Isnin, 12 September 2016

Antara kati dan kilo setelah 15 tahun

ARKIB : 13/07/1998
Antara kati dan kilo setelah 15 tahun
ANAK saya yang kedua, lelaki, kini dalam tingkatan 1, bangga memaklumkan bahawa ketinggiannya kini 161 meter. Atau 2 sentimeter sahaja lagi untuk mengalahkan ketinggian saya.

Seperti banyak orang lain yang lahir pada zaman kiraan lama, saya masih membayangkan ketinggian saya dalam bentuk kaki dan inci. Kalau saya ditanya, jawapan yang pasti diberikan ialah tinggi saya 5 kaki 4 inci. Ini bermakna 64 inci. Saya memerlukan masa untuk memikirkan ketinggian saya dalam kiraan metrik - 163 sentimeter seperti yang dicatatkan dalam pasport antarabangsa.

Sampai ke hari ini, walaupun setelah lebih 15 tahun perubahan daripada sistem imperial kepada sistem metrik, banyak rakyat Malaysia masih bergelut untuk membiasakan penggunaannya. Sistem metrik secara rasmi bermula pada 1 Januari 1982. Tetapi persepsi tentang tinggi, luas dan jauh masih banyak menggunakan kiraan lama.

Nampaknya kiraan metrik lebih mudah digunakan untuk timbang menimbang. Mereka tidak ada pilihan sebenarnya sebab semua barang dijual dalam kiraan gram, kilogram dan tan. Maka itu hilanglah cupak, gantang, pikul, koyan, selain tahil dan kati juga auns dan paun.

Apa yang berlaku ialah kilogram dan bukan kati menjadi asas harga bagi orang ramai. Kalau dulu orang membeli sekati ikan, sekarang mereka tidak akan membeli 1.6 kati sebaliknya satu kilogram. Satu gram bersamaan dengan 0.03 auns atau 0.002 paun atau 0.001 kati. Satu kati lebih kurang 600 gram.

Bayangkan perbezaan yang membabitkan kelebihan 0.6 kati atau lebih sedikit setengah kati itu. Kalau ikan kembung harganya RM4 sekati, dengan membeli sekilo kita sebenarnya membeli lebih sedikit satu setengah kati atau RM6. Gula sekilo sekarang harganya RM1.45 (harga yang ditetapkan). Sebelum kiraan metrik, orang ramai sebenarnya mungkin membeli sekati gula (0.6 kilogram atau 600 gram). Dengan harga sekarang, sekati gula tentulah kira-kira 80 sen. Mengapa membeli sekilo kalau sebenarnya apa yang diperlukan hanya sekati?

Ambil sahaja keperluan dapur seisi rumah. Berapa banyakkah purata barang keperluan sebulan bagi keluarga yang relatif kecil? Mungkin 20 kilo beras, 5 kilo gula, 5 kilo tepung? Dalam kiraan lama ia menjadi 32 kati beras, 8 kati gula dan tepung.

Untuk membuat sepasang baju Melayu bagi wanita yang biasa ukuran tubuhnya, empat ela diperlukan. Satu ela bersamaan dengan 0.9 meter. Wanita sekarang akan melupakan kiraan lama lalu membeli empat meter kain atau 4 ela suku mengikut kiraan lama.

Kalau saya ditanyakan berapa jauhkah kampung saya dari bandar Muar, jawapan segera yang saya berikan ialah 18 batu. Satu batu sebenarnya 1.6 kilometer. Jadi 18 batu bersamaan 28.9 kilometer.

Sehingga hari ini, seperti saya, banyak rakyat kita lebih selesa menggunakan kiraan batu dari kilometer untuk mengukur jarak. Memang sebahagian besar kenderaan sudah dimuatkan dengan meter pengukur kelajuan metrik. Walaupun seseorang pemandu memecut 140 kilometer (84 batu sejam) di lebuh raya, dalam fikirannya dia masih membayangkan bahawa jarak yang perlu ditempuhnya ialah 100 batu dan bukan 160 kilometer.

Tanyakanlah sesiapa saja berapa luas tanahnya di kampung. Jawapan segera pastilah lima ekar. Tanyakan kiraan hektar. Dia pasti meraba-raba (sebenarnya 2 hektar). Nampaknya pejabat tanah di seluruh negara masih belum berubah. Tanah pusaka peninggalan ayah di kampung yang luasnya 4 ekar (1.6 hektar) perlu dibayar cukai sebanyak RM8 seekar setahun. Entah bila sistem metrik akan masuk ke pejabat-pejabat tanah dan daerah!

Ingatlah, dalam peribahasa, pantun dan gurindam Melayu, soal kati dan inci nampaknya tidak akan dapat diubah. Untuk mengusik orang yang sedang bermasam muka, kita kata kalau sekati (0.6 kilogram) tak manis, dua kati (1.2 kilogram) mungkin manis. Peribahasa lain ialah kalau dah secupak (0.9 kilogram) takkan jadi segantang (3.6 kilogram).

Lihat peribahasa ini: ''Kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam usah diduga.'' Bayangkan kalau kita harus mengubahnya menjadi ''kalau kail panjang 15 sentimeter...''.

Oleh: JOHAN JAAFFAR

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0713&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_05.htm#ixzz4K3e8MoiM © Utusan Melayu (M) Bhd

1 ulasan: