Isnin, 12 September 2016

England bertemu Argentina

ARKIB : 28/06/1998
LENS, Perancis - England menempah pertemuan dengan pasukan pilihan, Argentina pada pusingan kedua bola sepak Piala Dunia apabila jaringan Darren Anderton dan David Beckham membantu pasukan itu menumpaskan Colombia 2-0, semalam.

Kemenangan itu meletakkan England muncul naib juara kumpulan G di belakang Romania, yang seri 1-1 dengan Tunisia pada perlawanan terakhir pusingan pertama.

England, yang hanya perlu seri untuk melangkah ke pusingan seterusnya, mendahului pada minit ke-20 hasil rembatan Anderton, selepas pertahanan lawan, Jorge Bermudez gagal mengeluarkan bola dari kawasan Colombia.

Bintang Manchaster United, Beckham hanya memerlukan 10 minit untuk menjadikan kedudukan 2-0 apabila menyempurnakan tendangan percuma dari jarak 25 meter.

Sepakan itu diberikan oleh pengadil dari Mexico, Arturo Brizio Carter selepas pemain tengah England, Paul Ince dijatuhkan oleh Leider Preciado di luar kotak penalti.

''Saya tidak menjangkakan sebarang keputusan lain selepas melihat tumpuan yang ditunjuk pemain sebelum perlawanan,'' kata jurulatih England, Glenn Hoddle.

''Meskipun mempunyai sedikit masalah, tetapi kami mengetepikannya,'' katanya lagi.

''Bagaimanapun, saya tidak mahu bercakap tentang apa yang akan berlaku,'' katanya ketika diminta mengulas tentang peluang England pada pusingan kedua.

Seperti dijangkakan England, yang tewas 2-1 kepada Romania, minggu lalu membuat dua pertukaran dalam kesebelasan pertamanya.

Beckham, yang hanya turun sebagai pemain gantian pada perlawanan kedua, turun dalam 90 minit perlawanan menggantikan David Batty, manakala penyerang muda Liverpool, Michael Owen, penjaring gol tunggal menentang Romania, turun menggantikan Teddy Sheringham.

Colombia turut membuat dua pertukaran selepas kemenangan 1-0 ke atas Tunisia. Antonio Moreno menggantikan Santa Jose, yang digantung perlawanan di benteng pertahanan.

Leider Preciado, yang masuk sebagai pemain gantian dan penjaring gol kemenangan pada perlawanan menentang Tunisia, turun sebagai penyerang utama menggantikan Adolfo Valencia.

''England nyata pasukan yang lebih baik, terutamanya di jentera serangan,'' kata jurulatih Colombia, Hernan Dario Gomez selepas perlawanan.

Katanya: ''Saya sudah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai jurulatih. Pasukan ini memerlukan seorang jurulatih baru, yang lebih berpengalaman.''

Sementara itu, kemenangan 2-0 ke atas Colombia semalam, memberi kesempatan kepada England untuk menebus dendam di atas kekalahan gol ''Tangan Tuhan'' kepada Argentina pada Piala Dunia 1986, apabila kedua-dua pasukan bertemu di pusingan kedua Selasa ini.

Pada perlawanan 12 tahun lalu itu, Argentina memberi kekalahan paling memedihkan buat England, dalam sejarah bola sepak mereka.

Dalam insiden yang diibaratkan kekalahan ''Tangan Tuhan'' itu, Maradona menumbuk bola menjangkaui kepala penjaga gol England, Peter Shilton.

Sementara gol kedua, yang dianggap antara terbaik dalam sejarah Piala Dunia bermula dari gerakan Maradona menggelecek Glenn Hoddle di bulatan tengah padang dan menyempurnakannya selepas mengelirukan Shilton dan pertahanan England.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0628&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4K1hjRQ9k © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan