Isnin, 12 September 2016

Orang terkaya di dunia

ARKIB : 29/06/1998
TOPIK bicara yang paling popular di kampung sekarang saya kira ialah bola sepak Piala Dunia di Perancis, kesaktian pil Viagra, Tun Daim kembali jadi menteri, kegawatan ekonomi dan nilai ringgit yang rendah.

Di New York dan Amerika pula lawatan Presiden Clinton ke negara China, Monica Lewinsky, Ken Starr, Microsoft menang bicara lawan peguam negara dalam kes kononnya Microsoft secara tidak adil menggunakan monopolinya dalam operasi sistem perisian (software) dan pengambilan (acquisition) syarikat kecil oleh syarikat besar dan percantuman antara gedung dan perusahaan gergasi seperti AT&T (syarikat telefon) dengan Tele-Communications Inc. (TCI) yang berharga AS$31.8 bilion.

Percantuman AT&T dan TCI akan menyusun semula landskap telekomunikasi Amerika dan menjadikan gabungan ini benar-benar syarikat gergasi telefon, kabel TV dan Internet yang akan mempercepatkan hooking up the nation - menghubungi seluruh negara dan setiap rumah dengan multimedia.

Kalau filem Titanic adalah filem paling laris tahun lepas, Universiti Harvard terus terkemuka di Amerika Syarikat (wang wakafnya sahaja jumlah terakhir AS$13 bilion), Cambridge Universiti termasyhur di Britain, Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Kolej Tunku Khursiah dan Maktab Tentera Diraja (RMC) bukan sahaja terkenal tetapi elita di tanah air maka siapakah insan yang terkaya dan termewah dalam alam sekarang? Inilah tajuk perbualan yang digemari oleh orang yang tidak tebal kantung seperti penulis dan mereka yang bukan ghani.

Mengikut senarai majalah Forbes terkini (majalah kewangan yang terkemuka dan berpengaruh di Amerika Syarikat) orang yang paling terkaya dan nombor wahid ialah Bill Gates, bakat semula jadi (genius) komputer dan perisian (software). Hartanya ditaksirkan sebanyak AS$50 bilion. Sungguhpun syarikatnya, Microsoft, disiasat dan didakwa oleh Jabatan Kehakiman Negara Amerika Syarikat, saham Microsoft terus meningkat dan diperkatakan minggu lepas (22 Jun) jumlah harta bersihnya kini adalah AS$51 bilion - tiga bilion lebih dari jumlah yang dikehendaki (AS$48 bilion) pada taksiran Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk memulihkan semula ekonomi Indonesia yang porak peranda akibat kegawatan nilai wang rupiah dan kegawatan iktisad yang dicetuskan pada dasarnya oleh spekulator-spekulator mata wang (currency) yang kita juga jadi mangsa mereka.

Nombor dua ialah keluarga Walton, seperti Bill Gates juga rakyat Amerika, mempunyai sebanyak AS$48 bilion. Keluarga Walton adalah tuan punya Wal-Mart Discount Chain.

Orang yang ketiga terkaya lagi termewah ialah Seri Paduka Duli Yang Maha Mulia Sultan Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah: AS$36 bilion.

Raja pemerintah negara yang terkecil di Borneo dan antara yang teremeh dalam dunia dan tuan punya hotel mewah Dorchester di Park Lane, London, Hotel Beverly Hills di Hollywood dan New York Palace di New York.

Penduduk Brunei berjumlah hanya 292,266 orang dan pendapatan per kapitanya ialah AS$20,400.00, dana rizab (tidak termasuk emas) berjumlah AS$30 bilion, literasi rakyatnya 89.2 peratus dan jangkaan usia hidup pukul rata hingga 75 tahun berbanding dengan kita 72 tahun. Sultan Brunei mendapat publisiti besar-besaran tahun 1986 (dan baru-baru ini negaranya dan keluarga diraja tentang beberapa cerita aneh) di Amerika Syarikat apabila baginda menderma sebanyak AS$10 juta kepada pemberontakan Kontras Nicaragua yang disokong oleh Amerika Syarikat (dan CIA) dan setelah diketahui derma itu telah disalahgunakan.

Nombor lima, sembilan dan sepuluh terdiri dari tiga amir Arab didahului oleh Raja Fahd (Harimau) Arab Saudi berjumlah AS$25 bilion manakala Sheikh Zayed bin Sultan Al-Nahyan (Emirates Arab Bersatu) dan Sheikh Jaber Al-Ahmed Al-Jaber Al-Sabah masing-masing mempunyai AS$15 bilion. Emirates Arab Bersatu beribu kotakan Dubai. Kalau anda terbang langsung dari KL ke New York atau sebaliknya melalui pesawat Penerbangan Malaysia (memakan masa 21 jam) anda sama ada turun atau terus tinggal di atas kapal terbang di Lapangan Terbang Dubai sambil menanti pertukaran krew yang baru, bubuh minyak dan menerima bekalan dan sajian yang baru.

Penduduknya yang seramai 2.9 juta itu terdiri dari 96 peratus Islam dan bakinya Kristian dan Hindu. Dubai adalah sebuah bandar Arab yang moden dan agak bebas jika dibandingkan dengan kota-kota Arab lain selain dari bandar-bandar di Mesir, Lebanon, Jordan dan Maghribi.

Raja Fahd berumur 76 tahun telah naik takhta 13 Jun 1982 dan baginda juga adalah Perdana Menteri semenjak itu. Penduduk Arab Saudi berjumlah seramai 18.7 juta orang, ibu kotanya Riyadh (1.3 juta orang) manakala Jeddah (1.2 juta) dan kota suci Makkah Baitul-Haram didiami oleh 463,000 warga dan orang asing kecuali musim haji di mana penduduknya melebihi dua juta. Dana reserve Arab Saudi tidak termasuk emas hanya AS$8.1 bilion sahaja; literasi 64.1 peratus dan pendapatan per kapita AS$6,760.00 dua kali tinggi dari Rusia dan satu perlima dibandingkan dengan pendapatan per kapita Jepun.

Kuwait hanya ada 1.8 juta penduduk telah diperintah oleh dinasti keluarga Al-Sabah bermula 1759. Merdeka dari British tahun 1961. Saddam Hussein, Presiden Iraq, telah menakluk Kuwait 2 Ogos 1990 dan keluarga Al-Sabah lari tergesa-gesa ke Arab Saudi.

Dengan pertolongan Amerika Syarikat dan sekutunya di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Kuwait telah dikembalikan kepada keluarga Al-Sabah pada 27 Februari 1991.

Nombor empat manusia terkaya ialah Warren Buffett dari Syarikat Bekshire Hathaway AS$33 bilion; nombor enam Paul Allen (sekutu Bill Gates yang menubuhkan Microsoft), tujuh keluarga Hoffman Oeri dan Sacher dari syarikat Roche (ubat dan pil) AS$17.8 bilion dan kedelapan keluarga Quandt dari syarikat kereta mewah BMW - AS$15.3 bilion.

''Apabila senarai orang-orang terkaya diterbitkan hujung minggu lepas ramai orang termasuk penulis hanya dapat berkata ''oohs'' dan ''ahhs'' dan reaksi dari 10 insan itu dikatakan hanya menguap (kuap) kerana mereka terlalu sibuk menggunungkan lagi harta untuk membaca majalah Forbes.''

Bill Gates telah berjaya mendapat dua ''Medal Mas'' kerana selain dari terkaya Gates juga telah dianggapkan antara 10 manusia yang terbijak dalam dunia.

Mengekori Gates sebagai manusia ''genius dan smartest (bijak) intan terpilih ialah seorang keluarga di raja Arab Saudi, Putera Al-Waheed bin Talal (hartanya AS$13.3 bilion), Philip Anschutz, saudagar minyak (oilman) dari negeri Kansas, Amerika Syarikat yang ditaksirkan berharta sejumlah AS$8.8 bilion. Tiada ''orang terkaya'' di New York termasuk dalam senarai Forbes kerana rata-rata New Yorkers termewah mempunyai harta hanya antara AS$6 dan AS$9 bilion sahaja langsung tidak termasuk dalam daftar.

Minggu depan (4 Julai) saya genap berumur 61 tahun dan dalam usia yang bukan lama sangat itu (berdasarkan kemajuan perubatan kini) saya telah cuba menggaya dan menjadikan diri berharta tetapi masih belum berjaya (hutang masih ada) tetapi saya bersyukur kepada Allah s.w.t., walaupun saya tidak berlimpah-limpah dengan harta benda saya sihat walafiat dan bahagia. Apa itu wang? (Kata mereka yang tidak berpunya) kerana duit tidak boleh menjaminkan seseorang itu seronok, sejahtera dan hidup bahagia serta penuh kasih sayang.

Apapun, bagi penulis, biarlah kita berada dari hidup berkurangan atau melarat sebab tanpa kita sugih bagaimana pula kita mahu berzakat, menghulur bantuan dan mengada atau menubuh wakaf atau yayasan?

Rezeki di tangan Allah s.w.t. tetapi setiap insan ada kemujuran masing-masing. Kita haruslah bekerja keras kerana rezeki tidak jatuh tergolek di atas riba.

Jarang insan - bukan semua ada penaung atau tinggal di bawah riayah - maka janganlah berharap rezeki atau untung yang banyak tanpa tidak bersusah payah.

Sultan Brunei, Raja Fahd, Sheikh Al-Sabah Al-Kuwaiti dan Sheikh Zayed kaya-raya kerana keturunan dan pusaka. Bill Gates, seorang dropout atau pelajar tercicir dari Universiti Harvard jadi mega kaya kerana akalnya bergeliga dan keberaniannya memulakan empayar perisiannya dari garage (garaj) kereta di rumahnya. Bill Gates telah mengumumkan bahawa 90 peratus hartanya akan diwakafkan. Dia telah banyak menderma termasuklah kepada sekolah lamanya, Harvard.

Bagi kita; oh, ya bagi saya masih mencari-cari seorang kaya raya yang boleh memberi saya riayahnya untuk menjelaskan hutang dan berdakwah tentang Islam yang sebenarnya. Sementara menunggu rezeki terpijak saya kini sentiasa melihat sesuatu yang sedap dipandang.

* Datuk Abdullah Ahmad ialah Wakil Khas Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0629&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_03.htm#ixzz4K1lmCSCI © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan