdepan dengan polong ciptaannya sendiri. Cakap-cakap tentang ketelusan dan keterbukaan nampaknya hanya relevan untuk orang lain. Sedangkan DAP ada kayu ukur atau piawaiannya tersendiri. Apa yang dikecam hebat kalau dibuat oleh orang lain mungkin tidak salah kalau dilakukan oleh parti itu sendiri.

Lihat sahajalah krisis terbaru dalam parti itu. Tiga orang pemimpin DAP dihadapkan pada jawatankuasa disiplin hujung minggu lalu atas dakwaan menyebabkan ketidakstabilan dalam parti.

Moral ceritanya ialah Setiausaha Agung DAP sebenarnya turut menjadi tidak rasional apabila isu anaknya timbul. Perihal bahawa dia selama ini membina Guan Eng dalam politik bukan rahsia lagi. Kali ini DAP akan berantakan kerana Kit Siang jelas meletakkan kepentingan anaknya di atas segala-galanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0712&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_01.htm#ixzz4K3biPUkw © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan