Isnin, 12 September 2016

Belanja tunai haji tahun depan RM7,831

ARKIB : 10/07/1998
MELAKA 9 Julai - Perbelanjaan menunaikan haji pada tahun depan telah ditetapkan sebanyak RM7,831 bagi seorang jemaah, meningkat RM1,831 berbanding perbelanjaan RM6,000 sebelum ini.

Bagi jemaah haji dari Sabah dan Sarawak, perbelanjaan bertambah sebanyak RM1,901, menjadikan belanja keseluruhan ialah RM8,211 dan RM8,051.

Belanja menunaikan haji bagi jemaah dari Sabah dan Sarawak sebelum ini ialah RM6,310 dan RM6,150.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdul Hamid Othman memberitahu, mesyuarat jemaah menteri semalam bersetuju dengan keputusan Tabung Haji menaikkan kadar perbelanjaan menunaikan haji bagi tahun depan.

Dr. Abdul Hamid berkata, kenaikan kos menunaikan haji itu tidak dapat dielakkan kerana kejatuhan nilai ringgit berbanding rial Arab Saudi selain berpunca kenaikan dolar Amerika Syarikat.

Walaupun kos perbelanjaan menunaikan haji itu dinaikkan, Tabung Haji akan memberi subsidi sebanyak RM1,077 bagi tiap jemaah atau kira-kira RM25 juta bagi 25,000 jemaah haji pada tahun depan bagi menampung kos-kos sampingan seperti penyediaan makanan, perubatan, dokumen dan kursus.

''Ini bermakna perbelanjaan keseluruhan bagi setiap jemaah untuk menunaikan haji termasuk subsidi yang ditanggung oleh kerajaan berjumlah kira-kira RM8,900,'' katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyampaian hadiah dan pelancaran Skim Hadiah Galakan Sekolah-Sekolah Malaysia 1998 di Ayer Keroh di sini, hari ini.

Kali terakhir perbelanjaan menunaikan haji dinaikkan ialah kira-kira lima tahun lalu. Pada tahun lepas Tabung Haji terpaksa menanggung kos tambahan sebanyak RM2,490 bagi setiap jemaah berikutan kegawatan ekonomi, kata Dr. Abdul Hamid.

Beliau berkata, kejatuhan nilai ringgit dan perbelanjaan mengerjakan haji telah naik 10 peratus setiap tahun.

Katanya, setiap RM100 kini hanya bersamaan kira-kira 90 rial Arab Saudi berbanding 148 rial sebelum ini.

''Saya berharap bakal jemaah tidak akan menganggap Tabung Haji cuba mencari keuntungan dengan cara menaikkan perbelanjaan ini kerana Tabung Haji tidak pernah membuat untung menerusi perkhidmatan haji,'' tegas Dr. Abdul Hamid.

Beliau juga menjelaskan bahawa kenaikan kos menunaikan haji itu mungkin bersifat sementara. Katanya, Tabung Haji akan menimbang menurunkan kadar itu sekiranya keadaan ringgit kembali stabil pada masa depan.

Dibandingkan dengan kos perbelanjaan untuk menunaikan haji yang dikenakan oleh negara-negara lain, Dr. Abdul Hamid berkata, perbelanjaan yang ditetapkan oleh Tabung Haji masih murah.

Beliau meminta bakal-bakal haji yang telah menyimpan dengan Tabung Haji supaya menambah simpanan masing-masing dengan segera supaya genap menjadi RM7,831.

Oleh: SOPHA SULAIMAN

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0710&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_04.htm#ixzz4K3QLNKCl © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan