ARKIB : 13/07/1998
Alex Yoong duduki tempat ke-6
JAGUH lumba kereta Formula 3
negara, Alexander Yoong memandu tenang untuk melintasi garisan penamat di
tempat keenam dalam perlumbaan sukar pusingan ke-10 British Grand Prix di Litar
Silverstone, Britain, kelmarin.
Di hadapan 80,000 penonton,
Alex mempamerkan pemanduan terbaik untuk membuktikan pemain Asia Tenggara mampu
melangkah ke Formula 1 apabila dia tidak membuat kesilapan dalam perlumbaan 12
pusingan itu untuk menduduki tempat kelima daripada di tempat ke-11 pada petak
permulaan.
Pada awal perlumbaan, hujan
turun dan beberapa pelumba di depan terkeluar kerana terbabas dan berlanggar.
Antara mangsa insiden akibat
jalan licin itu ialah pendahulu kejohanan, Enrique Benoldi dan Luciano Burti
(kedua-duanya dari Brazil).
Alex bersaing hebat dengan
pemandu Brazil, Mario Haberfeld, yang menduduki tempat kedua dalam kejohanan,
hampir di sepanjang perlumbaan dan akhirnya tewas kepada Haberfeld untuk
pemandu itu merebut tempat kelima beberapa saat sahaja di depan Alex.
Pusingan ke-10 ini dimenangi
oleh pemandu Britain, Darren Manning dan rakan sepasukan Alex, Warren Hughes,
kedua dan Ricardo Mauricio ketiga.
Pengurus Alex, John Thornburn
berkata: ''Alex menarik perhatian ramai pengurus pasukan hari ini berbanding
sembilan pusingan sebelum ini. Sekurang-kurangnya dua pengurus pasukan Formula
3000 memberitahu saya mereka berminat terhadap Alex pada tahun depan. Alex
melebihi jangkaan saya pada perlumbaan ini.''
Alex berkata, berlumba dalam
hujan memang sukar dan ia adalah yang paling sukar baginya dalam tempoh tiga
tahun penyertaan di Eropah.
''Tetapi saya gembira dengan
persembahan saya. Ia satu peningkatan dalam karier saya,'' katanya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0713&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4K3eq3sIH
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan