Isnin, 12 September 2016

SELAYANG PANDANG

ARKIB : 28/06/1998
MAKAN BOLA, MIMPI BOLA
PIALA Dunia di Perancis sebenarnya semakin menarik. Di negara ini, kecuali beberapa hari sewaktu Perhimpunan Agung UMNO yang baru lalu, pesta bola menjadi bahan perbincangan di mana-mana sahaja.

Bola bulat. Sebab itulah Norway mengalahkan Brazil 2-1. Oh ya, Maghribi boleh mengalahkan Scotland 3-0 tetapi terkeluar dari pusingan kedua. Dan lebih dramatik lagi apabila Iran dapat membelasah Amerika Syarikat 2-1. Mana tahu Iran mungkin boleh menumbangkan Jerman?

Siapa kata yang paling banyak menjaringkan gol boleh masuk ke pusingan kedua? Lihat sahaja Sepanyol. Ia menjaringkan paling banyak gol setakat ini bila memalukan Bulgaria 6-1. Tapi Sepanyol terkeluar.

Tiada siapa yang boleh menduga siapa yang akan menjadi juara setakat ini. Jalannya masih jauh dan berliku. Setakat ini juga belum ada bintang yang benar-benar terserlah. Itulah bola sepak. Saspens dan dramanya disimpan untuk penghujung pesta.

TUN DAIM KEMBALI

SEBENARNYA Tun Daim Zainuddin tidak pergi ke mana. Sekalipun beliau bukan lagi Menteri Kewangan tetapi beliau masih memainkan peranan sebagai Penasihat Ekonomi kerajaan dan dalam parti, sebagai Bendahari. Apabila ekonomi Malaysia menghadapi masalah, beliau dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

Maka itu perihal Daim dibawa masuk semula ke dalam kabinet sebenarnya tidaklah memeranjatkan sangat. Tetapi seperti biasa, di luar sana pelantikan Daim tidak akan diterima begitu sahaja. Kalau tidak ada angin, masakan pokok bergoyang, kata banyak orang.

Maka itu teori konspirasi bertebaran - dari usaha Perdana Menteri menunjukkan siapa sebenarnya berkuasa, tindakan terancang untuk meminggirkan Timbalannya Datuk Seri Anwar Ibrahim, hinggalah apa yang ditafsir sebagai fall-out dari Perhimpunan Agung yang baru lalu. Semua pihak mempunyai andaian tersendiri - siap dengan hujah dan dalil. Seperti biasa setiap gerak dan tindakan dibaca dengan teliti - dan berita pelantikan Daim ialah cerita paling juicy setelah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia bertemu buku dengan ruasnya dalam perhimpunan baru lalu.

Sekali lagi, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad akan dihujani dengan pertanyaan. Dan seperti yang diduga jawapan beliau tidak akan memuaskan hati semua orang. Banyak pecacai politik dan penganalisis tidak bertauliah di luar sana mahu Dr. Mahathir memberi jawapan yang mereka mahukan - yakni pelantikan Daim ada kena-mengena dengan gawat politik yang kononnya mengocak UMNO masa kini.

Supaya berlaku adil pada Daim, menjadi anggota jemaah menteri bukanlah sesuatu yang sangat diidamkannya. Beliau sebenarnya jauh lebih selesa di luar. Bagi orang yang mengenalnya, Daim tidak punya cita-cita politik yang tinggi malah sebenarnya lebih gembira berada di luar suluhan lampu politik yang menyakitkan mata itu.

Tetapi negara berdepan dengan krisis yang serius dan krisis itu perlu ditangani. Pedulilah isu peribadi. Ia tidak harus dilihat secara nakal sebagai usaha untuk mewujudkan dua kementerian yang fungsinya lebih kurang sama. Atau langkah Dr. Mahathir memberi ingatan halus pada Timbalannya. Anwar sendiri tentu mengakui bahawa tidak ada satu jalan mencari penyelesaian. Dan Anwar harus bersedia menerima hakikat bahawa secara berpasukan - dengan pasukan yang lebih kuat - akan lebih mudah melihat cahaya di hujung terowong.

Pada masa ini tidak ada satu cara mudah, teori mudah, andaian mudah atau formula mudah bagi menyelesaikan masalah yang kita hadapi. Apa yang berlaku beberapa waktu kebelakangan ini bukan sahaja memerlukan kita menangani tiang gol yang sering bertukar tetapi hukum-hakam permainan yang sentiasa berubah.

Tidak ada pakar dan tidak ada bijak pandai dalam dunia yang sebenarnya memahami "kuasa pasaran'' hari ini. Pakar ekonomi paling baik sekalipun akan mendapati bahawa teks dan teori mereka obselete dengan pantas bila berdepan dengan kenyataan "di luar sana.''

Malaysia telah cuba menyesuaikan formula atau pakej yang dicadangkan oleh Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dengan kaedah sendiri. Jangan sampai kita menyerah diri secara mutlak kepada IMF, Malaysia telah melaksanakan pelbagai dasar yang dirasakannya perlu dan wajar.

Ternyata beberapa cadangan IMF sendiri tidak sesuai untuk kita. Malah menurut Dr. Mahathir, mengambil kadar faedah sebagai contoh, strategi IMF ternyata gagal untuk menggerakkan ekonomi negara malah lebih memburukkan keadaan.

Jalan ke arah pemulihan memang sukar dan menyakitkan. Maka itu siapa sahaja - asal dapat memperkuat harus diterima ke dalam pasukan. Lebih-lebih lagi Daim yang telah teruji menangani krisis sebelum ini tentulah akan membawakan nafas baru untuk memperkuatkan pasukan.

Lagipun Daim bukan orang lain dalam pasukan.

IKLAN SEBAGAI SENJATA

SYARIKAT-SYARIKAT besar mempunyai senjata baru untuk "mengajar'' media - mereka menggunakan iklan. Ia menjadi senjata berkesan untuk melunakkan media yang selalunya kritikal terhadap mereka.

Kita tahu bahawa iklan untuk media cetak sahaja melampaui RM1.58 bilion untuk tahun 1997. Ia merupakan 60.7 peratus dari keseluruhan industri periklanan negara ini yang berjumlah RM2.6 bilion.

Apa yang tidak banyak diketahui orang ialah iklan untuk media cetak berbahasa Melayu hanya mewakili 15.8 peratus daripada keseluruhan. Ini bererti untuk Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia dan Berita Harian/Berita Minggu, pendapatan keseluruhan untuk tahun 1997 hanyalah RM249.9 juta.

Di negara yang bahasa rasminya ialah Bahasa Melayu, iklan untuk akhbar berbahasa Melayu sebenarnya jatuh nombor tiga di bawah akhbar berbahasa Inggeris dan Cina. Untuk tahun 1997, pendapatan iklan untuk akhbar berbahasa Inggeris melebihi RM732.7 juta atau 46.2 peratus sementara akhbar berbahasa Cina, RM346.2 juta atau 21.8 peratus.

Jangan hujahkan daripada segi edaran kerana akhbar berbahasa Melayu jauh mengatasi akhbar berbahasa Inggeris dan Cina. Lagi pula alasan bahawa pembaca akhbar berbahasa Melayu tidak ada daya beli, kebanyakan mereka orang kampung dan berpendapatan rendah sama sekali tidak boleh diterima lagi.

Jawapan paling jelas mengapa diskriminasi ini berterusan ialah prasangka terhadap bahasa Melayu itu sendiri. Kita harus juga menerima hakikat bahawa tahun 1998 ialah tahun sukar untuk iklan. Pendapatan iklan menurun sehingga 60 peratus pada satu ketika penghujung tahun lalu. Malah secara purata akhbar mengalami penurunan pendapatan iklan di antara 30 hingga 50 peratus masa kini.

Dalam keadaan gawat, cara bekerja juga menjadi gawat. Perang harga berleluasa di antara syarikat akhbar. Harga potong leher menguntungkan pemain besar dan membunuh pemain kecil.

Dan untuk menambah buruk keadaan, banyak syarikat menggunakan iklan sebagai senjata. Mereka menjadikan iklan sebagai umpan untuk memastikan liputan yang baik sahaja untuk mereka. Maka itu sebarang publisiti yang ditafsir buruk akan berkesudahan dengan iklan produk atau perkhidmatan mereka ditawarkan kepada orang lain.

Sebahagian syarikat-syarikat ini jelas tidak cukup bertanggungjawab untuk memastikan produk dan perkhidmatan mereka menguntungkan pengguna. Media yang selalunya menyebelahi pengguna akan menjadi sasaran. Dan dianggap musuh. - Johan Jaaffar E-mail: johan@utusan.com.my

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0628&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_03.htm#ixzz4K1g3KdwE © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan