Sabtu, 10 September 2016

Misteri nasib penumpang Islam Titanic

ARKIB : 11/06/1998
Misteri nasib penumpang Islam Titanic
SUNGGUHPUN ia berlaku 86 tahun lalu, sebenarnya terlalu banyak yang belum diketahui mengenai tragedi tenggelamnya kapal Titanic walaupun pelbagai pihak cuba mengupas insiden berkenaan melalui beberapa wadah.

Karyawan filem James Cameron misalnya telah menjelmakan semula tragedi berkenaan di layar perak menerusi filem berjudul Titanic yang mana akhirnya mendapat pengiktirafan tertinggi akademi perfileman Hollywood.

Daniel Allen Butter, pengkaji tragedi Titanic yang berpangkalan di Miami, pula baru sahaja melancarkan buku terbaru peristiwa berkenaan di bawah judul Unsinkable - The Full Story of Titanic.

Namun begitu, ada satu perkara yang masih belum diketengahkan oleh mana-mana pihak sekalipun - iaitu nasib penumpang beragama Islam yang berada di atas Titanic ketika ia melanggar ais terapung di lautan luas dalam kegelapan malam. Berapa kalikah agaknya laungan 'Maha Besar Allah' bergema ketika Titanic mula hendak tenggelam dan para penumpangnya semakin cemas dan bergelut cuba menyelamatkan diri?

Ketika kehangatan perbincangan mengenai Titanic kini, belum ada satu pihak pun membicarakan mengenai apa yang berlaku kepada penumpang beragama Islam ini, sama ada mereka hidup atau mati.

Penulis-penulis di Barat sudah sedia maklum tidak berminat untuk membicarakan mengenai nasib penumpang beragama Islam ini. Tetapi bagaimana pula kita yang beragama Islam? Adakah perlu diketahui mengenai kesudahan nasib mereka? Adakah jenazah mereka telah disempurnakan mengikut cara Islam? Jika ada, di manakah pula pusara mereka ini?

Adakah mereka dikebumikan sahaja bersama mangsa lain yang khabarnya disemadikan di Halifax, Kanada.

Jika didasarkan kepada senarai nama penumpang Titanic, bilangan yang mempunyai nama Islam tidak kurang juga banyaknya, yang mana mereka kononnya berasal dari Armenia.

Bagaimanapun, akhbar-akhbar di Amerika dan di England ketika itu lebih banyak menumpukan laporan dan wawancara masing-masing terhadap nasib penumpang kaya dan mempunyai kedudukan, yang menumpang di Kelas Satu.

Oleh kerana penumpang beragama Islam menumpang di 'Kelas Tiga', maka tidak ada sesiapa yang mempedulikan nasib atau berminat untuk menyelami pengalaman mereka - lebih-lebih lagi memandangkan mereka bukan berkulit putih.

Kewujudan penumpang beragama Islam di atas kapal Titanic boleh dilihat daripada senarai penumpang kapal itu.

Tinjauan menunjukkan tidak ada satu pun penumpang beragama Islam di Kelas Satu. Di Kelas Dua pula, terdapat nama yang boleh dipertikaikan seperti Nicolas Nasser (mati) dan isterinya yang sekadar disebut Mrs. Nasser (terselamat). Tidak dapat dipastikan sama ada mereka ini benar-benar beragama Islam berdasarkan nama Nicolas yang digunakan.

Di Kelas Tiga pula, daripada senarai penumpang yang naik di Southampton, terdapat nama seperti Ali Ahmed (mati), Ali Assam (mati) dan Mara Osman (terselamat). Daripada senarai penumpang yang naik di Cherbourg pula, terdapat nama seperti Fared Kassem (mati), Hassef Kassein (terselamat), Mustafa Nasr (mati), Amin Saad (mati) dan Khalil Saad (terselamat).

Tanda tanya mengenai kisah penumpang beragama Islam ini bertambah apabila Walter Lord dalam bukunya A Night To Remember menyebut bahawa antara barang-barang bernilai yang turut tenggelam bersama kapal itu ialah salah satu karangan sastera terulung Islam iaitu Rubaiyat, hasil tulisan Omar Khayyam.

Sudah jelas kini, dan memang diterima ramai, bahawa kajian terhadap Titanic juga merupakan satu penyelidikan terhadap sikap serta gaya hidup masyarakat lama Barat yang mengutamakan kelas dan taraf kekayaan.

Kajian ke atas Titanic bukan lagi setakat penyelidikan terhadap punca karamnya kapal gergasi itu, atau mengapa sebuah kapal yang berada berhampiran dengannya pada malam itu, iaitu Californian, gagal memberikan bantuan.

Bayangkan, di tengah-tengah keadaan cemas, golongan kaya dan dari taraf lebih tinggi masih diberi keutamaan dan didahulukan untuk diselamatkan. Dengan segera mereka dipindahkan ke bot keselamatan. Ini telah mengakibatkan angka kematian lebih tinggi di kalangan penumpang Kelas Tiga yang mana terpaksa terkial-kial mencari jalan sendiri untuk menyelamatkan nasib masing-masing.

Lord dalam A To Night Remeber memberikan stastik menarik ini:

* Daripada 143 penumpang wanita di Kelas Satu, bilangan yang tidak dapat diselmatkan cuma empat, itupun tiga daripadanya memang memilih untuk terus berada di atas Titanic.

* Daripada 93 penumpang wanita di Kelas Dua, bilangan yang tidak dapat diselamatkan ialah 15.

* Daripada 179 penumpang wanita di Kelas Tiga pula, bilangan yang tidak dapat diselamatkan jauh lebih tinggi iaitu 81.

* Di kalangan penumpang kanak-kanak pula, daripada sejumlah 29 orang di Kelas Satu dan Dua, hanya seorang tidak dapat diselamatkan.

* Di Kelas Tiga pula, daripada 76 penumpang kanak-kanak, 53 orang tidak dapat diselamatkan.

Tidakkah angka ini jelas menunjukkan golongan kaya dan berkedudukan tinggi lebih diutamakan?

Adalah menyedihkan belum ada pihak yang tampil ke hadapan membuat tinjauan terhadap nasib penumpang beragama Islam ini sedangkan buku-buku yang telah ditulis mengenai tragedi ini banyak sekali.

Lord sendiri menulis dua buku mengenai tragedi berkenaan iaitu A Night To Remember dan The Nigh Lives On.

Buku lain pula termasuk Titanic Survivor, Titanic, Destination Disaster, Her name: Titanic, Titanic In a New Light, Exloring The Titanic, Titanic: Triumph & Tragedy, Titanic: The Death and Life of a Legend dan Titanic: End of Dream.

Sejak kebelakangan ini muncul pula tiga lagi buku mengenai Titanic iaitu The Titanic Conspiracy karangan Gardiner, Robin and Van der Vat, The Ship That Stood Still tulisan Leslie Reade dan yang terbaru Unsinkable, The Full Story of RMS Titanic karangan Butler.

Kisah saat-saat akhir penumpang Titanic yang beragama Islam sebelum mereka kembali ke Rahmatullah akan terus menjadi misteri kecuali ada pihak yang memulakan kajian mendalam dan menyeluruh mengenainya. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka.

Oleh: AZMAN AHMAD TERMIZI

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0611&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_04.htm#ixzz4JsLWAWqs © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan