Isnin, 12 September 2016

Perancis juara penuh dramatik


 

ARKIB : 14/07/1998
Perancis juara penuh dramatik
KAMI JUARA... Ketua pasukan Perancis, Didier Deschamps bersama Laurent Blanc menjulang Piala Dunia sambil dirai rakan-rakan sepasukan selepas Perancis menewaskan Brazil 3-0 pada perlawanan akhir di Stade de France, Paris, semalam. - Gambar Reuters.

PARIS - Tuan rumah Perancis muncul juara Piala Dunia buat pertama kali dalam sejarah selepas menewaskan juara empat kali, Brazil 3-0 pada perlawanan akhir penuh dramatik yang turut menyaksikan pesta besar-besaran, kelmarin.

Kekalahan terburuk Brazil sepanjang kejohanan bermula dengan kecederaan misteri yang melanda Ronaldo dan dua jaringan menerusi tandukan cantik pemain tengah tuan rumah, Zinedine Zidane pada separuh masa pertama.

Perancis menguasai sepenuhnya perlawanan sehingga pemain pertahanan, Marcel Desailly dibuang padang pada minit ke-68 kerana dilayangkan kad kuning kedua.

Aksi 20 minit akhir penuh ketegangan buat 80,000 penonton di Stade de France dan berjuta-juta penyokong tuan rumah bersiap sedia meraikan kejayaan itu.

Beberapa saat sebelum tamat perlawanan, Perancis mendapat gol ketiga menerusi pemain tengahnya, Emmanuel Petit yang memberikan persembahan terbaiknya dan seterusnya mencetuskan sambutan sebesar-besaran di jalan-jalanraya Perancis.

Perancis merupakan negara tuan rumah pertama memenangi Piala Dunia selepas Argentina pada 1978 dan muncul negara ketujuh menjadi juara dalam 16 perlawanan akhir untuk tempoh 68 tahun.

Mereka turut menjadi satu-satunya pasukan yang mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang kejohanan kali ini, serta mengekalkan prestasi dengan corak bertahan terhebat.

Jurulatih Perancis, Aime Jacquet menyifatkannya sebagai ''impian menakjubkan''. Zidane pula berkata: ''Tiada apa yang lebih baik dan kami adalah juara dunia.''

Perancis melepaskan beberapa peluang keemasan _ mereka sekurang-kurangnya mampu mengatasi lawan dengan tiga gol tanpa balas pada separuh masa pertama kerana jarang diberikan tentangan sengit oleh kesebelasan Brazil yang gagal membuktikan kehebatan sepertimana pada pusingan awal.

Ronaldo menjadi punca utama pasukan itu agak tempang kerana pemain berusia 21 tahun itu mengalami sakit perut yang menyebabkan dia kerap melepaskan kesempatan terbaik ketika beraksi.

Senarai pemain yang dikeluarkan sebelum perlawanan bermula tidak tercatat namanya dan agak mengejutkan kira-kira 1.7 bilion penonton televisyen seluruh dunia dan senarai baru kemudiannya dikeluarkan dengan menyertakan namanya.

Ronaldo mendapat peluang terbaik untuk menjaringkan gol pada babak kedua, namun percubaannya dipatahkan oleh penjaga gol, Fabien Barthez ketika kebanyakan rakan sepasukannya sekadar menjadi penyokong.

Tendangan pemain gantian, Denilson pada minit-minit terakhir terkena palang gol, tetapi serangan Brazil yang disifatkan senjata paling bahaya pada Piala Dunia nyata tumpul.

''Sepanjang separuh masa pertama kami telah melakukan apa yang terdaya. Kami menumpukan di bahagian serangan tetapi nyata tak menjadi,'' kata jurulatih Brazil, Mario Zagallo.

Perlawanan ini menjadi milik perancang utama, Zidane yang belum pernah menjaringkan gol sepanjang kejohanan dengan melepaskan geram seolah-olah baru lepas daripada dirantai pada minit ke-27.

Ketika itu Perancis tampak masih berdepan masalah melakukan aksi penyudah, dan dia mendapat ruang terbaik apabila menyambung bola sepakan sudut Petit, sebelum melonjak tinggi menyaingi Leonardo dan seterusnya menanduk masuk bola menewaskan Taffarel.

Ia adalah gol pertama Perancis yang dijaringkan oleh pemain di barisan serangan sejak pusingan pertama, kerana kebanyakan gol lain dihasilkan oleh pemain pertahanan.

Zidane menjaringkan gol kedua juga hasil sepakan sudut pada masa pertama dengan menanduk masuk bola hantaran Youri Djorkaeff.

Dia yang agak pendiam itu menjadi pemain pertama menyumbat dua gol pada perlawanan akhir sejak pemain Argentina, Mario Kempes melakukannya pada 1978.

Zidane merebut peluang itu selepas Perancis gagal untuk membuat dua aksi penyudah yang boleh menghasilkan dua gol lagi pada masa pertama.

Salah satu daripadanya ketika Christian Karembeu membuat hantaran kepada Petit dalam kotak penalti pada minit ke-42, tetapi berjaya ditampan oleh Junior Baiano dan bola tersasar jauh.

Harapan Perancis untuk mencipta kejayaan ketika itu terjejas sedikit apabila Desailly yang menjadi kunci utama barisan pertahanan yang menggantikan Laurent Blanc, dibuang padang pada minit ke-68 kerana melakukan kekasaran ke atas Cafu.

Dia menjadi pemain ketiga yang dibuang padang pada perlawanan akhir tetapi kali ini tidak timbul kontroversi sepertimana yang berlaku ke atas Blanc, gandingan mantap Desailly yang membawa pasukan itu sehingga sejauh ini.

Kekecewaan Brazil jelas tergambar sebelum Desailly dikeluarkan, dengan Edmundo menjerit dan memarahi rakan sepasukannya di bahagian serangan.

Perancis melepaskan satu lagi peluang menghasilkan gol apabaila Christopher Dugarry gagal membuat aksi penyudah sembilan minit sebelum tamat permainan. Dia yang berjaya melepasi perangkap ofsaid hanya berdepan penjaga gol, tetapi rembatannya jauh tersasar.

Petit akhirnya menambahkan lagi resipi kemenangan dengan berlari pantas dan merembat bola dari jarak 18 meter hasil hantaran pemain gantian, Patrick Viera.

''Perancis bermain dengan cemerlang,'' kata Zagallo, dengan ringan dan mudah. - Reuters.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0714&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_02.htm#ixzz4K3falBpP © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan