Isnin, 12 September 2016

Romania kekal rekod tanpa kalah -- Bertemu Croatia pada pusingan kedua Selasa ini

ARKIB : 28/06/1998
PARIS - Romania mengekalkan rekod tanpa kalah apabila mengikat Tunisia 1-1 pada perlawanan terakhir kumpulan G, semalam untuk muncul juara kumpulan dan sekali gus bertemu Croatia pada pusingan kedua bola sepak Piala Dunia.

Penyerang Viorel Moldovan, menyamakan kedudukan pada minit ke-72, hanya lima minit selepas dimasukkan dari bangku simpanan.

Tunisia, yang sudah pun tersingkir lebih awal dari pusingan kedua mendahului seawal minit ke-10 menerusi Skander Souayah, yang menyempurnakan penalti.

Croatia, muncul naib juara kumpulan H selepas kecundang 1-0 kepada Argentina pada perlawanan terdahulu, kelmarin.

Romania nyata tidak begitu menunjukkan kesungguhan kerana sudah terlebih dahulu layak ke pusingan kedua hasil kemenangan 1-0 ke atas Colombia dan 2-1 menumpaskan England.

Jurulatih mereka, Anghel Iordanescu melakukan lima pertukaran, termasuk kehilangan pertahanan Iulian Filipescu, yang digantung perlawanan.

Dua tonggak utama Romania, Andrian Ilie dan Moldova direhatkan, dan hanya turun pada separuh masa permainan.

''Kami beraksi buruk pada babak pertama dan tidak langsung mempamer aksi sebenar. Bagaimanapun, persembahan kami kembali ke asalnya di separuh masa kedua,'' kata Iordanescu.

''Jelas sekali kesilapan ini berlaku berikutan lima pertukaran yang saya lakukan,'' katanya lagi.

Iordanescu berkata, dia mahu merehatkan pemain-pemain penting yang sudah menerima kad kuning pada perlawanan terdahulu bagi mengelak sebarang kemungkinan.

''Menentang Croatia adalah lebih baik, kerana corak permainan mereka tidak banyak berbeza dengan kami,'' katanya tentang perlawanan pusingan kedua.

Mendapat sokongan penonton di Stade de France, Tunisia bermula garang dan mendahului lawan hanya 10 minit perlawanan dimulakan.

Pertahanan Romania, Christian Dulca menjatuhkan penyerang Adel Sellimi dalam kotak penalti, dan Souayah mudah menyempurnakan penalti.

''Pada babak pertama kami bermain dengan baik. Tetapi Romania lebih mantap selepas separuh masa kedua dimulakan, dan mereka memang layak seri,'' kata Sellimi.

Maldovan, yang menggantikan Ilie Dumitrescu pada minit ke-67, memastikan Romania mengakhiri kempen kumpulan G sebagai juara apabila menumpaskan penjaga gol Tunisia, Chokri El-Ouaer pada minit ke-72, untuk gol penyamaan. - Reuters.



Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0628&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4K1gv4B6k © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan