Isnin, 12 September 2016

MEMASTIKAN KEJAYAAN CYBERJAYA

ARKIB : 10/07/1998
GAWAT atau tidak gawat, projek Cyberjaya - bandar pintar tetap diteruskan.

Begitulah ketegasan yang dilontarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad bagi menunjukkan betapa kerajaan amat serius untuk melihat projek tersebut berjaya menjadi kenyataan.

Ini kerana projek Cyberjaya ada hubung kait dan menjadi komponen penting dengan sistem Koridor Raya Multimedia (MSC) yang menjadi projek 'anak kandung' (brainchild) Perdana Menteri sendiri dalam membangunkan industri teknologi maklumat negara (IT).

Ketegasan Perdana Menteri itu sewajarnya dialu-alukan kerana ia bukan sahaja melibatkan soal maruah negara sebaliknya penerusan projek ini adalah juga sebagai usaha memulihkan kembali keyakinan pelabur asing dan tempatan kepada sistem ekonomi dan pentadbiran negara.

Di samping itu, projek tersebut akan membawa negara kita menuju ke persada alaf baru yang pasti menguntungkan negara pada masa jangka panjang dari segi penyaluran maklumat dan pengurusan negara di era dunia tanpa sempadan.

Malah kita merasakan setelah berjaya dengan projek Kuala Lumpur International Airport (KLIA) tidak syak lagi betapa perlunya Cyberjaya dibangunkan.

Di saat negara jiran sedang memperlecehkan pencapaian cemerlang negara kita kerana mampu membangun di saat arus kegawatan ekonomi melanda, maka kejayaan Cyberjaya sudah tentu memberi tamparan hebat kepada perasaan hasad dengki negara berkenaan.

Malah pihak-pihak tertentu di peringkat antarabangsa juga hanya menunggu untuk memperkecilkan kita jika kita gagal untuk meneruskan projek Cyberjaya.

Kejayaan kita selama ini membina prasarana canggih seperti bangunan berkembar (KLCC) dan Menara Kuala Lumpur menjadi momokan sesetengah pihak apatah lagi apabila perancangan kita terbantut atau menemui kegagalan. Orang sentiasa menunggu untuk mengkritik kita dari semasa ke semasa.

Atas senario ini benarlah seperti kata Perdana Menteri bahawa kita tidak boleh memberhentikan projek Cyberjaya kerana ia menjadi lambang negara ini melangkah ke kurun ke-21.

Malah belanja dan peruntukan yang besar telah pun dilaburkan ke dalam projek tersebut sebelum ini.

Amat tidak wajar untuk membiarkan projek tersebut terbengkalai.

Kita berpendapat kewujudan Cyberjaya akan meletakkan kedudukan negara kita setara dengan negara jiran. Malah mungkin mengatasi sesetengahnya.

Sebagai negara berdaulat dan mempunyai wawasan, kesungguhan Perdana Menteri itu sewajarnya disambut baik oleh semua pihak dalam negara.

Kita bersetuju dengan Dr. Mahathir bahawa jika negara kita selama ini telah berjaya membangunkan senario industri kita daripada pengeluar getah dan bijih timah kepada industri berat maka kita tidak nampak sebab mengapa projek MSC ini tidak boleh berjaya.

Kata Dr. Mahathir, MSC merupakan komitmen kerajaan bahawa Malaysia sememangnya sudah bersedia untuk berhadapan dengan era teknologi maklumat yang amat canggih sewajarnya disambut oleh semua pihak dengan memberi sokongan yang padu ke arah merealisasikan projek Cyberjaya.

Kita tidak lagi boleh menoleh ke belakang, sebaliknya mesti melangkah terus untuk membawa negara kita dengan kerangka teknologi terkini ke alaf baru demi survival rakyat dan negara dalam mendepani cabaran era siber.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0710&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_02.htm#ixzz4K3R7duW5 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan