Isnin, 12 September 2016

Dr. Mahathir tinjau projek Muzium Kesenian Islam

ARKIB : 29/06/1998
 
DR. MAHATHIR Mohamad mengambil kesempatan cuti hujung minggu melawat Taman Rakyat di KLCC bersama anggota keluarganya. Kelihatan Perdana Menteri meninjau persekitaran surau KLCC, semalam.

KUALA LUMPUR 28 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad hari ini melapangkan masa meninjau projek Muzium Kesenian Islam yang sedang dalam pembinaan di sebuah tapak dekat Masjid Negara di sini.

Beliau, yang tiba dengan memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda, diberikan penerangan oleh Pengarah Amtek Holdings Bhd., yang membina bangunan itu, Syed Azmin Syed Nor, mengenai kemajuan pembinaan muzium itu yang kini 70 peratus siap.

Muzium itu, yang berharga RM70 juta dibiayai oleh Yayasan Albukhary, akan menempatkan pelbagai artifak dan barangan kesenian Islam dari serata dunia yang akan menjadikannya satu daripada pusat pendidikan, penyelidikan dan pembangunan kesenian dan sains Islam.

Bangunan empat tingkat itu yang juga terletak bersebelahan dengan Pusat Islam, mempunyai keluasan lebih 22,000 meter persegi dan dijangka siap Disember ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdul Hamid Othman dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin dan seorang daripada pengasas Yayasan Albukhary Syed Mohammad Syed Nor turut mengiringi Dr. Mahathir.

Selepas itu Dr. Mahathir, yang kemudiannya disertai Datin Seri Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan dua orang anak mereka melawat Taman Rakyat di KLCC yang menjadi tumpuan ribuan pengunjung di hujung minggu.

Beliau dan Dr. Siti Hasmah turut menjadi tumpuan orang ramai untuk bergambar bersama sebagai kenang-kenangan dan bersalam-salaman dengan orang ramai yang membawa keluarga bersiar-siar di kawasan taman riadah itu yang menyediakan pelbagai jenis permainan untuk kanak-kanak dan juga kolam cetek.

Dr. Mahathir dan keluarga kemudiannya menaiki kereta antik dan kereta berkuasa elektrik Eleksuria ke kompleks membeli-belah Suria. - Bernama.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0629&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_01.htm#ixzz4K1j5J03B © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan