Isnin, 12 September 2016

Era kecemerlangan -- PM: Kompleks Sukan Negara pemangkin kemajuan


 

Era kecemerlangan -- PM: Kompleks Sukan Negara pemangkin kemajuan
DR. MAHATHIR Mohamad dengan diiringi oleh Muhyiddin Yassin memasukkan obor ke dalam replika yang direka khas sebagai tanda merasmikan pembukaan Kompleks Sukan Negara di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam tadi. - Gambar MINGGUAN MALAYSIA.

KUALA LUMPUR 11 Julai - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad malam ini merasmikan Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil menandakan bermulanya era prasarana dan kecemerlangan sukan bertaraf dunia bagi Malaysia selain menjadi pemangkin kepada kemajuan negara.

Kompleks berharga RM800 juta itu yang akan menjadi gelanggang utama Sukan Komanwel ke-XVI di ibu negara, 62 hari lagi dilihat sebagai lonjakan kepada rakyat untuk terlibat secara aktif dalam sukan, yang sedikit sebanyak akan mencerminkan kemajuan sosioekonomi.

Dalam ucapannya pada majlis penuh bersejarah itu Perdana Menteri menyatakan keyakinan bahawa pelaburan dalam pembangunan sukan akan membawa pulangan yang besar kepada kemajuan negara.

Menurut beliau, pembukaan Kompleks Sukan Negara yang indah dan lengkap dengan kemudahan terkini itu bukan sahaja membuktikan kesungguhan negara untuk menjayakan Sukan Komanwel tetapi juga menjadikannya simbol kecemerlangan sukan yang diharap akan menjadi budaya di kalangan rakyat Malaysia.

''Prestasi dan kecemerlangan dalam bidang sukan kerap kali diiringi dengan tahap kemajuan sesuatu masyarakat. Bagi masyarakat di negara maju, lazimnya pencapaian mereka dalam sukan adalah tinggi dan begitulah sebaliknya.

''Jelaslah secara langsung kemajuan sukan sedikit sebanyak mencerminkan kemajuan sosioekonomi sesebuah negara,'' katanya.

Pada majlis yang disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM), beliau turut mengumumkan nama baru yang diberikan kepada kemudahan-kemudahan yang terdapat di kompleks berkenaan.

Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil akan dikenali sebagai Kompleks Sukan Negara.

Komponen-komponen yang terletak hampir sebelah-menyebelah di kawasan seluas kira-kira 120 hektar itu ialah Stadium Utama, Stadium Tertutup, Kompleks Renang, Stadium Skuasy dan Stadium Hoki.

Acara perasmian Kompleks Sukan Negara penuh warna-warni itu berlangsung di Stadium Utama, sebuah stadium olahraga dan bola sepak yang dianggap ultramoden dengan keupayaan menampung 100,000 penonton, berbumbung bulat berbentuk cincin dan dilengkapi kerusi berwarna-warni yang melambangkan warna bendera negara ''Jalur Gemilang''.

Terdahulu Dr. Mahathir merasmikan kemudahan Sistem Transit Aliran Ringan (STAR-LRT) dari ibu negara ke Bukit Jalil di Stesen Bukit Jalil.

Tambah Perdana Menteri, sukan sudah menjadi satu industri yang boleh menyumbang kepada pembangunan ekonomi sesebuah negara.

Jelas beliau, acara-acara sukan yang menarik minat orang ramai mempunyai potensi komersial dalam bidang iklan, penyiaran televisyen dan radio, majalah dan akhbar, pakaian sukan dan alat-alat kelengkapan yang digunakan untuk pelbagai jenis sukan.

''Di masa yang sama para atlet berpeluang untuk mendapat imbuhan yang lumayan bahkan boleh menjadi kaya-raya sebagai ahli sukan profesional,'' katanya lagi.

Dr. Mahathir menegaskan, sebenarnya kompleks tersebut tidak mungkin dibangunkan sekiranya tiada harapan untuk mendapat pulangan daripada acara-acara sukan dan lain yang boleh diadakan di situ.

Menurut beliau, memandangkan sukan sudah mempunyai nilai komersial maka kemudahan untuk sukan dapat ditingkatkan kualiti dan keselesaannya.

Dalam hubungan ini, Perdana Menteri berkata, penglibatan secara aktif oleh masyarakat dalam kegiatan-kegiatan sukan akan dapat membina semangat daya juang, kecekalan, kegigihan dan komitmen di kalangan mereka, selain pembentukan tubuh badan yang sihat.

''Sukan juga melatih kita dalam mendisiplinkan diri kita, memperkenal dan menanam nilai-nilai yang baik yang berguna bagi menjayakan kita dalam bidang-bidang lain.

''Walaupun sekarang yang lebih utama ialah kemenangan dengan apa cara sekalipun tetapi semangat kesukanan tidak harus diketepikan.

Ketika berucap merasmikan Stesen STAR-LRT di Bukit Jalil pula, Perdana Menteri memberitahu, Sukan Komanwel kali ini memberi peluang kepada rakyat tempatan memperkenalkan kebolehan bukan sahaja dalam bidang sukan tetapi juga bidang-bidang lain termasuk pembangunan, pengurusan dan mengekalkan keharmonian antara kaum.

''Oleh itu, janganlah kita sia-siakan peluang ini. Layanlah tetamu-tetamu kita dengan baik bukan sahaja semasa acara sukan tetapi sepanjang masa tetamu kita berada di sini.

''Sudah tentu khidmat pengangkutan seperti STAR-LRT hendaklah membuktikan keupayaannya sepanjang masa,'' ujar beliau.

Stesen berharga RM23 juta itu menghubungkan Bukit Jalil dengan stesen LRT di Jalan Sultan Ismail, meliputi jarak kira-kira 12 kilometer.

Sempena acara itu, Dr. Mahathir telah menaiki LRT di Stesen Jalan Sultan Ismail untuk perjalanan selama kira-kira 24 minit menuju ke Bukit Jalil.

Beliau juga menyarankan supaya kemudahan pengangkutan ke Kompleks Sukan Negara itu dianggap sebagai satu ujian besar terhadap kemampuan dan kecekapan STAR-LRT.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0712&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_01.htm#ixzz4K3Webdlj © Utusan Melayu (M) Bhd


Tiada ulasan:

Catat Ulasan