Sabtu, 10 September 2016

JANGAN LUPAKAN SUMBANGAN DEB

ARKIB : 10/06/1998
SALAH satu topik penting perbincangan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO malam Isnin lalu ialah isu Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan sumbangan polisi serampang dua mata itu kepada proses pembangunan negara. DEB yang dilaksanakan sejak tahun 1971 telah mengubah wajah masyarakat Malaysia yang sebelum itu terpaksa mengharungi krisis ekonomi dan politik yang lebih traumatik pada tahun-tahun 60-an.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad mengingatkan ahli-ahli MT UMNO pada mesyuarat tersebut tentang betapa perlunya pencapaian DEB diketengahkan kepada rakyat.

Dalam kemelut ekonomi sekarang, banyak pihak - daripada anggota kelas menengah Melayu hinggalah kepada ahli-ahli perniagaan ternama - merintih kerana tidak berupaya menghadapi tekanan-tekanan ekonomi, dan ada di antara mereka sedang menyalahkan pelbagai pihak atas kesusahan yang dialami.

Limpahan krisis kewangan Asia semakin mencengkam dan kegawatan ekonomi kelihatan akan mengambil masa yang agak lama sebelum pulih. Dalam konteks inilah, para pemimpin UMNO perlu berhati-hati. Mereka tidak harus membiarkan pencapaian bersejarah DEB terhakis dan tenggelam dalam kritikan dan penilaian berbau politik terhadap krisis semasa.

Kejatuhan nilai ringgit, kelembapan ekonomi dan perniagaan yang tergencat kerana kesukaran mendapatkan kredit, diakui akan mengecilkan penyertaan orang Melayu dalam ekonomi negara dan menghempas penguasaan orang Melayu dalam sektor korporat ke tanah.

Penyusunan semula masyarakat yang begitu subur di bawah DEB sepanjang tahun-tahun 70-an, 80-an dan tujuh tahun pertama dekad 90-an kini berdepan dengan prospek yang tidak menentu. Sejak akhir-akhir ini mereka - yang dahulunya merupakan anak-anak Melayu terbiar tetapi atas sumbangan DEB kini menjadi orang besar berpelajaran dan berdiri sama tinggi dengan kaum-kaum lain - sudah ada yang mengecam dasar-dasar kerajaan.

Sedangkan sebahagian daripada dasar sekarang hanya merupakan pengubahsuaian daripada falsafah ekonomi 70-an yang dirumus selepas Malaysia berdepan dengan kegawatan sosioekonomi dan politik pasca kemerdekaan yang lebih mengharukan.

Gesaan MT UMNO supaya para pemimpin parti menerangkan kepada rakyat mengenai pencapaian DEB perlu disambut dengan kesedaran, iltizam dan tanggungjawab. Dalam menghadapi kemelut ekonomi, kita bimbang jika rakyat tidak mendapat gambaran sebenar, mereka akan hanya tahu bagaimana kemewahan yang dikecapi hilang sekelip mata akibat krisis mata wang.

Kita percaya jika para pemimpin UMNO tidak bertindak segera, cerita kemakmuran negara dan kisah DEB yang telah merealisasikan mimpi anak-anak kampung Melayu sejak lebih dua dekad lalu tidak akan diingat lagi. Apabila itu berlaku, orang akan lupa kerajaan Barisan Nasional yang didukung oleh UMNO telah mencipta kemakmuran Malaysia yang kita nikmati sebelum krisis mata wang tercetus setahun lalu.

Ekonomi juga seperti roda; ada masa di atas, ada ketika di bawah. Kita percaya Malaysia akan keluar daripada kesulitan sekarang jika semua orang bekerja keras, berjimat, mengelakkan pembaziran, menghentikan pertelagahan sia-sia dan tuduh menuduh, berdisiplin, bersemangat cintakan negara tetapi pada masa yang sama mengamati dengan teliti aspirasi rakyat.

Malaysia akan bangkit semula, dan ini menjadi keyakinan semua orang, tetapi dalam proses itu kita perlu memastikan bahawa tidak lahir orang Melayu yang lupa sejarah.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0610&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_02.htm#ixzz4JsHZtQAo © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan