Isnin, 12 September 2016

Malaysia Hall tidak akan ditutup - Najib

ARKIB : 13/07/1998
Malaysia Hall tidak akan ditutup - Najib
LONDON 12 Julai - Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak memberi jaminan bahawa Malaysia Hall di sini yang menjadi tempat persinggahan popular para pelajar dan pelawat dari tanah air, tidak akan ditutup.

Katanya, Malaysia Hall akan terus wujud, walaupun kakitangan Jabatan Penuntut Malaysia United Kingdom dan Eire yang berpejabat di situ semakin dikurangkan.

Beliau menjelaskan, Malaysia Hall perlu dipertahankan kerana ia merupakan satu institusi dan menjadi lambang kebanggaan rakyat Malaysia di London.

Bercakap kepada para pelajar Malaysia di dewan besar Malaysia Hall petang semalam, Najib berkata beliau sendiri mempunyai kenangan yang abadi terhadap tempat itu yang sering disinggahinya semasa menuntut di London dulu.

"Saya masih ingat harga makanan (nasi dan lauk) hanya 2 shilling 6 pence," katanya merujuk kepada kantin di Malaysia Hall yang masih menjual makanan Malaysia dengan harga yang murah sehingga hari ini.

Di samping singgah untuk menikmati makanan Malaysia, para pelajar dan pelawat juga menginap di asrama Malaysia Hall yang terletak di Bryanston Square di bahagian pusat London, kerana bayaran sewanya murah.

Sebuah surau yang terletak di tingkat satu Malaysia Hall menjadi tempat bersembahyang jemaah dan Jumaat rakyat Malaysia yang bekerja atau tinggal di London. Orang-orang Islam London yang tinggal atau bekerja di kawasan sekitarnya juga bersembahyang di situ.

Selain berfungsi sebagai pejabat hal-ehwal penuntut, Malaysia Hall juga merupakan pusat sosial bagi rakyat Malaysia di London yang berkumpul di situ bagi menyambut perayaan agama seperti Hari Raya dan Maulidur Rasul.

Berikutan krisis ekonomi di tanah air, jumlah kakitangan Jabatan Penuntut Malaysia yang lebih dikenali sebagai MSD (Malaysian Student Department) telah dikecilkan sejak awal tahun ini setelah sebahagian besar mereka dipanggil pulang.

Menurut Najib, semua pejabat MSD di lain-lain bandar raya di Britain akan ditutup kecuali di London yang kini diketuai oleh pengarah barunya, Abdul Rahim Mohamad.

Beliau menjelaskan, pengecilan MSD tidak dapat dielakkan kerana peruntukan Kementerian Pendidikan bagi urusan di seberang laut juga telah dikurangkan daripada RM40 juta kepada RM27 juta setahun.

Berikutan keadaan itu, timbul pelbagai spekulasi tentang masa depan Malaysia Hall. Ada yang menyatakan ia akan ditutup dan ada desas-desus kononnya ia akan diswastakan. - Utusan.

Daripada: HAMZAH SIDEK




SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0713&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_06.htm#ixzz4K3cYin1c © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan