Isnin, 12 September 2016

Watson padam rekod lama

ARKIB : 14/07/1998
Watson padam rekod lama
REKOD BARU... Watson Nyambek (245) melintas garisan penamat untuk mencipta rekod baru kebangsaan acara 100 meter lelaki dengan 10.30 saat manakala pelari Pahang, R. Ghaneswaran (166), Azmi Ibrahim (165) dan L. Paneerselvam dari ATM (104) masing-masing di tempat kedua, kelima dan kelapan pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam. - Gambar ASWAD YAHYA.

RENTAK jaguh pecut negara, Watson Nyambek terus cemerlang apabila memadamkan rekod kebangsaan acara 100 meter lelaki selepas mencatat 10.30 saat pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

Pelari yang digelar The Flying Dayak itu memadamkan rekod lama 10.31 saat miliknya yang baru berusia empat bulan yang dicipta di Terbuka Pahang, Mac lalu.

Kejayaan pelari berumur 22 tahun dari Sarawak itu memperbaharui rekod kebangsaan acara itu adalah kali kedua dalam tempoh setahun ini.

''Saya amat gembira dengan catatan ini walaupun sasaran saya ialah mencatat di bawah 10.3s.

''Kejayaan ini akan menguatkan azam saya untuk melakukan yang lebih baik pada Sukan Komanwel nanti dengan ATF (Kejohanan Trek dan Padang Asia) bulan ini sebagai medan terakhir menguji kemampuan saya,'' katanya selepas perlumbaan itu.

Catatan Watson itu sekali gus memadamkan rekod kejohanan juga miliknya iaitu 10.38s yang dilakukan pada Terbuka Pulau Pinang pada 1995.

Dalam perlumbaan semalam, Watson, yang sebelum ini mencatat 10.35s pada separuh akhir, melintasi garisan penamat kira-kira lima meter di depan pemenang tempat kedua, R. Ghaneswaran dari Pahang yang mencatat 10.55s manakala tempat ketiga Hamberi Mahat yang mewakili Selangor dengan catatan 10.58s.

Seorang lagi jaguh pecut negara, Azmi Ibrahim yang baru kembali memanaskan trek selepas digantung dua tahun, jelas belum mendapat rentak terbaiknya apabila sekadar di tempat kelima dengan catatan 10.64s di belakang pelari Singapura, Hamkah Mohd. Afik yang mencatat 10.59s.

Sementara itu, G. Shanti tidak mempunyai sebarang masalah untuk merebut pingat emas acara 100 meter wanita tetapi catatan yang dilakukannya kali ini gagal mengatasi rekod kebangsaan mahupun rekod kejohanan.

Shanti yang mewakili Selangor mencatat 11.70s berbanding rekod kebangsaan yang juga miliknya 11.5s dan rekod kejohanan yang dipegang pelari Thailand, Ratjai Sripet dengan 11.60s di Kuala Lumpur pada 1989.

Dalam acara lain sebelum itu, perejam lembing negara Mohd. Yazid Imran gagal memecah sebarang rekod apabila hanya mampu merejam sejauh 70.14 meter tetapi cukup baginya meraih pingat emas. Pemenang perak, G. Kabol Ponsianus dari Indonesia hanya mencatat 64.82 meter manakala peserta Thailand, Boonjansri Thirdsak merangkul gangsa dengan rejaman 64.03m.

Wong Tee Kui pula jelas gagal menyaingi kehebatan atlet Australia, Stuart Rendell apabila sekadar meraih perak acara baling tukul besi dengan balingan 53.19m. Rendell lebih bertenaga dengan balingan 72.21m sekali gus memecahkan rekod kejohanan milik atlet Jepun, Wataru Erahara (65.28m) pada Terbuka Pahang, tahun lalu. Chow Kong How dari Pahang meraih gangsa.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0714&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4K3tHGU2N © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan