Isnin, 12 September 2016

KLIA kebanggaan kita -- PM: Lapangan terbang tercantik dan termurah di dunia

ARKIB : 28/06/1998
 
TUANKU Ja'afar memasukkan replika menara kawalan trafik KLIA ke dalam model sebuah glob sebagai menandakan pembukaan rasmi KLIA di Sepang, malam tadi. Memerhatikan baginda ialah Dr. Mahathir Mohamad dan Clifford F. Herbert (kanan).

SEPANG 27 Jun - Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang menjadi lambang baru kecemerlangan Malaysia dirasmikan malam ini dalam suasana gilang-gemilang oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Ja'afar - menandakan kemampuan negara untuk memasuki alaf baru dengan lebih meyakinkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dalam ucapannya pada majlis bersejarah itu mengajak seluruh rakyat supaya berbangga dengan lapangan terbang yang pada pandangan beliau sebagai ''yang tercantik dan termurah di dunia.''

Katanya, KLIA berharga RM10.5 bilion yang siap dibina dalam tempoh 36 bulan dan digelar ''lapangan terbang abad ke-21'' berikutan kemudahan canggih dan teknologi terkininya, adalah milik rakyat Malaysia.

''Sepanjang ingatan saya, tidak ada mana-mana lapangan terbang yang sebesar ini dibina dalam waktu yang singkat dan peruntukan kewangan yang kecil,'' katanya pada majlis itu yang diikuti oleh berjuta-juta rakyat Malaysia menerusi siaran secara langsung Radio Televisyen Malaysia.

Majlis yang turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menteri-menteri kabinet serta kira-kira 1,400 tetamu termasuk mereka yang terlibat secara langsung dalam pembinaannya, diadakan di depan bangunan terminal utama lapangan terbang itu, kira-kira 70 kilometer dari ibu kota.

Kemunculan KLIA menjadi kebanggaan Malaysia kerana ia merupakan salah sebuah lapangan terbang terbesar di dunia. Pembinaannya dijalankan oleh KLIAB, syarikat milik penuh kerajaan Malaysia, berdasarkan konsep ''cepat siap''.

KLIA - yang akan menjadi pemangkin baru pembangunan ekonomi dan pelancongan di Malaysia - akan beroperasi sepenuhnya pada hari Selasa ini menggantikan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang sebagai pintu masuk utama ke Malaysia.

LTSAAS menyumbangkan khidmat sebagai lapangan terbang terbesar negara sejak 33 tahun lalu.

Dr. Mahathir menyifatkan KLIA sebagai menandakan ''satu lagi langkah besar ke hadapan dalam sejarah penerbangan Malaysia''.

KLIA memaparkan seni bina lapangan terbang tersendiri yang merangkumkan tema simbiosis teknologi tinggi, identiti Malaysia serta dipadankan dengan persekitaran hutan rimba dan menurut Dr. Mahathir, lapangan terbang itu menjadi sebahagian daripada Koridor Raya Multimedia (MSC).

KLIA mempunyai kapasiti untuk menguruskan 25 juta penumpang setahun, dua kali ganda berbanding keupayaan LTSAAS dan satu juta tan kargo setahun. Di bawah fasa pembangunan akan datang, KLIA akan akhirnya menguruskan 100 juta penumpang.

Perdana Menteri berkata, KLIA adalah bukti kebolehan Malaysia membina lapangan terbang bertaraf dunia dengan teknologi futuristik tanpa memusnahkan alam semula jadi.

''Kita semua di Malaysia harus berbangga dengan pencapaian ini. Menyudahkan sesuatu projek yang amat besar seperti ini dalam jangka waktu tidak sampai lima tahun adalah bukti kemampuan kita.''

Beliau menarik perhatian bahawa KLIA yang tersergam bukan sebuah projek mega yang membazir. Projek itu dibina tepat pada masanya.

''Jika kerajaan tidak membina lapangan terbang ini beberapa tahun lalu ketika ringgit kukuh,'' katanya, ''hari ini tidak mungkin kita binanya sama sekali.''

Upacara perasmian KLIA malam ini bermula dengan doa yang dibacakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Hashim Yahya. Ini diikuti ucapan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Ling Liong Sik dan Dr. Mahathir sebelum Tuanku Ja'afar menyempurnakan perasmiannya.

Tuanku Ja'afar kemudian memasukkan replika menara kawalan trafik lapangan terbang itu ke dalam model sebuah glob bagi menandakan pembukaannya. Serentak itu seluruh lampu di terminal lapangan terbang itu dinyalakan, menjadikan KLIA seolah-olah sebutir mutiara jika dilihat dari jauh.

Ini kemudian diikuti dengan persembahan multimedia mengenai kompleks KLIA serta kemudahan yang terdapat di dalamnya serta persembahan kebudayaan pelbagai kaum negara ini.

Kira-kira pukul 9.45 malam, sebuah pesawat Boeing 777 milik Penerbangan Malaysia (MAS) melakukan pendaratan pertama yang simbolik di satu daripada dua landasan di lapangan terbang yang dibina di atas kawasan seluas 10,000 hektar itu.

Pesawat B777 Super Ranger yang merupakan pesawat penumpang tercanggih berlepas dari LTSAAS di Subang membawa 150 orang penduduk kampung dari sekitar Sepang. - Oleh AZNAN BAKAR

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0628&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_01.htm#ixzz4K1eXIguz © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan