Isnin, 12 September 2016

Nostalgia lidah Melayu

ARKIB : 13/07/1998
Nostalgia lidah Melayu
UTUSAN Melayu diasaskan - sebagai penyambung lidah Melayu - pada 29 Mei 1938 di Singapura oleh 542 orang ahli saham yang terdiri dari orang Melayu yang rata-rata daif dari seluruh pelosok Semenanjung Tanah Melayu dengan modal berbayar sebanyak $12,290 (nilai masa itu).

Sekarang Utusan Melayu disenaraikan di Papan Utama Bursa Saham Kuala Lumpur, pemegang sahamnya berjumlah 12,423 dengan modal terbayar RM77.37 juta, dagangan kumpulan Syarikat Utusan tahun lepas berjumlah RM285 juta.

Pusingan dagangan (turnover) Kumpulan Utusan dijangka antara sekarang dengan alaf baru (kalau kegawatan ekonomi reda) mungkin menghampiri atau melebihi RM300 juta satu tahun. Apapun jelas Utusan Melayu dalam umurnya 59 tahun sudah menjadi satu syarikat kebanggaan bangsa Melayu.

Semenjak Utusan Melayu pulang ke pangkuan ibunya, Kuala Lumpur 41 tahun dahulu, tiga Perdana Menteri telah menyempurnakan perasmian bangunan Utusan Melayu. Tunku Abdul Rahman Putra telah merasmikan bangunan yang kini diduduki oleh Jabatan Pengarang di Jalan Chan Sow Lin pada 9 Februari 1965 dan Tun Razak telah merasmikan bangunan tambahan sebelum asar 22 Jun 1972.

Pada hari Sabtu, 18 Julai ini Datuk Seri Dr. Mahathir akan merasmikan kompleks Utusan Melayu yang terbaru di Bangi iaitu satu kompleks percetakan yang termoden di negara kita.

Awal 1990-an, Datuk Seri Anwar Ibrahim (selepas sembahyang Jumaat) telah meletakkan batu asas cadangan bangunan korporat di Wangsa Maju tetapi setelah kepimpinan Utusan diambil alih oleh Tan Sri Kamarul Ariffin Mohd. Yasin kerana sebab keselesaan, bisnes, korporat dan masa kemuka, Lembaga Pengarah telah membuat keputusan lebih wajar Utusan Melayu berpindah ke Bangi.

Lembaga Pengarah yang bersidang April lalu telah memutus menjualkan tanah dan harta Utusan di Wangsa Maju dengan keuntungan yang agak besar.

Sungguhpun saya tidak memulakan kerjaya wartawan saya dengan Utusan Melayu tetapi dengan Straits Times (kini NST) saya amat berbangga kerana pertalian sejarah dan peribadi saya dengan Utusan amat rapat dan terus rapat semenjak Tun Razak melantik saya menjadi Ahli Lembaga Pengarah Utusan pertengahan 60-an.

Walaupun saya di New York, saya diserang nostalgia. Perasmian kompleks Utusan di Bangi minggu depan oleh Dr. Mahathir menyediakan Utusan Melayu untuk melangkah ke alaf baru dengan lebih berkeyakinan lagi.

Teringat saya kepada ucapan perasmian Tun Razak 26 tahun dahulu kerana dua sebab: Pertama saya menulis ucapan itu yang masih ada dalam simpanan saya dan kebetulan pula saya bawa ucapan itu ke New York dan kedua Utusan Melayu terlampau dekat dengan hati dan jantung saya, maka penulis tidak bisa senang melupainya.

Pada petang 22 Jun pukul empat petang tepat, Tun Razak tiba di Jalan Chan Sow Lin dan 15 minit kemudian beliau telah membuat ucapan perasmiannya.

Katanya: ''Pada 30 Mei lepas, umur Utusan Melayu masuk 33 tahun. Sepanjang ingatan saya, belum pernah lagi dalam sejarah persuratkhabaran Melayu, sebuah akhbar Melayu hidup begini lama.

''Inilah sejarah yang diukir oleh Utusan Melayu, sebuah perusahaan Melayu yang seratus peratus dikendalikan dan diusahakan sendiri oleh orang-orang Melayu dengan modal yang begitu sedikit.

Utusan Melayu diasaskan pada 29 Mei 1938, dengan modalnya sebanyak $12,290. Hari ini Utusan Melayu telah berjaya menjadi sebuah perusahaan yang maju dan berkembang hingga modalnya yang dibayar sekarang berjumlah RM2.6 juta dan sahamnya yang berharga seringgit satu, mengikut Pasaran Saham Mara hari ini, berharga jualan RM1.35 dan belian RM1.25 satu saham.

''Pada tahun 1939, Utusan Melayu dipunyai oleh 542 ahli saham tetapi sekarang ia adalah kepunyaan 7,967 ahli-ahli saham yang tinggal di seluruh pelusuk Malaysia termasuk juga yang tinggal di Singapura.

Maka wajiblah dan menjadi tanggungjawab saudara-saudara yang mewarisi pusaka ini daripada penaja-penaja dan pengasas-pengasas syarikat ini yang sekarang menjadi pusaka orang-orang Melayu, supaya perusahaan ini kekal menjadi satu institusi, satu lambang kebolehan dan kemampuan anak-anak Melayu untuk berdikari.

''Tiap-tiap institusi mempunyai sejarahnya sendiri, baik ia parti politik seperti UMNO ataupun sebuah perusahaan seperti Utusan Melayu.

''Saya tidaklah pada hari ini hendak menghuraikan sejarah itu tetapi biarlah saya tegaskan di sini bahawa Utusan Melayu lahir dari semangat kebangsaan orang-orang Melayu dan ia tegak berdiri sekarang hanya setelah ia melalui bermacam-macam dugaan dan ujian, berbagai-bagai rintangan, halangan dan setelah ia mengalami berbagai kepayahan dan kesulitan yang wujud sendiri atau yang diadakan oleh setengah-setengah pihak yang tertentu, baik dari dalam atau luar.

''Utusan Melayu tidak tegak berdiri secara tiba-tiba dan secara mendadak begitu sahaja. Zaman-zaman permulaannya ialah zaman-zaman yang penuh dengan derita, penuh dengan kepayahan dan penuh dengan pengorbanan tiap pekerjanya.

''Inilah yang patut selalu menjadi ingatan dan kesedaran tiap pekerjanya sekarang dari Datuk Hussein (Pengerusi Lembaga Pengarah) di atas ke serendah-rendahnya dan kerana ia telah melalui zaman-zaman yang pahit dan maung, yang pedih dan pilu, maka ia tentulah mempunyai satu sejarah yang gilang-gemilang.

''Sejarah inilah yang mesti dipertahankan dan dipelihara baik-baik oleh saudara-saudara dan mereka yang akan berkhidmat dengan Utusan Melayu di masa-masa hadapan.

''Sejarah itu terjalin erat dengan perjuangan kita untuk menebus kemundurannya untuk mencapai kemerdekaannya untuk menjadi satu bangsa yang bermaruah dan dihormati oleh dunia.

''Tradisi itu bersambung sekarang kerana kita masih dalam perjuangan hendak mengisi kemerdekaan dan kedaulatan kita. Nasionalisme yang mendorong penaja-penaja dan pengasas-pengasas Utusan Melayu dahulu hendaknya mendorong saudara-saudara dalam menunaikan tugas dan kewajipan saudara-saudara sekarang dan di masa akan datang.

''Pada masa dahulu, kita belum merdeka; kalau kita hendak maju, kita mesti bekerja dan berusaha dengan tenaganya sendiri. Tidak ada siapapun yang mahu menolong kerana tidak ada siapa yang boleh menolong. Dengan yang demikian, terpaksalah mereka bekerja lebih kuat, lebih gigih dan lebih tekun.

''Sekarang keadaan telah berubah. Kita sudah merdeka dan berdaulat. Tetapi kita masih berjuang kerana walaupun kita telah merdeka, masalah kita, masalah melenyapkan jurang ekonomi yang membezakan rakyat dalam bandar dengan rakyat luar bandar belum selesai lagi.

''Dengan perubahan ini bererti pula peranan surat khabar harus berubah, harus disesuaikan dengan keadaan. Tetapi satu hakikat tidak berubah, tidak bertukar iaitu hakikat bahawa tiap seorang dari kita mestilah bekerja dengan amanah, dengan tekad yang bulat, dengan semangat yang gigih mahu memajukan diri kita, perusahaan kita dan bangsa dengan perasaan yang tulus ikhlas untuk masyarakat.

''Satu hakikat lain ialah peranan Utusan Melayu masih tetap sebagai lidah umat Melayu tetapi dalam konteks yang baru. Dalam zaman kita sedang membentuk satu bangsa yang bersatu padu, dalam zaman kita sedang meniupkan semangat cintakan sains dan teknologi, dalam zaman kita sedang menggalakkan orang-orang Melayu supaya menukar pandangan hidup mereka yang tradisional kepada pandangan hidup yang sesuai dengan peredaran masa, peranan surat khabar terutama sekali surat khabar seperti Utusan Melayu, amatlah penting sekali.

''Utusan Melayu mestilah ikut mempelopori perjuangan mencapai cita-cita ini, iaitu bersama-sama mendidik dan membentuk jiwa dan pandangan hidup baharu di kalangan masyarakat Melayu khasnya dan masyarakat nasional amnya, bersama-sama ikut berusaha membentuk satu masyarakat baru yang cintakan sains dan teknologi, satu bangsa yang terjalin erat dengan semangat Rukunegara, satu masyarakat yang dinamis dan progresif.

''Ini bererti mereka yang mengendali Utusan Melayu mestilah mengerti dan memahami tugas-tugas dan tanggungjawab-tanggungjawab mereka dalam konteks yang baru ini. Saudara-saudara tidaklah diminta berkorban lebih daripada yang patut. Syarikat ini telah maju dan berkemampuan membayar ganjaran yang sesuai dengan penat lelah dan jerih payah pekerja-pekerjanya. Tetapi apa yang diminta dan diharapkan sangat dari saudara-saudara ialah pengertian dan kesedaran yang penuh terhadap tanggungjawab dan kewajipan saudara-saudara dalam zaman yang kita sedang lalui sekarang dan di masa akan datang.

''Selain dari menambah kecekapan dan ilmu saudara-saudara dalam tiap-tiap bidang kerja dan kewajipan saudara-saudara baik ia pekerja mesin cetak atau pengarang - ialah pengertian dan rasa tanggungjawab yang besar terhadap cita-cita negara sekarang iaitu cita-cita yang termaktub dalam Rukunegara yang terhurai dalam Dasar Ekonomi Baru kerajaan.

Inilah yang patut menjadi pegangan saudara-saudara sekarang, iaitu menjadikan Utusan Melayu dan kumpulan akhbar-akhbar dan penerbitan-penerbitannya pelopor perjuangan mengubah fikiran dan pandangan hidup umat Melayu yang tradisional kepada pandangan hidup yang moden, mempelopori perjuangan menjalin perpaduan dan persatuan antara berbagai-bagai kaum dan golongan dalam masyarakat berdasarkan semangat Rukunegara, mempelopori perjuangan merapatkan jurang yang membezakan taraf hidup antara penduduk-penduduk dalam bandar dengan penduduk-penduduk luar bandar dan menolong membasmikan kemiskinan, kejahilan, penyakit dan penyakit-penyakit masyarakat di kalangan rakyat yang tidak bernasib''.

Kata keramat Razak 26 tahun dahulu masih relevan lagi walaupun dalam konteks baru. Tegas Razak: ''Inilah insurans, inilah benteng, inilah jaminan yang akan kita bangunkan untuk menghadapi challenges atau cabaran-cabaran sekarang dan di masa hadapan. Dalam menghadapi challenges ini, kita memerlukan penggemblengan setiap tenaga - pemimpin politik, kebudayaan, sosial, pakar-pakar ekonomi, buruh dan petani dan tidak kurang pentingnya kaum wartawan dan kaum penulis.

''Wartawan-wartawan termasuklah wartawan Melayu, berada dalam keadaan yang unik kerana mereka ialah golongan yang paling banyak memerlukan dorongan untuk mencapai kemajuan dan mereka boleh mendorong masyarakat untuk bercita-cita tinggi dan menterjemahkan hasrat kita menjadi kenyataan.

Maka wartawan haruslah memegang peranan sebagai pembimbing, sebagai guru, sebagai pendorong golongannya selain menjadi pejuang dan pentafsir zamannya.''

* Datuk Abdullah Ahmad ialah Wakil Khas Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Oleh: DATUK ABDULLAH AHMAD

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0713&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_03.htm#ixzz4K3dQyldr © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan