ARKIB : 10/06/1998
Raja Muhammad kerana dastar
terbuang ke Pahang
JUNAIDI Abdul Rashid daripada
Jabatan Muzium membersihkan nisan makam Sultan Muhammad.
Menurut Datuk Mokhtar, kampung
tersebut bernama Kampung Dusun Pinang yang terletak dalam kariah Langgar dalam
daerah Pekan. Di situ ada sebuah makam sultan yang baru ditemui.
Saya mengambil kesempatan
melawat kampung tersebut yang tidak jauh dari Sungai Pahang Tua. Rupa-rupanya
makam yang dimaksudkan oleh Datuk Mokhtar itu ialah makam Sultan Muhammad,
Sultan Pahang yang pertama dari zuriat Sultan Melaka.
Kampung Dusun Pinang memang
terkenal dalam Sejarah Pahang sebagai tempat bersejarah. Di kampung inilah
dikatakan terletaknya pusat pemerintahan Maharaja Dewa Sura pada abad ke-15,
dan sebelumnya.
Kampung Pinang pernah menjadi
pusat pemerintahan yang di bawah pengaruh Siam. Barangkali pengembara dan
pedagang Cina yang bernama Wang Ta Yuan yang pernah melawat Pahang atau di
Selat Peng-Keng pada abad ke-13, tentu pernah melawat Kampung Pinang yang
ketika itu merupakan sebuah pusat atau kerajaan tertua di Pahang.
Ketika saya melawat Kampung
Dusun Pinang pada tahun 70-an itu, banyak kubur lama yang berdekatan dengan
makam Sultan Muhammad terpaksa dipindahkan ke sebuah perkuburan lain iaitu
perkuburan besar.
Di kawasan tapak kubur lama itu
akan dibina sebuah loji air.
Saya diberitahu oleh beberapa
orang penduduk bahawa sebuah makam lama juga dipindahkan ke kubur besar.
Seorang penduduk telah membawa saya ke makam tersebut dan saya dapati nisan
berlukis khat pada makam tersebut adalah serupa dengan nisan makam Sultan
Muhammad Satu, iaitu nisan batu Acheh yang digunakan pada abad ke-15.
Saya percaya makam tersebut
haruslah makam kaum keluarga terdekat kepada Sultan Muhammad, kemungkinan makam
putera Sultan Muhammad yang mangkat terlebih dulu daripada kemangkatan
ayahandanya.
Sultan Muhammad Shah iaitu
Sultan Pahang Pertama daripada zuriat kesultanan Melaka itu ialah putera Sultan
Mansor Shah yang memerintah Melaka. Baginda adalah cucu kepada Maharaja Dewa
Sura yang memerintah sebuah tempat di Pahang yang bernama Pura.
Dalam Sejarah Melayu ada
mencatatkan bahawa Sultan Mansor Shah Melaka telah datang menyerang dan
menakluki Pura yang terletak di Pahang itu.
Maharaja Dewa Sura dan puteri
baginda yang bernama Puteri Wanang Seri telah dapat ditawan dan dibawa ke
Melaka.
Maharaja Dewa Sura diserahkan
kepada Bendahara Paduka Raja, dan sangat dipermuliakan oleh Bendahara. Namun
tidak lama kemudian diserahkan pula kepada seorang pembesar Melaka daripada
keturunan India yang bergelar Seri Nara Diraja, lalu Maharaja Dewa Sura
dipasung di hadapan balai.
Demikianlah pada suatu hari
Maharaja Dewa Sura telah berkata dengan Seri Nara Diraja, demikian yang disebut
dalam Sejarah Melayu:
''...Hatta maka pada suatu hari
Seri Nara Diraja duduk di hadapan orang banyak. Maka kata Maharaja Dewa Sura,
tatkala hamba di negeri hamba ditangkap oleh Seri Bija Diraja, kepada perasaan
hamba seperti di dalam kerajaan hamba juga, telah datang hamba kepada Bendahara
Paduka Raja itu pun demikian juga, lebih pula peliharanya daripada Seri Bija
Diraja, telah datang kepada Keling Tua ini, baharulah hamba merasa penjara.
''Maka kata Seri Nara Diraja,
Hai Maharaja Dewa Sura, bagaimanalah tiada demikian, adapun akan Seri Bija
Diraja hulubalang besar negeri tuan hamba lagi dialahkannya, istimewa tuan
hamba seorang, apa bahayanya kepadanya. Adapun Bendahara Paduka Raja itu orang
besar, segala orang di dalam negeri ini semua orangnya belaka, akan hamba ini
seorang fakir. Jika tuan hamba lari, siapa akan hamba suruh menangkap tuan? Dan
jikalau tuan hamba lepas, Duli Yang Dipertuan murka akan hamba, orang sekalian
pun menaksirkan hamba, maka sahut Maharaja Dewa Sura...'' (W.G. Shellabear
1975:100).
Maharaja Dewa Sura akhirnya
dibebaskan oleh Sultan Mansor Shah dan puteri Wanang Seri pula diambil oleh
Sultan Mansor Shah sebagai isteri baginda.
Hasil perkahwinan itu lahir dua
putera, yang sulung dinamakan Raja Ahmad dan yang bongsu dinamakan Raja
Muhammad.
Putera yang bongsu itu sangat
disayangi oleh Sultan Mansor Shah, dan dicadangkan sebagai pewaris kesultanan
Melaka.
Namun satu tragedi telah
berlaku, apabila Raja Muhammad telah membunuh Tun Besar, anak Bendahara, kerana
bola raga yang disepak oleh Tun Besar mengenai dastar (tengkolok) Raja Muhammad
yang sedang berkuda berdekatan dengan tempat Tun Besar sedang bermain bola raga
dengan kawan-kawannya.
Kerana peristiwa itulah Raja
Muhammad telah dihantar ke Pahang. Dalam tahun 1470-an Raja Muhammad Shah
mangkat di Dusun Pinang iaitu sebuah tempat yang pernah menjadi pusat
pemerintahan nenda baginda Maharaja Dewa Sura.
Daripada zuriat Sultan Muhammad
Shah, negeri Pahang diperintah oleh sultan-sultan keturunan baginda sehinggalah
pada masa pemerintahan Sultan Abdul Ghaffar. Sultan Pahang ini dibunuh oleh
putera baginda yang tidak dikatakan namanya. Hanya dalam sejarah Portugis
disebut putera yang jahat laku.
Sejak kemangkatan Sultan Abdul
Ghaffar dan Raja Muda Abdullah, maka putuslah zuriat keturunan Maharaja Dewa
Sura memerintah Pahang.
Oleh: N.A. HALIM
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0610&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_01.htm#ixzz4JsGbxEHA
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan